Arkib Tag: varian baharu

Proton S70 2026 dapat 2 varian baharu, enjin 1.5L NA, harga dari RM56,800

Proton secara rasmi memperkenalkan dua varian baharu bagi sedan S70, iaitu S70 Lite dan S70 Prime.

Dua varian baharu ini diposisikan sebagai pengganti secara tidak langsung kepada model Persona yang bakal dihentikan penawarannya kelak.

Harga jualan (selepas rebat) adalah seperti berikut:

  • S70 Lite – RM56,800 (harga asal RM59,800)
  • S70 Prime – RM59,800 (harga asal RM62,800)

Rebat RM3,000 itu sah untuk pelanggan yang melengkapkan pendaftaran sebelum 31 Disember 2026.

Bersempena dengan pelancaran, Proton turut menawarkan pakej berikut:

  • jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan
  • pengecualian kos buruh sebanyak 6-kali
  • pembiayaan 9-tahun dengan kadar 2.35% PA
  • nilai tukar beli sehingga RM2,000

Unit pacuan

Berbeza dengan varian S70 sedia ada, dua varian baharu S70 ini mendapat enjin 1.5 liter i-GT.

Kuasa 120 PS dan 150 Nm itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT jenis torque converter.

Kelengkapan

Secara standard, S70 Lite didatangkan dengan ciri seperti unit lampu utama halogen, lampu DRL LED, rim aloi 16 inci, serta jeriji dengan kemasan hitam.

Masuk ke dalam ruang kabin, S70 Lite mendapat ciri seperti:

  • tempat duduk balutan fabrik
  • panel meter analog dengan skrin MID
  • skrin infohibur 8-inci
  • brek parkir elektrik (EPB)

S70 Prime pula mendapat naik taraf ciri seperti:

  • rim aloi 17-inci
  • lampu utama LED automatik
  • cermin sisi boleh lipat automatik
  • roda stereng balutan leatherette
  • tempat duduk leatherette
  • sistem pendingin hawa automatik

Kedua-dua varian turut mendapat sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Keselamatan

Ciri keselamatan standard terdiri daripada enam beg udara, penderia parkir belakang, serta kamera undur, manakala S70 Prime pula mendapat tambahan penderia parkir hadapan.

Selain itu, ia turut hadir dengan kelengkapan seperti:

  • sistem pemantauan titik buta (BSD)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • amaran pelanggaran belakang (RCW)
  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • bantuan penukaran lorong (LCA)

Warna

Terdapat lima warna tersedia iaitu Quartz Black, Marine Blue, Space Grey, Snow White dan Armour Silver.

Proton S70 2026 kini dengan pilihan enjin 1.5L NA & CVT, harga anggaran bawah RM60 ribu

Proton mengumumkan penambahan dua varian baharu bagi sedan Proton S70 2026, iaitu varian Lite dan Prime.

Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter i-GT aspirasi semula jadi (NA) yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Tempahan bagi model ini sudah pun dibuka dengan harga jualan anggaran bawah RM60,000.

Pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan S70 Lite atau Prime sebelum 31 Disember 2026 layak menerima ganjaran eksklusif yang akan diumumkan kelak.

Ciri terunggul

Menurut Proton, S70 baharu ini menawarkan 10 ciri terunggul, antaranya ialah

  • ruang kabin terbesar dalam kelasnya
  • kemasan lembut untuk papan pemuka
  • fungsi automatik dan Anti Trap untuk semuya tingkap
  • brek parkir elektrik (EPB) dengan Auto Brake Hold
  • bantuan menghidup enjin jarak jauh
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar

Dari segi keselamatan, S70 menawarkan ciri seperti enam beg udara, penderia parkir depan dan belakang, kamera undur dan peringatan tempat duduk belakang.

Selain itu, ia turut hadir dengan sistem radar sisi belakang (RSRS) terdiri daripada:

  • pengesanan titik buta
  • bantuan penukaran lorong
  • amaran lintasan trafik belakang
  • amaran bukaan pintu
  • amaran pelanggaran belakang

Mitsubishi Triton Single Cab AT 2026 kini rasmi di Malaysia, harga RM107,980

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan varian baharu trak pikap Triton Single Cab bertransmisi automatik untuk pasaran tempatan.

Hadir dalam warna eksklusif Solid White, Triton Single Cab AT dijual pada harga RM107,980.

Setiap pembelian hadir dengan jaminan 5-tahun atau had perbatuan 200,000 km.

Untuk tempoh masa terhad, pembeli Triton Single Cab AT bakal menikmati bantuan diesel bernilai RM4,000 bagi membantu mengurangkan kos operasi dan dalam masa yang sama memastikan perniagaan terus maju.

Spesifikasi

Triton Single Cab ini dipacu enjin diesel 2.4 liter turbo menghasilkan 184 PS dan daya kilas 430 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik.

