Arkib Tag: Tesla Model Y 2025

Tesla Malaysia mula edar Model Y 2025 facelift

Tidak lama lagi, kita dapat melihat kelibat Tesla Model Y 2025 facelift di atas jalan raya.

Ini kerana Tesla Malaysia telah memulakan proses pengedaran bagi model SUV elektrik Tesla Model Y 2025 facelift ‘Juniper’ di tiga lokasi, iaitu Tesla Delivery Centre Cyberjaya, Tesla Service Centre Penang dan Tesla Service Centre Johor.

Dilancarkan secara rasmi pada Februari lepas, Tesla Model Y 2025 tersedia dalam dua varian utama iaitu RWD berharga RM195,450 dan Long Range AWD berharga RM242,450.

Varian paling rendah RWD menawarkan jarak gerak sejauh 466 km (data WLTP), pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.9 saat dan kelajuan maksimum 201 km/j.

Sementara varian Long Range AWD pula membenarkan jarak pandu sejauh 551 km untuk sekali cas penuh, serta pecutan 0-100 km/j sepantas 4.3 saat.

Pemilik Tesla boleh menikmati pengecasan percuma di 15 buah stesen pengecas destinasi (70 nozel) selain kadar serendah RM1.19/kWh di 14 buah stesen Supercharger (64 nozel).

Tesla Malaysia turut mengumumkan enam buah stesen Supercharger yang akan didirikan tidak lama lagi pada tahun ini termasuklah di:
• Pavillion Damansara Heights
• Bangsar South
• IPC Shopping Centre
• i-City Finance Avenue
• The Mall, Mid Valley Southkey
• Toppen Shopping Centre

Tesla Malaysia menggalakkan pemilik baharu dan sedia ada untuk mengambil bahagian dalam program Refer & Earn yang menawarkan ganjaran sehingga RM15,000 setahun.

Selain itu, pelanggan Tesla juga dapat menikmati sokongan pengecasan rumah percuma dan skim pembiayaan dengan kadar faedah rendah untuk memiliki Tesla, dengan jumlah insentif sehingga RM28,000.

Beli tayar baharu Michelin, rebut peluang menang Tesla Model Y 2025

Bersempena dengan musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya, Michelin Malaysia menawarkan promosi istimewa untuk pembelian tayar baharu.

Bermula dari 6 Januari hingga 9 April 2025, tiga pelanggan bertuah yang membeli apa jua tayar jenama Michelin (minimum dua unit) akan berpeluang membawa pulang sebuah Tesla Model Y 2025 facelift serba baharu.

Untuk mengambil bahagian, pelanggan hanya perlu menjawab enam soalan dengan betul, seterusnya memuat naik bukti pembelian berserta sekeping gambar di akaun Facebook atau Instagram berkisarkan tentang cara mereka mengamalkan kelestarian dalam kehidupan harian masing-masing.

Hantaran di laman media sosial itu perlulah disekalikan dengan tanda pagar #MichelinMalaysia dan #MichelinCNYHariRaya2025

Selain itu, Michelin turut menawarkan barangan eksklusif berupa Duffle Bag MICHELIN bagi pelanggan yang membuat pembelian empat unit tayar saiz 17 inci dan ke atas.

Beg edisi terhad ini boleh ditebus di outlet TYREPLUS dan MICHELIN yang mengambil bahagian, terhad kepada 1,000 orang pelanggan terawal setiap minggu.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web https://promo.michelin.com.my/promotions/cny-and-hariraya-2025