Arkib Tag: TQ Wuling Bingo EV

TQ Wuling serah kumpulan pertama Bingo EV, ADAS kini sebagai ciri standard

TQ Wuling baru-baru ini mencatatkan satu pencapaian penting apabila kumpulan pertama Bingo EV versi CKD telah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia.

Ia menandakan peralihan jenama itu daripada fasa pengenalan kepada pemilikan sebenar.

Menurut Wan Wei Sun selaku Ketia Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd berkata, “Detik ini lebih daripada sekadar menyerahkan kenderaan, ia melambangkan kepercayaan, keyakinan dan permulaan kepada lebih banyak perjalanan pemilikan.

“Kami amat menghargai pelanggan pertama kami kerana mempercayai TQ Wuling dan menjadi sebahagian daripada perjalanan EV kami di Malaysia.

Pelanggan awal Bingo EV kongsi pengalaman

Kebanyakan pemilik awal berkongsi faktor seperti praktikaliti, nilai dan ketenangan minda merupakan ciri utama yang menentu keputusan pembelian mereka.

“Saya amat tertarik dengan rekaan retro-moden Bingo EV sejak dari mula.

“Selepas memandu uji, saya amat teruja dengan respons dan mudah untuk dipandu di dalam bandar.

“Selain rupa paras, sokongan penyelenggaraan yang wujud di Malaysia memberikan ketenangan minda. Ia bergaya, praktikal dan sesuai dengan bajet saya,” ujar Intan, salah seorang pemilik terawal Bingo EV.

Seorang lagi pelanggan, Christine berkata, “Sejak menerima unit Bingo EV, kami sangat menikmatinya. Ia mempunyai ruang yang luas, sistem pendingin hawa yang sesuai dengan cuaca panas kita, dan keupayaan pemanduan yang hebat.

“Untuk kegunaan harian, ia satu pilihan yang tepat. Apa yang mengagumkan ialah harga yang berpatutan dan betapa mudahnya ia bergerak dalam kesesakan trafik.

ADAS sebagai ciri standard

Seiring dengan penyerahan pertama, TQ Wuling turut mengumumkan Bingo EV CKD ini hadir dengan ciri bantuan ADAS sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.

Antara ciri ADAS yang dimuatkan termasuklah:

  • Amaran Titik Buta (BSW)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Bingo EV turut dilengkapi pengelap cermin automatik, sistem kunci/nyahkunci ketika beredar dan sistem nyahkunci automatik selepas impak.

Tambahan pula, Bingo EV didatangkan dengan enam beg udara, menjadikan Malaysia pasaran pertama menerima konfigurasi ini.

Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.

TQ Wuling mulakan pemasangan Bingo EV di Malaysia

TQ Wuling mengumumkan permulaan program pemasangan tempatan (CKD) bagi model TQ Wuling Bingo EV di Malaysia.

Hatchback elektrik kecil itu dipasang di kilang milik Kumpulan Tan Chong yang terletak di Segambut.

Kerjasama ini menggabungkan kepakaran EV global daripada SAIC-GM-Wuling (SGMW) dengan pengalaman luas Kumpulan Tan Chong dalam pembuatan tempatan bagi memastikan kualiti bertaraf antarabangsa yang disesuaikan khas untuk pasaran Malaysia.

Menurut Wan Wei Sun selaku Ketua Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd, “Permulaan pemasangan tempatan TQ Wuling Bingo EV bukan sekadar pelancaran sebuah model, tetapi mencerminkan pelaburan jangka panjang serta keyakinan kami terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dan hab pengeluaran.

“Dengan menggabungkan keupayaan global EV daripada SGMW bersama warisan pembuatan kukuh Tan Chong yang telah terbina selama berdekad, kami membina kepercayaan melalui kualiti, memperkukuh ekosistem tempatan serta meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan pada masa hadapan.

Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.

TQ Wuling Bingo EV 2026 rasmi di Malaysia – dua varian, harga dari RM62,800 selepas rebat

TQ Wuling yang merupakan jenama kerjasama antara Tan Chong Motor Holdings Berhad dan SAIC-GM-Wuling melancarkan model kenderaan elektrik mampu milik, iaitu Bingo EV.

Hatchback elektrik kompak ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) dan ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu Bingo Pro dengan harga RM67,800, sementara varian Bingo Max pula dari RM72,800.

Bersempena dengan pelancaran, TQ Wuling turut menawarkan rebat tunai bernilai RM5,000.

Ini bermakna, harga jualan selepas rebat bermula dari RM62,800 untuk Bingo Pro dan RM67,800 untuk Bingo Max.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

Bingo EV membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,950 mm, lebar 1,706 mm, tinggi 1,580 mm dengan jarak antara roda 2,560 mm.

Secara standard, EV ini dibekalkan dengan rim 15 inci dengan tayar 185/60 R15.

Ruang kargo pula adalah sebesar 395 liter dan boleh mencapai kapasiti 1,240 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

2. Motor elektrik & bateri

Kereta elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan kuasa 68 PS dan 150 N.

Terdapat empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco+, Eco, Normal dan Sport.

Varian Pro hadir dengan bateri LFP 31.9 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 333 km, sementara varian Max pula dilengkapi bateri 37.9 kWh dengan jarak pandu mencecah 410 km.

 

3. Pengecasan

Bingo EV menawarkan pengecasan AC 7 kW di mana bateri boleh dicas 0-100 peratus dalam masa 4.5 jam (5.5 jam untuk varian Max).

Kedua-dua varian turut menyokong pengecasan pantas DC 70 kW, dengan pengecasan 30-80 peratus SoC dalam tempoh kurang 35 minit.

 

4. Luaran

TQ Wuling menawarkan tiga pilihan warna dua tona, iaitu Lavender Purple, Neon Blue dan Milky White dengan gandingan bumbung warna hitam.

Ciri luaran termasuklah lampu utama LED dengan DRL berbentuk X, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, serta lampu membelok pada perumah cermin sisi.

 

5. Kabin

Untuk ruang kabin pula, terdapat skrin instrumen 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, roda stereng balutan kulit, serta sistem audio dengan empat pembesar suara.

Selain itu, tempat duduk pemandu diberikan larasan enam tahap berkuasa elektrik, diikuti dengan balutan upholsteri leatherete berliang.

Ciri keselamatan pula termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Amaran Titik Buta, brek parkir elektronik dengan fungsi Auto-Hold, kamera undur, cagak ISOFIX serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

 

6. Lima manfaat untuk 500 orang pelanggan pertama

Bersempena dengan pelancaran, TQ Wuling menawarkan lima manfaat bernilai lebih RM12,000 kepada 500 orang pelanggan pertama termasuklah:

  • Rebat tunai RM5,000
  • Jaminan bateri EV selama 8-tahun atau 120,000 km serta jaminan motor pemacu 8-tahun/160,000 km (yang mana tiba dahulu)
  • Ansuran bulanan serendah RM625 menerusi institusi kewangan terpilih
  • Pakej pengecas EV rumah 7 kW percuma, pengecas mudah alih percuma dan pakej tinted solar premium TQ
  • Faedah insurans dan perlindungan EV menarik oleh panel insurans terpilih