Arkib Tag: van panel

KLIMS2026: TQ Wuling Porta EV debut, tawar jarak pandu sehingga 400 km

Reruai TQ Wuling tampil agak unik dengan kehadiran van panel kegunaan komersial yang digelar sebagai Porta EV.

Di pasaran China, van ini lebih dikenali sebagai Wuling Yangguang.

Model ini dibangunkan khusus untuk memenuhi permintaan terhadap mobiliti elektrik komersial yang semakin meningkat.

Ia sesuai untuk operasi logistik bandar, pengendali armada, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perkhidmatan penghantaran perbatuan terakhir.

Spesifikasi

Porta EV merupakan van kegunaan logistik berkuasa elektrik sepenuhnya yang menawarkan ruang kargo sehingga 6,500 liter.

Ia hadir dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang, kuasa dihasilkan boleh mencecah 101 hp dan 180 Nm.

Terdapat beberapa pilihan kapasiti pek bateri ditawarkan di pasaran China, dengan jarak pandu boleh mencapai 400 km untuk sekali cas penuh.

Unit yang dipamerkan di acara KLIMS 2026 mempunyai ciri berikut:

  • lampu LED
  • rim saiz 15 inci dengan penutup penuh
  • pintu gelangsar kiri dan kanan
  • kluster meter analog
  • brek tangan fizikal

Difahamkan, van panel Porta EV ini bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Toyota Land Cruiser versi ‘van panel’ kini dijual di Eropah

Mahukan sebuah kuda kerja yang lasak dan bergaya tapi bukan trak pikap? Toyota Eropah ada jawapan untuk anda.

Inilah dia Toyota Land Cruiser spesifikasi kenderaan komersial ringan (LCV) yang khusus untuk pasaran UK dan dibina di kilang Burnaston Toyota yang terletak di Derbyshire.

Land Cruiser LCV ini disasarkan kepada golongan professional yang mahukan keupayaan off-road, dengan kapasiti kargo tertutup sebesar 2,000 liter.

Tempat duduk baris kedua yang asal telah dibuang, dan digantikan dengan panel keluli, lantai kargo yang rata serta besi pemisah antara ruang tersebut dengan kabin hadapan.

Selain itu, Toyota turut melengkapkan Land Cruiser LCV ini dengan rim aloi 18 inci, tempat duduk pemandu boleh laras berkuasa elektrik, fungsi pemanas tempat duduk dan roda stereng, serta pintu tailgate berkuasa dengan tingkap kaca boleh dibuka.

Tidak ketinggalan, cermin pandang belakang auto kelam, brek parkir elektronik, kawalan iklim dua zon, skrin infohibur sebesar 9 inci dan kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense.

Dari segi kuasa, Land Cruiser versi panel ini dikuasakan oleh enjin diesel 2.8 liter turbo yang dipadankan dengan sistem pacuan empat roda sepenuh masa – tiada sebarang perubahan dari segi kuasa (201 hp/500 Nm), keupayaan off-road, had muatan tunda sehingga 3.5 tan, dan keupayaan meredah air sedalam 700 mm.

Menurut Toyota, Land Cruiser LCV ini akan mula dijual pada Ogos ini dengan harga jualan dari £51,729 (RM299 ribu).

Toyota turut mengumumkan kemas kini penawaran Land Cruiser sedia ada, di mana enjin 2.8 liter diesel turbo itu akan digantikan dengan unit hibrid ringan 48V yang menambah 16 hp dan 65 Nm.

Versi hibrid ringan itu dikatakan mampu menawarkan enjin yang lebih senyap, lancar dan lebih responsif, serta dijangka mengurangkan emisi CO2 berbanding tetapan terdahulu.