Arkib Tag: Tajuddin kena pecat

LRT dijangka kembali beroperasi lebih awal, Tajuddin ‘okey’ dipecat

MENTERI Pengangkutan menjangkakan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya kembali beroperasi lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia selepas serpihan di kawasan kemalangan telah dibersihkan serta mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) akan segera membuat ujian perjalanan dengan tren lain (tanpa penumpang) pada tengah malam.

“(Ia) bagi memastikan semua laluan selamat digunakan khususnya di kawasan kemalangan itu,” katanya di Facebook, semalam.

Kesemua 58 buah tren dijangka beroperasi semula secepat mungkin sekaligus mengelak kesesakan dan kepadatan penumpang.

Pada Isnin, dua buah tren LRT bertembung dalam terowong di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Kejadian pada 8.45 malam itu menyebabkan 47 penumpang parah dengan 166 yang lain cedera ringan.

Terdahulu, Wee memohon orang ramai bersabar dengan segala kesulitan yang timbul.

Jelasnya, segala usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan kelancaran perjalanan perkhidmatan LRT.

“Sekali lagi saya memohon pengguna tren supaya bersabar sedikit masa lagi sebelum keadaan kembali normal,” katanya lagi.

Pengerusi Prasarana dipecat

Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah dipecat pada semalam.

Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dipecat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dibuat menerusi sepucuk surat ditandatangani Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi surat berkenaan, Tengku Zafrul merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan Tajuddin sepanjang memegang jawatan itu.

Memetik laporan Malay Mail, Tajuddin memaklumkan tidak terkesan dengan pemecatan itu sambil menganggap ia bukan suatu isu yang besar.

Pada masa sama, Tajuddin mengucapkan terima kasih dengan keputusan kerajaan itu memandangkan dirinya kini boleh memberi tumpuan terhadap tugas lain.

“Apa isunya? Apa masalahnya? Silakan pecat. Terima kasih kerana saya boleh beri tumpuan untuk tugas lain,” katanya.

Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana pada 11 Mei tahun lalu.

Ia bagi menggantikan bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020.