Arkib Tag: UC

UMP lancar nombor pendaftaran ‘UC’, sasar kutip RM3.5 juta

NOMBOR pendaftaran ‘UC’ bakal dilancarkan tahun depan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Orang ramai berminat mendapatkan nombor pendaftaran tersebut boleh membuat bidaan bermula Februari 2022.

Bidaan boleh dibuat secara dalam talian dengan nilai serendah RM1,000 bagi angka empat digit sehingga RM200,000 untuk nombor tunggal.

Ahli Lembaga Pengarah UMP Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, hasil jualan nombor pendaftaran itu akan digunakan bagi tujuan kebajikan.

Jelasnya yang juga Pengerusi Yayasan UMP, bidaan dijangka bakal memungut pulangan lebih RM3.5 juta bagi fasa pertama.

“Hasilnya nanti akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan.

“Proses bidaan akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. – Foto ihsan UMP

Sebelum ini, terdapat usaha daripada beberapa buah universiti yang melancarkan nombor pendaftaran kenderaan.

Antara universiti terbabit adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Terdahulu, UMP dalam satu kenyataan memaklumkan proses bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas tersebut adalah hasil kerjasama dengan Aquatwo Sdn Bhd .

Syarikat itu juga bertanggungjawab dalam mengendalikan proses pemasaran dan jualan.