Arkib Tag: titik pengecasan

Pro-Net bangunkan stesen pengecasan e.MAS menerusi kerjasama strategik dengan CPO utama

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) mengumumkan perancangan memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara.

Menerusi kerjasama dengan DC Handal, JomCharge dan chargEV, beberapa stesen pengecasan akan didirikan di lokasi strategik bermula suku ketiga 2026.

Pemilik e.MAS juga bakal menikmati kadar pengecasan istimewa apabila membuat bayaran menerusi aplikasi Proton e.MAS.

Akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan

Sehingga kini, pemilik boleh mengakses lebih 4,700 titik pengecasan di seluruh Malaysia menerusi aplikasi mudah alih Proton e.MAS.

Ciri ini turut dilengkapi dengan peta pengecasan langsung yang tersedia di dalam kenderaan e.MAS.

Kerjasama strategik bersama CPO utama ini merupakan langkah seterusnya dalam memperluas ekosistem Proton e.MAS ke lebih banyak lokasi awam.

Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Apabila semakin ramai rakyat Malaysia memilih kenderaan elektrik, akses kepada kemudahan pengecasan menjadi semakin penting.

“Melalui kerjasama dengan CPO utama, kami mahu menjadikan pengecasan lebih mudah dan memberikan manfaat kepada pemilik e.MAS di lokasi utama,” ujarnya lagi.

Ahmad Munif Halim, Ketua Bahagian Pengecasan Pro-Net menambah, “Melalui kerjasama dengan CPO yang berpengalaman, kami dapat memudahkan urusan pengecasan sambil memberikan pelanggan akses kepada sokongan sedia ada sekiranya bantuan diperlukan.

“Kesemua usaha ini membantu kami mewujudkan pengalaman pengecasan yang lebih baik untuk pemilik e.MAS,” jelasnya lagi.