Arkib Tag: T8

Volvo S60 T8 R-Design sedan eksekutif serba boleh – Pandu uji

SEBUAH sedan yang serba boleh; pandu perlahan dengan bergaya ke majlis makan malam, pergi mesyuarat, atau melayan selekoh di Lebuh Raya Karak. Inilah dia Volvo S60.

Sekali pandang, Volvo S60 ini nampak begitu bersahaja, dengan garis-garis lurus yang ringkas pada badannya, cuma mungkin DRL LED Thor’s Hammer yang membuatkannya sedikit menyerlah. Tetapi ia ‘menyimpan’ prestasi yang cukup tinggi, malah melebihi pesaing-pesaingnya yang nampak lebih sporti dari luaran.

407hp dan 640Nm tork dari pakej 2.0-liter turbo dan sistem hibrid. Amacam? Kita akan cerita dengan lebih lanjut selepas ini.

Gaya elegan bersahaja

Volvo S60 berada dalam segmen sedan premium kompak seperti BMW 330i, Mercedes-Benz C300 dan Volkswagen Arteon.

Mungkin ada banyak sebab mengapa Volvo S60 kurang menjadi pilihan berbanding jenama-jenama kebiasaan tetapi mereka yang memilih jenama Sweden ini – bagi penulis – mempunyai citarasa tersendiri dan tahu apa yang mereka mahukan.

Bagi penulis, Volvo S60 cukup bergaya dan segak, serta nampak agak menonjol di jalan raya berbanding sedan lain dalam segmennya.

Pakej R-Design menaikkan lagi seri kereta ini dan membuatkannya tampil lebih sporti. Ia terdiri dari item seperti gril hitam, perumah cermin sisi hitam, rim aloi Matt Tech Black Diamond Cut 19-inci, tempat duduk sports, dan pedal aluminium.

Dari sisi, Volvo S60 nampak seperti sebuah sedan sports pacuan roda-belakang seperti BMW atau Jaguar, dengan bonet depan agak panjang, kabin sedikit ke belakang, dan but yang pendek. Padahal ia secara asasnya sebuah pacuan roda-depan.

Kabin selesa seperti di rumah

Pelik? Tetapi itulah yang penulis rasakan bila memandu atau berada dalam Volvo S60 ini. Kebiasaannya kita akan penat memandu dan mahu berehat di rumah.

Tetapi dengan S60, ia cukup selesa dan nyaman lantas menjadikan penulis tidak kisah bila orang rumah meminta penulis ke kedai sebentar untuk memberi satu atau dua barang. Jika dengan kereta lain, kita akan terasa liat atau malas.

Selesa untuk S60 bukan semata-mata bermakna tempat duduknya lembut, tetapi segala butang-butang kawalan, stereng, tombol, semuanya mudah dan sedap digunakan.

Pilihan bahan dan warna pada papan pemuka (metal mesh), tempat duduk kulit (Nappa dan Nubuck), tombol gear kristal, semuanya menyumbang kepada aspek ini.

Pada masa yang sama, kabin S60 ini terasa cukup premium dan moden dengan skrin instrumen digital 12.3-inci di depan stereng serta skrin infotainmen menegak di tengah, bersaiz 9-inci.

Cuma kawalan pada S60 dan model-model lain Volvo yang semuanya dari skrin infotainmen tidak begitu digemari penulis. Ianya okay untuk kawalan seperti sistem hiburan, tetapi jika pelarasan pendingin hawa pun melalui skrin, ia kurang praktikal.

Pakej hibrid prestasi tinggi

Hanya satu varian diberikan untuk S60 ini, iaitu T8 AWD Recharge yang terdiri dari enjin 2.0-liter turbo dan supercaj 4-silinder yang digandingkan dengan motor elektrik dan bateri berkapasiti 11.6kWh. Ya, Volvo S60 T8 ini merupakan model PHEV (plug-in hibrid).

Tetapi jangan biarkan status PHEV mengelirukan anda. PHEV bukan bermakna ia ‘lembut’ atau bersifat seperti hibrid tradisional. Sebaliknya Volvo menjadikan versi PHEV sebagai berprestasi tinggi, malah duduk lebih atas dari varian-varian lain.

Enjinnya menyalurkan 302hp dan 400Nm tork, dan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan. Motor elektrik pula membekalkan tambahan 87hp dan 240Nm ke roda belakang.

Jadi, bergantung kepada mod pemanduan, Volvo S60 T8 boleh menjadi pacuan roda-depan (enjin sahaja), pacuan roda-belakang (mod EV), atau pacuan semua-roda (mod hibrid).

Mentaliti berbeza bila memandu

Menurut Volvo, S60 merupakan model yang paling fokus kepada pemandu, kiranya paling sporti. Adakah ini benar? Dan lagi satu, adakah status ini cukup untuk menandingi pesaingnya dari Munich?

