Arkib Tag: Tawau

MH2664 patah balik ke KLIA, CAAM dedah punca sebenar

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendedahkan punca penerbangan MH2664 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa dalam perjalanan ke Tawau, Ahad lepas.

Semalam, CAAM menjelaskan kejadian berlaku akibat malfungsi sistem pitot-statik.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM berkata, perkara itu diketahui sejurus pihaknya menyemak laporan awal siasatan keselamatan dan kejuruteraan.

“Berdasarkan laporan awal yang diekstrak daripada Perakam Data Penerbangan (FDR) didapati telah berlaku isu teknikal semasa penerbangan itu susulan malfungsi sistem pitot-statik,” kata Datuk Chester Voo.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Chester Voo. – Foto ihsan Malay Mail

Sistem pitot-statik merupakan instrumen yang mengukur perbezaan tekanan untuk menentukan kelajuan dan altitude udara.

Apa yang berlaku kepada penerbangan MH2664 adalah malfungsi terbabit menghasilkan petunjuk kelajuan palsu.

Ia menyebabkan pesawat menaik dan menyahaktifkan fungsi pandu auto sekaligus mengundang risiko kepada penerbangan.

Data keselamatan menunjukkan terdapat input perubahan mendadak daripada juruterbang semasa percubaan mengambil alih kawalan pesawat itu.

Malaysia Airlines Berhad antara syarikat penerbangan yang memiliki petugas cukup berpengalaman dan berkepakaran tinggi. – Foto ihsan Malay Mail

Bagaimanapun, tindakan awal kru penerbangan dan pelaksanaan senarai semak pemulihan tidak normal seperti prosedur operasi standard adalah mencukupi.

Namun, CAAM telah mengarahkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk melaksanakan segera beberapa keperluan bagi mengekalkan pengawasan keselamatan berkesan.

Antara langkah boleh dibuat termasuk meningkatkan program Latihan Pencegahan dan Pemulihan yang Tidak Baik (UPRT) MAB.

Hal ini penting bagi memberi penekanan kepada tindakan awal serta masa yang diambil untuk bertindak balas terhadap sesuatu isu.