Arkib Tag: UMP

Smart Campus Autonomous Vehicle oleh UMP ini merupakan bas tanpa pemandu pertama Malaysia!

PARA penyelidik di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini sedang membangunkan sebuah bas pintar dengan sistem komputer untuk membolehkannya bergerak tanpa pemandu atau secara berkendiri (autonomous).

Dinamakan Smart Campus Autonomous Vehicle (SCAV), ia dilengkapi pelbagai pengesan di sekeliling kenderaan dan dikawal oleh komputer. Ia mampu bergerak sendiri di sekitar kawasan kampus sambil memproses maklumat trafik.

Ketua program, Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang kenderaan autonomi, berkata ini merupakan bas pertama seumpamanya di Malaysia yang dibangunkan oleh pakar tempatan.

“Pada masa ini, proses pembangunan berada pada tahap akhir dengan 80 peratus hampir siap dan kini memfokus kepada algoritma spesifikasi tinggi dan teknologi pada bas itu sendiri,” katanya.

“Beberapa ujian awal juga dibuat sebelum ia boleh berfungsi sepenuhnya sebagai kemudahan untuk penduduk kampus, yang akan disempurnakan tahun depan.”

Sementara itu, pensyarah FTKPM, Dr. Mohamad Heerwan Peeie berkata, bas ini menggunakan beberapa jenis pengesan. Antaranya Light Detection and Ranging (LIDAR), Intertial Measurement Unit (IMU), dan beberapa kamera untuk memperoleh maklumat.

Mereka juga akan membangunkan perisian lebih terperinci untuk menjadikan sistem ini lebih stabil dalam persekitaran lebih sukar.

Syabas pasukan penyelidik UMP! Moga university tempatan lain juga akan mengeluarkan produk automotif yang penuh inovasi sebegini.

UMP lancar nombor pendaftaran ‘UC’, sasar kutip RM3.5 juta

NOMBOR pendaftaran ‘UC’ bakal dilancarkan tahun depan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Orang ramai berminat mendapatkan nombor pendaftaran tersebut boleh membuat bidaan bermula Februari 2022.

Bidaan boleh dibuat secara dalam talian dengan nilai serendah RM1,000 bagi angka empat digit sehingga RM200,000 untuk nombor tunggal.

Ahli Lembaga Pengarah UMP Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, hasil jualan nombor pendaftaran itu akan digunakan bagi tujuan kebajikan.

Jelasnya yang juga Pengerusi Yayasan UMP, bidaan dijangka bakal memungut pulangan lebih RM3.5 juta bagi fasa pertama.

“Hasilnya nanti akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan.

“Proses bidaan akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. – Foto ihsan UMP

Sebelum ini, terdapat usaha daripada beberapa buah universiti yang melancarkan nombor pendaftaran kenderaan.

Antara universiti terbabit adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Terdahulu, UMP dalam satu kenyataan memaklumkan proses bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas tersebut adalah hasil kerjasama dengan Aquatwo Sdn Bhd .

Syarikat itu juga bertanggungjawab dalam mengendalikan proses pemasaran dan jualan.