Tan Chong Motor Group dan SAIC-GM-Wuling (SGMW) menandatangani perjanjian baharu untuk memperkukuh usaha lokalisasi bateri EV di Malaysia di bawah jenama TQ.
Perjanjian tersebut dimeterai sempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-23 di Nanning, selari dengan pelancaran Global 5 Strategy SGMW.
Kerjasama ini memberi fokus kepada pembangunan rantaian bekalan tempatan, bermula dengan lokalisasi dan pemasangan CKD bateri EV. Ia juga menyokong pengembangan kapasiti produksi SGMW di ASEAN.
Perjanjian ditandatangani oleh Liu Zhijun dari SGMW dan Wan Wei Sun dari TQ Wuling bagi pihak Tan Chong Motor Group.
Usaha ini mengukuhkan hubungan sedia ada kedua-dua pihak, selain meningkatkan kemampuan Malaysia dalam sektor kenderaan tenaga baharu serta keyakinan pelanggan terhadap komitmen jangka panjang jenama tersebut.
SGMW kini mencatat lebih 32 juta unit pengeluaran dan jualan global, termasuk 4 juta kenderaan tenaga baharu.
Di bawah Global 5 Strategy, SGMW merancang membangunkan ekosistem automotif global merangkumi pembuatan, teknologi, rantaian bekalan dan kerjasama industri.
Kerjasama dengan Tan Chong Motor Group menjadi langkah penting dalam memperkukuh kehadiran SGMW di ASEAN, sambil memacu pembangunan industri automotif hijau dan rantaian bekalan EV serantau.
Kedua-dua pihak akan terus meneroka peluang untuk memperluas lokalisasi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem automotif SGMW di rantau ini.
TQ Wuling menawarkan promosi istimewa untuk model Bingo EV sempena sambutan Hari Malaysia yang bakal tiba.
Promosi terbaharu ini menawarkan penjimatan tambahan sehingga RM6,000 serta pelbagai manfaat pemilikan menarik sepanjang bulan September.
Dengan rebat sebanyak RM4,000 dan rebat insurans RM2,000, Bingo EV varian Pro kini dijual pada harga bermula RM56,800.
Sementara varian Max pula dijual pada harga RM63,800 selepas rebat RM2,000 dan rebat insurans RM2,000.
Pelanggan akan turut mendapat pengecas EV mudah alih secara percuma, sementara pembeli varian Max akan mendapat tambahan pengecas dinding 7kW.
Bingo EV dipacu oleh motor elektrik 68 PS/150 Nm yang mampu menawarkan jarak pandu sehingga 410 km (333 km untuk varian Pro).
Pengecasan pantas DC 50 kW membolehkan bateri dicas 30-80% dalam masa kurang 35 minit.
EV ini juga disokong oleh jaminan motor pemacu selama 8-tahun/160,000 km, jaminan bateri EV 8-tahun/120,000 km serta jaminan kenderaan 5-tahun/150,000 km.
TQ Wuling melancarkan kempen “Berkhidmat untuk Mereka yang Berkhidmat untuk Malaysia” khusus untuk penjawat awam bersempena Hari Perkhidmatan Awam Sedunia.
Kempen terbaharu ini menawarkan rebat tambahan RM3,000 untuk pembelian TQ Wuling Bingo EV di samping pakej promosi “Fabulous 5” sedia ada.
Rebat tambahan ini ditawarkan kepada penjawat awam serta kakitangan daripada:
kementerian kerajaan persekutuan
jabatan kerajaan negeri
badan berkanun
pihak berkuasa tempatan
universiti awam
agensi kerajaan lain yang diiktiraf
Pakej Fabulous 5 yang ditawarkan sebelum ini merangkumi:
rebat RM5,000
pengecas dinding 7kW dan pengecas mudah alih percuma
filem penapis haba premium percuma
ansuran serendah RM625/bulan
17 manfaat perlindungan insurans serta perlindungan khusus untuk EV
Kempen rebat tambahan RM3,000 untuk penawat awam ini sah sehingga 30 Jun 2026.
Awal tahun yang lalu, TQ Wuling mengumumkan Bingo EV versi pemasangan tempatan (CKD) hadir dengan ciri bantuan ADAS sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.
Antara ciri ADAS yang dimuatkan termasuklah:
Amaran Titik Buta (BSW)
Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki
Amaran Bukaan Pintu (DOW)
Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
Bingo EV turut dilengkapi pengelap cermin automatik, sistem kunci/nyahkunci ketika beredar dan sistem nyahkunci automatik selepas impak.
Tambahan pula, Bingo EV didatangkan dengan enam beg udara, menjadikan Malaysia pasaran pertama menerima konfigurasi ini.
Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.
TQ Wuling mengumumkan permulaan program pemasangan tempatan (CKD) bagi model TQ Wuling Bingo EV di Malaysia.
Hatchback elektrik kecil itu dipasang di kilang milik Kumpulan Tan Chong yang terletak di Segambut.
Kerjasama ini menggabungkan kepakaran EV global daripada SAIC-GM-Wuling (SGMW) dengan pengalaman luas Kumpulan Tan Chong dalam pembuatan tempatan bagi memastikan kualiti bertaraf antarabangsa yang disesuaikan khas untuk pasaran Malaysia.
