Dalam tempoh masa dua minggu selepas dilancarkan, UMW Toyota Motor (UMWT) menerima 2,298 tempahan bagi model SUV Toyota Yaris Cross 2026.
Sambutan yang diterima membuktikan daya tarikannya merentasi pelbagai jenis pelanggan, termasuk pemilik Toyota buat kali pertama.
SUV segmen B itu dijual pada harga bermula dari RM99,900 dan merupakan unit pemasangan tempatan di kilang Toyota Bukit Raja.
Prestasi jualan April 2026
Sepanjang bulan April, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 6,464 unit, menjadikan jumlah jualan setakat ini mencecah 21,924 unit.
Seiring dengan perubahan landskap tenaga dan mobiliti negara, UMWT terus memperkukuh strategi elektrifikasi menerusi pendekatan Multi-pathway.
Pendekatan tersebut menawarkan penyelesaian yang lebih praktikal dan mudah diakses berdasarkan keperluan sebenar pengguna yang berbeza.
Datuk Ravindran K, Presiden UMWT berkata, “Di Toyota, kami memahami bahawa keperluan mobiliti setiap rakyat Malaysia adalah berbeza.
“Sebab itu, pendekatan Multi-Pathway kami memberi lebih banyak pilihan yang praktikal, mudah diakses dan relevan dengan tahap kesediaan pelanggan.
UMWT menawarkan barisan model hibrid (HEV) seperti Yaris Cross HEV, Vios HEV, Corolla Cross HEV, serta Camry HEV manakala barisan EV pula terdiri daripada bZ4X, Urban Cruiser BEV dan Hilux BEV.
Kempen Toyota Extra Mile & Toyota MY App
UMWT turut melancarkan kempen Toyota Extra Mile dan Toyota MY App yang berlangsung dari April hingga Jun 2026.
Toyota Extra Mile menawarkan ganjaran, perlindungan, kemudahan, keselamatan dan ketenangan fikiran sepanjang tempoh pemilikan.
Melalui kempen aplikasi, pengguna akan menerima 500 Loyal-T Points selepas pendaftaran dan 500 Loyal-T Points tambahan apabila membuat tempahan servis.
Mata terkumpul boleh ditebus untuk baucar servis yang memberikan nilai tambah untuk penyelenggaraan berikutnya.
Kempen promosi bulan Mei pula menyediakan pakej menarik bagi model terpilih dengan harga ansuran bulanan serendah RM746 serta pilihan pembiayaan fleksibel.
