Arkib Tag: Tapah

Jalan Tapah- Cameron Highlands ditutup susulan insiden tanah runtuh

LALUAN FT 059 Jalan Tapah – Cameron Highlands ditutup sementara ekoran insiden tanah runtuh, semalam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands berkata, laluan tersebut ditutup kepada semua jenis kenderaan sehingga tempoh dimaklumkan kelak.

Setakat ini, pihak JKR sedang giat menjalankan kerja membaiki dan menyelenggara bagi mengelak insiden lebih buruk.

“Kerja-kerja kecemasan sedang giat dilaksanakan dan penutupan sementara laluan berkenaan adalah perlu demi keselamatan serta keselesaan pengguna.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan,” kata kenyataan dikeluarkan JKR.

Semalam, kejadian tanah runtuh berlaku di laluan di Batu 25 dan Batu 26 Jalan Tapah-Cameron Highlands.

Ia menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang dan terpaksa ditutup sementara waktu.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripoda orang awam pada 4.25 petang.

“Tiang elektrik juga tumbang dan laluan kedua-dua arah terhalang.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda orang awam,” katanya.

PLUS: Rancang perjalanan, lorong kecemasan dari Tapah ke Bidor ditutup

LORONG kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan bermula dari Tapah hingga ke Bidor (arah selatan) ditutup sehingga 19 November ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, ia ditutup bagi semua kenderaan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan.

Bagaimanapun, PLUS memaklumkan lorong kanan di kawasan terlibat masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Foto ihsan PLUS

Memetik kenyataan PLUS, semua pemandu diminta merancang perjalanan selain menggunakan Aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini.

Aplikasi tersebut dapat memberi informasi keadaan trafik termasuk memaparkan visual semasa keadaan jalan.

Terdahulu, PLUS turut meminta semua pemandu kekal mematuhi papan tanda trafik serta arahan dikeluarkan oleh kakitangan PLUS.

Untuk maklumat lanjut atau ingin mendapatkan bantuan kecemasan sila hubungi PLUSLine di 1800-88-0000.