Menurut Wan Wei Sun selaku Ketua Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd, “Permulaan pemasangan tempatan TQ Wuling Bingo EV bukan sekadar pelancaran sebuah model, tetapi mencerminkan pelaburan jangka panjang serta keyakinan kami terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dan hab pengeluaran.
“Dengan menggabungkan keupayaan global EV daripada SGMW bersama warisan pembuatan kukuh Tan Chong yang telah terbina selama berdekad, kami membina kepercayaan melalui kualiti, memperkukuh ekosistem tempatan serta meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan pada masa hadapan.
Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.
TQ Wuling yang merupakan jenama kerjasama antara Tan Chong Motor Holdings Berhad dan SAIC-GM-Wuling melancarkan model kenderaan elektrik mampu milik, iaitu Bingo EV.
Hatchback elektrik kompak ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) dan ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu Bingo Pro dengan harga RM67,800, sementara varian Bingo Max pula dari RM72,800.
Bersempena dengan pelancaran, TQ Wuling turut menawarkan rebat tunai bernilai RM5,000.
Ini bermakna, harga jualan selepas rebat bermula dari RM62,800 untuk Bingo Pro dan RM67,800 untuk Bingo Max.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Dimensi
Bingo EV membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,950 mm, lebar 1,706 mm, tinggi 1,580 mm dengan jarak antara roda 2,560 mm.
Secara standard, EV ini dibekalkan dengan rim 15 inci dengan tayar 185/60 R15.
Ruang kargo pula adalah sebesar 395 liter dan boleh mencapai kapasiti 1,240 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
2. Motor elektrik & bateri
Kereta elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan kuasa 68 PS dan 150 N.
Terdapat empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco+, Eco, Normal dan Sport.
Varian Pro hadir dengan bateri LFP 31.9 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 333 km, sementara varian Max pula dilengkapi bateri 37.9 kWh dengan jarak pandu mencecah 410 km.
3. Pengecasan
Bingo EV menawarkan pengecasan AC 7 kW di mana bateri boleh dicas 0-100 peratus dalam masa 4.5 jam (5.5 jam untuk varian Max).
Kedua-dua varian turut menyokong pengecasan pantas DC 70 kW, dengan pengecasan 30-80 peratus SoC dalam tempoh kurang 35 minit.
4. Luaran
TQ Wuling menawarkan tiga pilihan warna dua tona, iaitu Lavender Purple, Neon Blue dan Milky White dengan gandingan bumbung warna hitam.
Ciri luaran termasuklah lampu utama LED dengan DRL berbentuk X, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, serta lampu membelok pada perumah cermin sisi.
5. Kabin
Untuk ruang kabin pula, terdapat skrin instrumen 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, roda stereng balutan kulit, serta sistem audio dengan empat pembesar suara.
Selain itu, tempat duduk pemandu diberikan larasan enam tahap berkuasa elektrik, diikuti dengan balutan upholsteri leatherete berliang.
Ciri keselamatan pula termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Amaran Titik Buta, brek parkir elektronik dengan fungsi Auto-Hold, kamera undur, cagak ISOFIX serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
6. Lima manfaat untuk 500 orang pelanggan pertama
Bersempena dengan pelancaran, TQ Wuling menawarkan lima manfaat bernilai lebih RM12,000 kepada 500 orang pelanggan pertama termasuklah:
Rebat tunai RM5,000
Jaminan bateri EV selama 8-tahun atau 120,000 km serta jaminan motor pemacu 8-tahun/160,000 km (yang mana tiba dahulu)
Ansuran bulanan serendah RM625 menerusi institusi kewangan terpilih
Pakej pengecas EV rumah 7 kW percuma, pengecas mudah alih percuma dan pakej tinted solar premium TQ
Faedah insurans dan perlindungan EV menarik oleh panel insurans terpilih
Tan Chong Motor Group dan SAIC-GM-Wuling baru-baru ini mengadakan kerjasama strategik, membentuk satu jenama EV baharu untuk pasaran Malaysia, iaitu TQ Wuling.
Produk pertama yang bakal dipasarkan pada suku keempat (Q4) tahun ini ialah sebuah kereta elektrik bandar, TQ Wuling Bingo EV.
EV comel ini akan dipasang secara CKD di kilang Tan Chong Segambut, dengan harga jualan anggaran di bawah RM100,000.
Setakat ini, TQ Wuling tidak mendedahkan spesifikasi rasmi EV tersebut.
Namun di pasaran luar, Bingo EV dilengkapi dengan motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 68 PS dan 150 Nm.
Terdapat dua pilihan pek bateri disediakan, iaitu 31.9 kWh dengan jarak pandu sejauh 333 km, sementara pek bateri 37.9 kWh pula membenarkan pemanduan sejauh 410 km.
Bingo EV menyokong pengecasan AC di mana bateri boleh dicas penuh dalam masa 6.5 jam, serta pengecasan pantas DC yang boleh diselesaikan dalam tempoh masa 35 minit sahaja (30-80 peratus).
Bingo EV membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,950 mm, lebar 1,708 mm, tinggi 1,580 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm.
Ini bermakna, Bingo EV mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding Proton e.MAS 5 walaupun mempunyai jarak antara roda yang sama panjang.
Adakah TQ Wuling Bingo EV mampu menjadi pesaing hebat kepada Proton e.MAS 5 serta EV pertama Perodua kelak?