Baik, Volvo S60 T8 ini cukup selesa digunakan dalam semua keadaan sama ada ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, bergaya hujung minggu minum kopi di Bangsar Shopping Centre, atau menyakat Ford Mustang di lebuh raya.

Sterengnya yang ringan serta kabin selesa membuatkannya sesuai untuk kegunaan harian. Tetapi tork setinggi 640Nm dan kabin yang senyap walaupun dipandu laju menjadikan S60 ibarat kereta sports tanpa drama. Laju dan pantas tanpa sebarang bunyi ekzos meletup-letup.

Untuk itu, penulis rasakan S60 T8 ini memang model Volvo yang paling fokus kepada pemandu kerana model-model lain adalah lebih berat dan lebih menekankan aspek keselesaan.

Tetapi jujur kata, S60 T8 tidak dapat menandingi BMW 3-Series G20 untuk aspek pengendalian. Ini kerana pada 2,041kg, S60 ini 600kg lebih berat berbanding 320i jadi ia tidak selincah BMW.

Selain itu, beberapa mod pemanduan seperti Eco, Comfort, Dynamic dan Individual membolehkan anda menukar karakter kereta ini. Tetapi sepanjang pemanduan, kita sentiasa berfikir mengenai baki caj bateri, penjimatan tenaga, dan berapa banyak pedal hendak ditekan.

Pendek kata, mentaliti dan car akita memandu Volvo S60 T8 ini sedikit berbeza dari kenderaan lain. Kita akan selalu memikirkan tentang penjimatan tenaga. Ada masanya kita tak kisah memandu perlahan dan ‘menyimpan kuasa’ bateri untuk digunakan bila perlu.

Berbaloi?

Jika anda mahukan sedan premium sporti dan anda rajin mengecaj di rumah, maka Volvo S60 T8 AWD Recharge ini satu pilihan sangat menarik untuk dinilai. Anda akan jimat penggunaan petrol, dapat gaya, rasa premium, dan prestasi.

Tetapi jika anda tidak mampu mengecaj dengan kerap, sebagai contoh anda tinggal di kondominium dengan tiada tempat mengecaj, maka S60 ini bukan pilihan ideal.

Ini kerana keseluruhan 407hp dan 640Nm hanya didapati bila bateri mempunyai kuasa. Jika bateri kehabisan kuasa sepenuhnya, hanya enjin yang digunakan untuk menggerakkan kereta dan kita terasa berat bateri itu seperti sia-sia atau ibarat mengusung bagasi penuh dalam but sepanjang masa.

Spesifikasi Volvo S60 T8 AWD Recharge

Harga: RM282,540.00
Enjin: 2.0-liter turbo, supercaj, 4-silinder
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 320hp @ 5,700rpm
Tork: 400Nm @ 1,200rpm
Kapasiti bateri: 11.6kWh
Output bateri: 87hp, 240Nm
Output keseluruhan: 407hp, 640Nm

Harga rasmi Volvo V60 2022 diumum – RM287k, varian tunggal Recharge T8 Inscription

SELEPAS menyiarkan beberapa gambar Volvo V60 baharu di laman sosial, Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan harga rasmi untuk wagon itu, iaitu RM287,434.

Ia hadir dalam varian tunggal Recharge T8 Inscription iaitu trim paling mewah dalam Volvo, tidak seperti S60 sedan yang mendapat kit badan R-Design.

Recharge T8 juga bermakna ini varian dengan janaan kuasan plug-in hibrid (PHEV). Ini merangkumi enjin Drive-E 2.0-liter yang menghasilkan 320hp dan 400Nm tork, kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan.

Ini dibantu dengan motor elektrik di roda belakang berkuasa 87hp dan 240Nm, menjadikan kereta ini sebuah pacuan semua-roda (AWD). Output total pula ialah setinggi 407hp dan 640Nm.

Pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 4.6 saat dengan kelajuan maksima dihadkan pada 180km/j – sejajar dengan inisiatif Volvo.

Perbezaan utama dengan sedan pastinya kapasiti kargo wagon ini yang lebih besar iaitu 529 liter berbanding 442 liter pada S60. Tempat duduk belakang juga boelh dilipat 60:40 untuk memberikan but seluas 1,441 liter.

Ciri lain termasuklah rim lima-bilah 19-inci, kemasan kulit Charcoal dan Linear Lime, skrin infotainmen menegak 9.7-inci dengan perisian Sensus, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, lampu LED adaptif, rel bumbung berwarna perak, tombol gear Orrefors, paparan instrumen 12.3-inci, dan sistem audio Harman Kardon.

Dan sudah tentu, Volvo V60 dilengkapi ciri keselamatan Pilot Assist yang memberikannya kebolehan pemanduan kendiri Level 2.

Volvo V60 Recharge T8 baharu ini dilindungi dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan jaminan bateri lapan-tahun atau 160,000km.