Arkib Tag: Tuono 660

EICMA 2021: Aprilia Tuono 660 Factory dengan lebih kuasa dan IMU 6-axis

SELEPAS hampir setahun memperkenalkan Tuono 660, kini Aprilia melancarkan pula Tuono 660 Factory di EICMA 2021. Versi Factory hadir dengan spesifikasi lebih tinggi dan sporti.

Pertamanya dari segi enjin, Tuono 660 Factory dipacu oleh enjin 659cc dua-silinder yang menjana 100hp (5hp tambahan) dan 67Nm tork.

Kuasa disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan dengan quickshifter. Sprocket juga ditukar kepada 16/43 untuk pecutan lebih baik.

Suspensi dikekalkan dati Tuono 660 biasa iaitu fork Kayaba 41mm boleh-laras di depan, dan monoshock Sachs di belakang. Tetapi berat Tuono 660 Factory dikurang menjadi 181kg, hasil penggunaan bateri lithium-ion.

Lima mod tunggangan masih dikekalkan iaitu Road, Track, dan tiga mod pre-set serta kustom. Tetapi dengan penambahan IMU 6-axis, sportbike ini mempunyai kawalan tambahan Traction Control, Wheelie Control, Engine Braking Control dan Cornering ABS.

Kuasa memberhenti digalas oleh sepasang angkup Brembo di depan dan belakang dengan cakera bersaiz 320mm (depan) dan 220mm (belakang).

Tuono 660 Factory hadir dengan tangki bahan api 15 liter (termasuk 4 liter simpanan) dan menurut Aprilia, jentera ini mempunyai kecekapan sekitar 4.9 liter/100km.

Hanya satu warna ditawarkan iaitu Factory Dark.

Aprilia Tuono 660 janji kepuasan fun ride

SEGMEN naked sport bike pasaran tempatan terus ‘meriah’ dengan kehadiran model terbaharu, Aprilia Tuono 660.

Muncul kali pertama di laman web pengeluar motosikal asal Itali itu semalam, Tuono 660 dijangka bakal menjadi pesaing hebat bagi segmen setarafnya di negara ini.

Memetik siaran media pengedar tunggal Aprilia di Malaysia Didi Resources Sdn Bhd, Tuono 660 didatangkan dengan berat lebih ringan.

Pada masa sama, Tuono juga memiliki ‘kuasa’ luar biasa!

Ini terbukti yang mana motosikal ini hanya mempunyai berat 183 kilogram dengan kuasa 95 CV.

Ia sekaligus ‘mesra’ kepada individu yang baru berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi.

Tuono 660 menawarkan struktur luar biasa yang mana bingkai dan bahagian swingarm diperbuat daripada aluminium die-cast.

Selain itu, Tuono 660 dilengkapi sistem elektronik lebih canggih seperti kawalan anti roda, kawalan pelayaran, enjin brek dan pemilihan peta enjin.

Terdapat lima mod tunggangan terbahagi kepada jalan raya dan litar. Maka, para penunggang hanya perlu memilih mod pilihan paling sesuai ketika menunggang.

Harga bagi sebuah Tuono 660 bermula pada RM77,900.