Arkib Tag: tunda

Banjir: Takaful Malaysia sedia khidmat tunda percuma kepada pelanggan terjejas

TAKAFUL Malaysia Am Berhad memaklumkan bahawa mereka menyediakan perkhidmatan tunda percuma ke bengkel terdekat khusus untuk pelanggan takaful motor persendirian komprehensif yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif dalam menyediakan bantuan segera serta memudahkan proses bantuan kepada pemegang sijilnya, para pelanggan juga boleh berhubung melalui WhatsApp.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, Mohamed Sabri Ramli berkata, “Sebagai sebuah syarikat insurans Islam, kami mempunyai pengalaman secara langsung berurusan dengan pelanggan yang terjejas akibat banjir.

“Maka, inisiatif yang kami tawarkan melalui perkhidmatan tunda percuma ke bengkel terdekat kepada pelanggan takaful motor persendirian komprehensif kami yang terjejas akibat bencana banjir adalah seruan untuk kami bertindak bagi meringankan bebanan kewangan dan kebimbangan mereka pada masa yang mencabar ini.”

Pelanggan hanya perlu menghubungi talian bantuan 24 jam di 1800-888-788 atau memaklumkan melalui WhatsApp di 019-629 2680.

Tambah Mohamed Sabri, “Pelanggan kami boleh segera memaklumkan tuntutan takaful motor mereka melalui WhatsApp dan kami akan mengaturkan serta mempercepatkan proses tuntutan tersebut.”

Tips selamatkan kereta sebelum, semasa dan selepas banjir

BANJIR ialah salah satu bencana alam yang sering berlaku di negara kita selain tanah runtuh, ribut taufan dan sebagainya.

Banjir kita boleh berlaku jika hujan berpanjangan di bandar-bandar besar, dan banjir juga sering berlaku disebabkan hujan monsun setiap tahun.

Kali ini, kami akan kongsikan tips menyelamatkan kereta anda sebelum, semasa, dan selepas banjir.

Tiada siapa mahu terlibat menjadi mangsa bencana alam, tetapi selain berdoa memohon perlindungan dari Tuhan, kita juga boleh membuat persediaan dan perkara sepatutnya untuk mengurangkan kesan.

Sebelum kereta tenggelam banjir

1. Alihkan kereta ke tempat yang lebih tinggi: Jika sempat, alihkan dulu kereta ke tempat yang anda rasa tidak akan dinaiki air.

2. Tutup/sumbat ekzos untuk elak dimasuki air: Sebelum meninggalkan kereta, tutup ekzos kereta anda, mungkin boleh guna beg plastik dan kemudian ikat. Untuk sumbat ekzos, anda boleh gunakan barang seperti bola atau buah yang kecil (limau atau oren) dan balut juga dengan beg plastik. Ini akan membantu mengurangkan kerosakan enjin jika kereta anda ditenggelami air.

3. Cabut terminal bateri: Selepas itu, cabut terminal bateri, ini penting untuk melindungi sistem dan komponen elektrik dalam kereta.

4. Selamatkan barang-barang penting: Akhir sekali, bawa keluar barang-barang penting jika ada seperti dokumen (geran, buku servis) dan barang peribadi. Elakkan juga meninggalkan barang berharga.

Semasa kereta tenggelam banjir

1. Jangan sesekali hidupkan kereta: Jika ekzos kereta anda tenggelam bawah paras air, JANGAN cuba menghidupkan kereta untuk mengelakkan air memasuki sistem enjin. Selain itu, semasa anda menghidupkan kereta, terdapat juga risiko kerosakan komponen elektrik.

2. Jangan cuba meredah banjir: Mungkin ini pesanan paling penting dalam senarai ini, kerana melibatkan nyawa. Lebih baik anda berhenti atau berpatah balik jika terdapat banjir di depan. Ini kerana kita tidak pasti apa yang ada di bawah permukaan air, mungkin ada lubang, longkang atau sebarang halangan lain.

Kereta anda juga mungkin hanyut jika air terlalu dalam atau arus terlalu deras. Ingat, harta benda boleh dicari, tapi nyawa tiada ganti.

Selepas banjir surut

Imej: Bernama

1. Jangan terus hidupkan kenderaan: Selepas banjir surut dan semua kering, anda tidak perlu cuba menghidupkan kereta. Terus ke langkah seterusnya.

2. Gunakan khidmat towing (trak tunda) untuk bawa kereta ke bengkel: Serahkan pada mereka yang pakar untuk membuat pemeriksaan dan baikpulih pada kereta anda.

Apa guna bayar insurans, bukan? Inilah masa kita gunakannya.

Diharap tips-tips ini sedikit sebanyak dapat membantu menyelamatkan kereta anda atau mengurangkan kos kerosakan.

Peringatan: Jika enjin terus dihidupkan selepas ditenggelami banjir, kemungkinan besar enjin akan mengalami kerosakan sangat parah.

PKP: Pusingan ketiga Cub Prix Malaysia di Litar Tangkak ditangguh

PEMINAT Kejuaraan Cub Prix Malaysia mungkin sedikit kecewa apabila perlumbaan pusingan ketiga pada 22 dan 23 Mei ini terpaksa ditangguhkan.

Keputusan diambil selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara sehingga 7 Jun depan.

Setakat ini, pihak penganjur masih belum menetapkan tarikh baharu bagi pusingan ketiga perlumbaan itu.

“Kalendar baharu bagi musim 2021 akan diumum dalam masa terdekat.

“Pihak penganjur meminta maaf kepada semua warga Cub Prix di atas kesulitan yang mungkin dialami,” memetik kenyataan penganjur, Safe Aim Mutual Sdn Bhd.

Pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 dijadual berlangsung di Litar Tangkak, Johor.

Pada pusingan kedua, pelumba Nazirul Izzat Mohd Bahauddin dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor berjaya menaiki podium di tempat pertama.

Ia merupakan kemenangan pertama Nazirul sejak 2019 selepas terpaksa berehat selama enam bulan akibat mengalami kecederaan tangan.

Sementara itu, perlumbaan akhir CP125 dimenangi Mohd Adib Rosley dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team.

Bagi kategori Wira KBS, pelumba Petronas Sprinta Yamaha–31 Racing Mohd Aqil Danial Nasrul berjaya merangkul tempat pertama.