Arkib Tag: Volvo EX30 Cargo

Volvo EX30 Cargo tawar ruang sebesar 1,000 liter, mula dijual di UK

Mahukan sebuah kuda kerja yang lebih kecil dan mesra alam? Anda mungkin perlukan sebuah Volvo EX30 Cargo.

Volvo EX30 Cargo sebagai kuda kerja

Berbeza dengan EX30 versi penumpang, EX30 Cargo menawarkan ruang sebesar 1,000 liter tanpa pemasangan tempat duduk baris kedua.

Terdapat struktur dinding yang memisahkan antara ruang kargo dan kabin hadapan, dipadankan dengan rekaan lantai yang rata serta permukaan tahan lasak.

Pintu belakang pula kini boleh dibuka dengan lebih luas.

Terdapat juga lampu kerja tambahan dan cagak tambahan disediakan pada bahagian tersebut.

Secara keseluruhan, ia boleh membawa muatan dengan had 390 kg.

Dua pilihan trim, serta versi Cross Country

Volvo EX30 Cargo boleh didapati dalam trim Cargo Core yang menawarkan ciri seperti:

  • rim 18 inci aerodinamik
  • lampu LED automatik
  • kawalan jelajah adaptif
  • penderia parkir depan & belakang
  • kamera undur
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar

Varian Cargo Plus pula menambah ciri berikut:

  • rim 19 inci
  • bumbung warna hitam
  • pemanas tempat duduk dan roda stereng
  • kawalan iklim dua zon
  • pad pengecas tanpa wayar
  • Pilot Assist
  • sistem audio premium Harman Kardon

Volvo UK juga bakal menawarkan SUV ini dalam versi Cross Country dengan penampilan yang lebih tahan lasak.

EV ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 148 hp atau versi motor elektrik berkembar 422 hp yang mampu memecut sepantas 3.6 saat (0-100 km/j).

Orang awam tidak boleh beli EV ini

Sayang sekali, Volvo EX30 Cargo hanya ditawarkan secara eksklusif menerusi saluran jualan kenderaan armada Volvo UK.

Ini bermakna, pembeli awam tidak dibenarkan untuk membawa pulang EX30 Cargo.

Harga jualan bermula dari £36,010 (RM192,007), menjadikannya lebih mahal berbanding EX30 versi standard yang lengkap dengan tempat duduk belakang.