Arkib Tag: TASKL 2025

Goodyear Malaysia lancar tayar Eagle F1 Asymmetric 6, Asymmetric 6 SUV – harga dari RM509

Goodyear Malaysia melancarkan produk tayar premium baharu Eagle F1 Asymmetric 6 dan Asymmetric 6 SUV bersempena dengan acara Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025, baru-baru ini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1980, siri Goodyear Eagle F1 telah menjadi produk sinonim dengan inovasi yang diinspirasikan daripada sukan permotoran.

Turut dinobatkan sebagai Tayar Rasmi TASKL 2025, Goodyear Malaysia percaya produk tayar Eagle Asymmetric 6 SUV terbaharu ini dapat memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan.

Eagle F1 Asymmetric SUV menawarkan empat teknologi utama iaitu:

  • Wet Braking Pro – pengendalian dan brek di jalan basah yang lebih baik
  • Dry Contact Plus – prestasi cemerlang di atas jalan kering
  • Quiet Performance – corak bunga yang mampu menjadikan pemanduan lebih senyap
  • Duraguard – menjadikan binaan tayar yang lebih kukuh daripada sebarang bahaya jalan raya yang tidak diduga

Tayar Goodyear Eagle F1 Asymmetric boleh didapati dalam pilihan saiz 17 inci hingga 21 inci, dengan harga jualan bermula serendah RM509.

Sementara Eagle F1 Asymmetric 6 SUV pula tersedia dalam pilihan saiz 18 hingga 20 inci, dengan harga bermula serendah RM793. Produk ini turut sesuai digunakan pada kenderaan elektrik (EV).

Goodyear Malaysia turut mengumumkan promosi istimewa di mana setiap pembelian tayar terpilih Goodyear saiz 17 inci dan ke atas akan mendapat kredit e-wallet Touch ’n Go sehingga RM200, sah sehingga 31 Ogos 2025.

 

TASKL 2025 bakal tampilkan Ferrari F40, Super Silhouette ER34 Liberty Walk!

Acara pameran tahunan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 (TASKL2025) tahun ini bakal diserikan dengan kehadiran dua buah jentera ikonik dari Jepun.

Model yang dimaksudkan itu ialah Ferrari F40 dan Super Silhouette ER34 yang dibina oleh Liberty Walk.

Pengunjung TASKL2025 juga boleh mendapatkan barangan eksklusif dan berpeluang untuk berjumpa dengan Wataru Kato, pengasas dan pemilik jenama itu di reruai Liberty Walk.

 

Ferrari F40

Ferrari F40 Liberty Walk ini dipertontonkan kepada umum pada tahun 2023, menampilkan kit badan yang lebih lebar serta casis yang lebih rapat ke tanah.

Dikatakan, F40 ini merupakan jentera sama yang telah dibuang daripada senarai rasmi Ferrari disebabkan ubahsuai yang berlebihan, menyimpang daripada falsafah reka bentuk Ferrari yang asal.

Biarpun dengan kit badan yang lebih agresif, Ferrari F40 ini mengekalkan nadi 2.9 liter bentangan V8 turbo berkembar menghasilkan 471 hp dan 578 Nm.

Kit badan lebar yang dihasilkan oleh Liberty Walk merangkumi front cowl, diffuser depan, diffuser sisi, fender flare, diffuser belakang, serta sayap belakang menghasilkan imej yang lebih agresif dan aspek aerodinamik yang dipertingkatkan.

Warna asal Rosso Corsa Red F40 ini telah digantikan dengan wrap putih dan hiasan bulatan merah yang mengingatkan kita kepada jet pejuang Mitsubishi A6M Zero era Perang Dunia Kedua.

 

Super Silhoutte ER34

Jentera Super Silhouette ER34 ini menggemparkan Tokyo Auto Salon 2020.

Ia dibina berdasarkan jentera lumba Skyline Super Silhouette KDR30 yang dipandu oleh Masahiro Hasemi pada perlumbaan Super Silhouette Formula 1982 dan 1983.

Liveri merah dan hitam yang ikonik itu kini menjadi rebutan para pengumpul model diecast.

Enjin asal RB25DET NEO ER34 ini telah pun dibuang dan digantikan dengan enjin L28 dengan sesaran dipertingkatkan kepada 3.1 liter dan tiga karburetor Solex 50 mm jenis twin-draft.

Kit badan penuh yang dihasilkan oleh Liberty Walk untuk ER34 ini terdiri daripada bampar hadapan, fender lebar, skirt sisi, bampar belakang, diffuser belakang, serta sayap belakang yang agresif.

Keempat-empat sudut gerbang roda pula dihiasi dengan rim Yokohama Advan Racing GT bersaiz 18 inci.

TASKL 2025 akan berlangsung pada 8-10 Ogos ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

Harga tiket masuk adalah seperti berikut:
RM48 (pas satu hari untuk dewasa)
RM30 (pas satu hari untuk kanak-kanak 6-12 tahun)
RM120 (Family Combo untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak)
RM120 (pas tiga hari dewasa)
Diskaun 50 peratus untuk pemegang kad OKU dan penjaga
Percuma: Kanak-kanak umur lima tahun ke bawah.

Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.tokyoautosalonkl.com.

 

Ferrari F40 Liberty Walk

Super Silhouette ER34 Liberty Walk

Tiket Tokyo Auto Salon KL 2025 sudah mula dijual pada harga lebih rendah

Berita baik buat para peminat acara pameran tahunan kereta-kereta ubahsuai dari Jepun.

Ini kerana tiket kemasukan untuk Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 (TASKL 2025) sudah mula dijual sejak semalam (19 Mac) dengan harga yang lebih berpatutan.

Ini merupakan salah satu cara untuk menarik lebih ramai pengunjung terutama peminat dan penggemar untuk menikmati pameran kereta kustom dan berprestasi yang paling mengujakan di Malaysia.

Harga tiket adalah seperti berikut:
• Dewasa: RM48 (pas sehari), RM120 (pas tiga hari)
• Kanak-kanak: RM30 (pas sehari), percuma untuk kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah
• OKU: Diskaun 50 peratus
• Pakej kombo: RM120 (dua dewasa dan dua kanak-kanak)

1,000 orang pembeli tiket pertama berhak menerima lanyard edisi terhad “First at TASKL 2025”.

Menurut Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies, Jason Yap berkata, “Harga tiket kini lebih rendah, lebih menarik untuk memberikan akses kepada semua orang supaya dapat menikmati pelbagai aktiviti dan pameran tahun ini.

“Dengan lebih daripada 90,000 orang pengunjung setiap hujung minggu dalam tempoh dua tahun pertama, harga tiket yang lebih rendah ini merupakan tanda penghargaan kepada para peminat dan peserta pameran atas sokongan yang menggalakkan,” ujarnya lagi.

TASKL merupakan satu-satunya pameran yang dianjurkan di luar Jepun yang berpaksikan kepada acara tahunan Tokyo Auto Salon yang terkenal di seluruh dunia.

Selain daripada pameran lebih 300 buah kenderaan ubah suai, TASKL 2025 juga bakal menyaksikan pelancaran model skala 1:64 edisi terhad, pertemuan kelab kereta, cabaran simulasi perlumbaan, serta pertemuan “Four Heavenly Kings” yang bakal diumumkan kelak.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.tokyoautosalonkl.com atau platform media sosial Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur di Facebook, Instagram, dan TikTok.