Arkib Tag: SUV tujuh tempat duduk

Mitsubishi Destinator – SUV tujuh tempat duduk untuk pasaran ASEAN

Setelah beberapa bulan model DST Concept diperlihatkan, Mitsubishi akhirnya melancarkan secara rasmi model produksi sebenar SUV tujuh tempat duduk yang dinamakan sebagai Destinator.

Selain daripada pasaran ASEAN, Mitsubishi turut merancang untuk memasarkan model ini ke pasaran Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Platform

Mitsubishi Destinator dibina berdasarkan platform SUV segmen B XForce, namun membawakan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Dimensinya juga lebih besar, dengan ukuran sepanjang 4,680 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,780 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,815 mm.

Jarak kelegaan tanah pula setinggi 214 mm, sementara radius putaran pula sekitar 5.4 meter.

Berbanding Xpander, Destinator memiliki kelebihan ukuran panjang 85 mm, lebar 40 mm, lebih tinggi 30 mm dan jarak antara roda 40 mm lebih panjang.

 

2. Enjin

Satu perkara yang tidak dikongsi dengan model Xforce ialah nadi kuasa.

Destinator kini dibekalkan dengan enjin MIVEC 1.5 liter turbo (kod 4B40) yang mampu menghasilkan 161 hp @ 5,000 rpm dan daya kilas 250 Nm @ 2,000-4,000 rpm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT.

Terdapat lima mod pemanduan: Wet, Tarmac, Normal, Gravel dan Mud.

 

3. Suspensi

SUV ini mendapat tetapan suspensi topang MacPherson untuk gandar depan, dan torsion beam yang lebih ringkas untuk gandar belakang.

Namun, Mitsubishi mendakwa talaan yang diberikan untuk Destinator telah disesuaikan untuk kegunaan jalan raya di ASEAN.

Selain jarak kelegaan tanah yang tinggi, Destinator turut menawarkan sudut pendekatan 21 darjah, sudut pelepasan 25.5 darjah, dan sudut breakover 20.8 darjah untuk memudahkan urusan pemanduan di laluan yang kasar dan berbonggol.

 

4. Reka bentuk luaran

Destinator menggunakan konsep Gravitas dan Dynamism, seperti yang ditonjolkan pada reka bentuk badan yang gagah, jarak kelegaan tanah yang tinggi, serta saiz rim 18 inci.

Muka depan masih lagi mengetengahkan konsep Dynamic Shield yang lebih moden, diserikan dengan perumah lampu berbentuk T dan jeriji yang bersegi.

Sementara bahagian belakang pula membawakan konsep Hexaguard Horizon, atau motif heksagon yang diinspirasikan daripada ruang tayar simpanan pada model Pajero.

 

5. Ruang kabin

Dengan ukuran jarak antara roda yang lebih panjang berbanding Xpander, ruang kabin Destinator menawarkan ruang kepala dan kaki yang lebih selesa.

Selain itu, terdapat bumbung kaca panorama, sistem pencahayaan ambien 64 warna, corong pendingin hawa untuk setiap baris, port pengecasan USB Type-A dan C, serta tempat pemegang cawan yang boleh didapati pada konsol tengah dan trim pintu.

Untuk pemandu disediakan skrin kluster digital lapan inci yang turut menawarkan tema yang diinspirasikan daripada model Pajero.

Skrin tengah pula sebesar 12.3 inci, dipadankan dengan sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium yang mempunyai tetapan lapan pembesar suara, dan empat mod yang dioptimasikan untuk penghasilkan bunyi berkualiti tinggi.

 

6. Keselamatan

Mengikut jejak Xpander facelift, Destinator kini menawarkan sehingga enam beg udara SRS.

Terdapat kelengkapan keselamatan Mitsubishi Motors Safety Sensing yang merangkumi:
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCM)
Amaran Titik Buta (BSW)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
Peringatan Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN)
Sistem Pemantauan Keliling (MAM)

Selain itu, Destinator turut menawarkan fungsi panggilan kecemasan dan sokongan pusat panggilan yang dipertingkatkan.

Mitsubishi Destinator akan dipamerkan kepada umum di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show pada 23 Julai ini.

Mitsubishi dedah model konsep SUV 7 tempat duduk, pengganti Outlander?

Mitsubishi bakal memperlihatkan sebuah model konsep SUV tujuh tempat duduk dalam acara pameran Philippine International Motor Show 2024 pada 24-27 Oktober ini.

Berdasarkan imej teaser yang dimuat naik, model baharu itu dilihat mempunyai persamaan rekaan muka hadapan dengan SUV Xforce, manakala rekaan jeriji pula menyamai model Outlander.

Sementara sebuah lagi imej memaparkan rekaan tiang C yang agak stailo, diikuti dengan garis bahu yang jauh lebih menonjol.

Seperti biasa, tiada sebarang butiran terperinci berkenaan model tersebut didedahkan, sama ada dari segi saiz mahupun asas yang digunakan (monocoque atau trak pikap) buat masa ini.

Salah satu kemungkinan ialah model ini dijangka menggantikan penawaran Outlander sedia ada, disebabkan oleh Outlander generasi baharu kini jauh lebih canggih dan premium untuk pasaran Asean.

Melihatkan kepada persamaan rekaan, kami menjangkakan model konsep ini merupakan petunjuk kepada kehadiran Xforce versi tiga baris tempat duduk, bertepatan dengan komitmen jenama itu untuk menghasilkan model yang bersesuaian untuk pemandu Asean.

Jika benar, model konsep ini mungkin sekali akan berkongsi nadi 1.5 liter yang sama digunakan pada Xforce, menghasilkan 103 hp yang dipadankan dengan transmisi CVT memacu roda depan.

Lebih banyak info bakal diketahui menjelang akhir bulan ini.