Arkib Tag: usa

Toyota Sequoia serba baharu pengganti Land Cruiser di Amerika Utara – 3.5 V6 dengan 437hp, platform TNGA-F

DI negara-negara Timur Tengah dan Asia, Toyota Land Cruiser mungkin masih mendapat permintaan yang memberasangkan namun di Amerika Syarikat, SUV besar itu akan dikeluarkan dari pasaran akibat jualan yang merudum.

Jadi, apakah yang akan menggantikannya? Memperkenalkan, Toyota Sequoia serba baharu.

Model ini sebenarnya sudah memasuki generasi ketiga dan kali ini, ia tampil dengan platform TNGA-F yang turut digunakan oleh Tundra, serta ‘nadi’ baharu.

Apa yang dimaksudkan adalah trenkuasa hibrid i-Force Max yang merangkumi enjin 3.5-liter twin-turbo V6 dan sebuah motor generator yang diletakkan di antara enjin dan transmisi.

Gandingan ini menghasilkan 437hp dan 790Nm yang disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10-kelajuan.

Sequoia boleh didapati dalam lima varian iaitu SR5, Limited, Platinum, TRD Pro dan Capstone. Kesemuanya ditawarkan dengan pilihan sistem pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (4WD) kekal, namun varian TRD Pro hanya tersedia dengan transmisi 4WD.

Jentera ini dilengkapi dengan sistem suspensi bebas pada bahagian depan yang dipadankan dengan stereng kuasa elektronik untuk rasa pengendalian yang lebih baik.

Di belakang pula, terdapat suspensi multi-link moden. Pelanggan yang menunda secara kerap boleh mendapatkan sistem suspensi udara dan peredam adaptif yang ditala khas untuk tugas itu.

Bercakap tentang tunda, Sequoia boleh menarik beban seberat sehingga 4,082kg, yang mana menurut Toyota, 22 peratus lebih tinggi berbanding model sebelum ini.

Untuk memudahkan tugas, pelanggan boleh mendapatkan pakej Tow Tech yang merangkumi ciri Trailer Backup Guide dan Straight Path Assist.

Bukan itu sahaja, versi 4WD bagi sesetengah varian juga boleh dilengkapkan dengan pakej TRD Off-Road.

Pelanggan yang memilih pakej ini akan mendapat differential belakang, sistem Multi-Terrain Select, Downhill Assist Control, Crawl Control dan penyerap hentak Bilstein.

Dari segi penampilan, bahagian depan Sequoia tidak ubah seperti kembar trak pikapnya dengan lampu utama dengan lampu nyalaan siang berbentuk T dan gril besar dengan kemasan berbeza mengikut varian. Rim didatangkan dalam saiz 18- hingga 20-inci.

Setiap varian Sequoia mempunyai tiga barisan tempat duduk, namun apa yang membezakan antara varian adalah tempat duduk barisan kedua yang menampilkan sama ada tempat duduk kapten atau tempat duduk jenis bangku.

Tempat duduk barisan ketiga boleh digelongsor ke depan atau belakang sehingga enam inci. Toyota turut memperkenalkan satu ciri baharu iaitu sistem rak boleh laras yang boleh disusun dalam pelbagai posisi bergantung kepada keperluan kargo.

Selain itu, antara kelengkapan lain yang disertakan termasuklah kluster instrumen digital berukuran 12.3-inci, skrin sentuh sistem infohibur berukuran lapan atau 14-inci dan pakej keselamatan Toyota Safety Sense 2.5.

Sequoia akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada musim panas tahun ini dan menurut laporan, ia juga akan memasuki pasaran-pasaran pemanduan sebelah kiri lain yang terpilih. Bagaimanapun, harga masih belum diumumkan.

Toyota Corolla Cross dilancar di AS dengan enjin 2.0, pilihan FWD atau AWD, dari RM92k

TOYOTA Corolla Cross mula dilancar di Amerika Syarikat (AS) pada Jun lepas dan kini ia mula tiba di bilik-bilik pameran seluruh negara itu.

Corolla Cross ditawarkan pada harga bermula USD22,195 (RM92,076) untuk model asas dengan pacuan roda-depan hingga USD27,625 (RM114,616) untuk XLE AWD.

SUV ini akan dipasang di kilang Mazda Toyota Manufacturing di Huntsville, Alabama, AS dengan kapasiit sehingga 150,000 unit setahun. Semasa pelancarannya Jun lepas, Toyota berkata SUV ini akan turut menerima pilihan hibrid.

Tetapi buat masa ini, hanya satu pilihan enjin petrol ditawarkan, iaitu 2.0-liter naturally-aspirated yang menghasilkan 169hp dan 203Nm tork. Selain pilihan pacuan roda-depan (FWD), pembeli juga boleh memilih pacuan semua-roda (AWD) dengan tambahan harga USD1,300 (RM5,393).

Ciri standard adalah lampu LED depan dan belakang, paparan infotainmen 7-inci, pendingin hawa belakang, Keyless Entry, dan dua port USB. Varian LE mendapat tambahan pengecas tanpa-wayar, rim 17-inci, stereng kulit dan cermin sisi dengan pemanas.

Sementara itu varian tertinggi XLE AWD dilengkapi rim 18-inci, tempat duduk pemandu dengan pelarasan 10-arah dan pendingin hawa dwi-zon.

Di Malaysia, Toyota Corolla Cross merupakan model CBU yang dipasang di Thailand, dan ditawarkan pada harga RM124,000 untuk 1.8G dan RM134,000 untuk 1.8V.

Kedua-dua varian dikuasakan enjin 1.8-liter 2ZR-FE yang menjana 139hp dan 172Nm tork, dengan transmisi CVT, hanya pacuan roda-depan.

Ciri pada Toyota Corolla Cross pasaran Malaysia termasuklah lampu bi-LED dan DRL (1.8V sahaja), paparan infotainmen 7-inci, pendingin hawa dwi-zon, dan sambungan Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay.

SUV ini juga hadir dengan Toyota Safety Sense (TSS 2.0) pada 1.8V yang merangkumi ciri seperti Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Dynamic Radar Cruise Control dan Lane Tracing Assist.