Arkib Tag: TASKL 2024

TASKL 2024: Subaru BRZ, WRX tampil liveri motif Songket dan Bunga Raya

TC Subaru Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif kenderaan jenama Subaru di Malaysia bakal memeriahkan acara pameran Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 dengan membawakan dua model kenderaan dihiasi liveri istimewa yang menerapkan elemen rekaan tempatan.

Liveri istimewa yang dipadankan pada Subaru BRZ dan WRX itu direka oleh Motorsport Playground yang diilhamkan daripada gabungan  budaya kejuruteraan Jepun dan unsur-unsur warisan Malaysia seperti cetakan Songket dan motif Bunga Raya yang menggantikan bunga Sakura.

 

Untuk makluman, Subaru sebelum ini menyertai cabaran time attack di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menggunakan jentera Subaru BRZ dan WRX yang memiliki spesifikasi standard kilang.

Dengan menggunakan kepakaran TD Racing, kedua-dua kereta itu menjalani persediaan yang diperlukan termasuklah penjajaran asas dan pemeriksaan minyak sebelum membuat cubaan time attack.

Dipandu oleh pelumba professional Freddie Ang, Subaru BRZ bertransmisi manual berjaya mencatatkan masa 02:42.211 manakala Subaru WRX CVT pula sekitar 02:43.472 untuk pusingan penuh.

TC Subaru turut bekerjasama dengan jenama pakaian tempatan Pestle & Mortar Clothing (PMC) menawarkan koleksi pakaian jalanan eksklusif yang boleh dibeli di TASKL 2024 pada 8 hingga 10 November ini bertempat di Malaysian International Trade and Exhibition
Centre (MITEC.

TASKL 2024 umum Honda Civic Type R FK8 Mugen sebagai hadiah cabutan bertuah!

Penganjur acara Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 mengumumkan hadiah cabutan bertuah istimewa berupa sebuah Honda Civic Type R FK8 Mugen untuk direbut para pengunjung tahun ini.

Acara Tokyo Auto Salon KL 2024 akan berlangsung bermula 8 hingga 10 November bertempat di Malaysia International Trade & Exhihition Centre (MITEC).

Unit Civic Type R FK8 Mugen itu merupakan model tahun 2019 yang masih belum didaftarkan.

Dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 318 hp dan 400 Nm serta kotak gear manual, ia turut dilengkapi aksesori tulen Mugen seperti kit badan, tombol gear, lampu belakang, rim Rays TE37 20 inci serta sistem ekzos aftermarket.

Cabutan bertuah akan dibuat pada jam 8.00 malam di pentas utama pada 10 November, namun usah risau kerana pemenang akan dihubungi sendiri oleh pihak penganjur sekiranya tidak berada di lokasi.

Sekiranya tiada respons setelah tiga kali panggilan dibuat, penganjur berhak untuk mencabut nama lain, dan pemenang akan dikehendaki menjawab tiga soalan dengan tepat.

Kos pendaftaran termasuk insurans, cukai jalan, pengangkutan dan kos-kos lain akan ditanggung sepenuhnya oleh pemenang.

Untuk mendapatkan peluang, pengunjung boleh membeli tiket pada harga RM60 (atau RM120 untuk tiga hari) dan menambah wang sebanyak RM28 untuk melayakkan diri menyertai acara cabutan bertuah.

Berikut merupakan senarai harga tiket:
Dewasa: RM60 (pas sehari), RM120 (pas tiga hari)
Kanak-kanak: RM30 (pas sehari), RM60 (pas tiga hari)
OKU: Diskaun 50 peratus

TAS juga memperkenalkan tiket Express Lane berharga RM80 untuk sehari, atau RM150 untuk tiga hari, di mana pembeli tiket Express Lane akan diberikan penghormatan untuk mengakses ruang lounge VIP.

Mahukan ekstra? Dapatkan sahaja akses Black Tag berharga RM1,500 untuk memperoleh manfaat istimewa seperti akses tiga hari, servis parkir valet percuma, akses lounge Black Tag, minuman percuma, akses ke Japan Pavillion Cars, barangan eksklusif edisi terhad TASKL 2024 dan banyak lagi.


Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur merupakan satu-satunya acara yang dianjurkan di luar Jepun, dihoskan oleh Element X Strategies bersama MUSE Group Asia, menerusi kerjasama dengan San Ei Corporation sebagai pemilik hak Tokyo Auto Salon dan Tokyo Auto Salon Federation.

Pada tahun lepas, TASKL 2023 telah menarik lebih daripada 91,000 orang pengunjung untuk memenuhi ruang lantai sebesar 130,000 kaki persegi.

Untuk tahun ini, TASKL 2024 menawarkan ruang pameran sebesar 170,000 kaki persegi selain menjanjikan kelainan yang tersendiri.