Dengan dimensi bed kargo 2,340 mm x 1,580 mm x 515 mm, Triton Single Cab menawarkan kapasiti muatan sehingga 1,145 kg yang terbaik dalam kelasnya.

Ia juga turut hadir dengan tayar lebar All-Terrain, kekunci pembeza belakang, serta penderia undur secara standard.

Debut di MAHA 2026

Trak pikap ini akan membuat kemunculan umum di acara Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition (MAHA) 2026 pada 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS Serdang.

Rakyat Malaysia dijemput untuk berkunjung ke reruai MMM untuk melihat dengan lebih dekat varian baharu trak pikap ini.

Leapmotor C10 Plus 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM148,000

Stellantis Malaysia mengumumkan ketibaan varian baharu SUV elektrik Leapmotor C10 Plus 2026 untuk pasaran tempatan.

Varian baharu ini dijual pada harga dari RM148,000.

 

Spesifikasi C10 Plus

Berbanding model sedia ada, C10 Plus mendapat naik taraf seperti:

  • senibina elektrik 800V
  • pek bateri 81.9 kWh
  • jarak pandu 510 km (data WLTP)
  • motor elektrik berkuasa 299 hp, 360 Nm
  • pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat

Biarpun dengan unit rangkaian kuasa yang lebih bertenaga, C10 Plus kini lebih cekap tenaga, dengan kadar penggunaan 15.1 Wh/km.

C10 Plus turut menyokong pengecasan pantas DC 180 kW, membolehkan bateri dicas 30-80 peratus dalam 22 minit.

 

Edisi eksklusif C10 Plus Night Edition

C10 Plus boleh didapati dalam versi Night Edition, terhad kepada 50 unit sahaja.

Dengan nilai tambahan RM8,000, pembeli C10 Plus Night Edition akan mendapat ciri eksklusif seperti :

  • kemasan warna dua tona
  • kit badan aerodinamik
  • rim Trident 20 inci kemasan hitam kusam

Promosi

Rakyat Malaysia boleh menikmati penjimatan sehingga RM13,000 merangkumi rebat RM9,000 serta subsidi insurans RM4,000 untuk pelanggan terawal.

Promosi ini sah sehingga 31 Mac 2026.

Leapmotor C10 Plus dan C10 Plus Night Edition turut dipamerkan di Orange Concourse Sunway Pyramid bermula 27 Februari hingga 1 Mac 2026.

Chery Tiggo 8 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM129,800

Chery Malaysia baru-baru ini mengumumkan varian baharu Chery Tiggo 8 sebagai pelengkap kepada penawaran sedia ada.

Berbanding Tiggo 8 yang terdahulu, Tiggo 8 2026 kini hadir dengan tetapan enjin 1.6 liter TGDi menghasilkan kuasa 197 PS dan 290 Nm dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Dengan setangki penuh 57 liter, Tiggo 8 memberikan bacaan penggunaan bahan api 7 liter untuk setiap 100 km.

Dari segi luaran, Tiggo 8 mendapat ciri seperti lampu LED automatik, lampu DRL, lampu belakang LED berserta lampu membelok jenis sekuential, rim bersaiz 18 inci, spoiler serta rel bumbung.

Varian baharu ini boleh dibezakan dengan varian PHEV menerusi padanan lampu belakang tanpa jalur LED melintang penuh.

Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster digital 10.25 inci serta skrin tengah 12.3 inci, berbeza dengan varian PHEV yang mendapat skrin tengah sebesar 15.6 inci.

Antara ciri lain termasuklah skrin kawalan berasingan untuk sistem pendingin hawa, sistem pencahayaan ambien 7-warna, tempat duduk pemandu larasan enam tahap dengan fungsi memori, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Sony dengan 8 pembesar suara, kamera 360 darjah, penapis kabin N95 serta port pengecasan USB.

Secara standard, Tiggo 8 dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Kawalan Menurun Cerun (HDC), serta cagak ISOFIX.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan termaju yang merangkumi fungsi seperti Amaran Keluar Lorong (LDW), Pemantauan Titik Buta (BSD), Amaran Pelanggaran Hadapan dan Belakang, Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Suluhan Tinggi Pintar (IHC) serta Sistem Amaran Jarak (DWS).

Chery Tiggo 8 2026 ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Dark Black dan Khaki White.

Harga jualan bermula dari RM129,800, lengkap dengan pakej bernilai RM13,700 yang merangkumi:

  • jaminan 7-tahun atau sehingga 150,000 km*
  • jaminan enjin 10-tahun atau sehingga 1 juta km*
  • pakej servis percuma 5-tahun*
  • Program Insurans Chery 1-tahun*

*tertakluk kepada terma dan syarat