Pada 12 April 2016, Toyota secara rasmi melancarkan Toyota Passo generasi ketiga.
Model ini dibangunkan dan dihasilkan oleh Daihatsu Motor Co., Ltd. dengan konsep kenderaan kompak pintar untuk pemanduan bandar yang memfokuskan kepada nilai ekonomi serta praktikaliti.
Sejarah Passo amat sinonim dengan pasaran tempatan memandangkan generasi pertama dan kedua Perodua Myvi merupakan salinan kepada Daihatsu Boon dan Toyota Passo.
Menariknya, Daihatsu turut menjenamakan semula Myvi kepada Sirion dan dipasarkan di Indonesia.
Tradisi tersebut sudah berlangsung sejak generasi pertama namun kali ini berbeza kerana bukan lagi Daihatsu kepada Daihatsu tetapi Perodua kepada Daihatsu.
Pilihan Gaya Luaran Passo X dan MODA
Semasa diperkenalkan, Toyota telah menawarkan dua identiti reka bentuk berbeza bagi model ini bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang pelbagai:
Varian X
Rekaan ini bertujuan memberikan pusat graviti yang rendah bagi menonjolkan imej yang stabil pada permukaan jalan.
Varian MODA
Bahagian hadapan menggunakan reka bentuk tiga dimensi yang bersambung dari gril ke badan kenderaan dengan kemasan satin untuk sentuhan premium.
Varian ini dilengkapi dengan lampu hadapan Bi Beam LED yang menyala dalam bentuk lingkaran atau cincin.
Ruang Dalaman dan Pakej Praktikal
Meskipun mengekalkan saiz kompak untuk kemudahan pengendalian, jarak antara kerusi hadapan dan belakang dipanjangkan sebanyak 75 mm berbanding model terdahulu.
Panel instrumen telah direka secara mendatar untuk memberikan kesan visual ruang yang lebih lebar kepada pengguna.
Bagi Passo MODA, ruang kabin telah menerima sentuhan khas dengan warna aksen magenta pada kluster audio, lingkaran corong udara sisi dan fabrik tempat duduk.
Sebanyak 12 warna badan telah ditawarkan termasuk pilihan dua sisi warna dengan bumbung hitam yang menjadikan keseluruhan variasi warna sebanyak 19 corak.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi Enjin Toyota Passo
Passo dibekalkan enjin 1.0L 1KR-FE tiga silinder yang mampu menghasilkan kuasa 69 ps dan tork 92 Nm.
Dari segi teknologi, penggunaan port pengambilan dua sisi, penyuntik dua sisi serta semburan atomized yang lebih halus telah meningkatkan kecekapan pembakaran secara keseluruhan.
Nisbah mampatan pula telah ditingkatkan kepada 12.5 melalui pengoptimuman pada bentuk omboh serta penggunaan sistem high tumble.
Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi CVT, manakala sistem melahu henti telah dilengkapi sebagai ciri standard bagi model 4WD.
Dari segi penggunaan bahan api, model 2WD telah mencatatkan penggunaan petrol pada kadar 28.0 km/l, manakala model 4WD mencatatkan 24.4 km/l berdasarkan kitaran ujian JC08.
Struktur Badan dan Ampaian
Penggunaan keluli tegangan tinggi pada keseluruhan panel luar sisi serta komponen resin pada dapra hadapan dan pintu belakang membantu mengurangkan berat badan Passo tanpa menjejaskan ketegaran.
Selain itu, struktur rangka dan pad tempat duduk telah disemak semula, manakala bentuk penyandar tempat duduk diubah bagi meningkatkan sokongan kepada penumpang.
Sistem ampaian Passo ditala secara optimum dengan penggunaan penstabil pada bahagian hadapan dan belakang bagi model 2WD untuk mengurangkan olengan badan.
Ampaian hadapan menggunakan silinder dan rod yang lebih besar pada penyerap hentak, manakala ampaian belakang bagi model 2WD pula diperkukuh dengan meningkatkan ketegaran pada bahagian torsion beam.
Sistem Keselamatan Smart Assist II
- Amaran perlanggaran terhadap kenderaan dan pejalan kaki.
- Brek sokongan pengelakan perlanggaran terhadap kenderaan.
- Kawalan pencegahan salah mula hadapan dan belakang.
- Amaran keluar lorong.
- Makluman pergerakan kenderaan hadapan.
Spesifikasi Toyota Passo 2016
- Enjin: 1.0L 1KR FE 3 Silinder
- Kuasa Maksimum: 69 ps
- Tork Maksimum: 92 Nm
- Transmisi: CVT
- Sistem Pacuan: 2WD (FF) atau 4WD
- Penggunaan Bahan Api: 28.0 km/l (2WD) atau 24.4 km/l (4WD)
- Jarak Antara Kerusi: Jarak 75 mm lebih luas berbanding model sebelumnya
- Radius Pusingan Minimum: 4.6 m
- Sistem Keselamatan: Smart Assist II
- Harga Pelancaran: 1,150,200 Yen sehingga 1,830,600 Yen
Toyota Passo MODA 2016
Toyota Passo X 2016
Toyota Passo 2016
