Arkib Tag: SUV premium

KLIMS2026: Wuling Huajing S buat kemunculan pertama di luar China

Sebuah lagi model menarik yang dipamerkan di reruai TQ Wuling ialah SUV mewah Huajing S.

Ia merupakan sebuah SUV dengan konfigurasi enam tempat duduk dan hadir dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV).

Spesifikasi

Huajing S merupakan kenderaan pertama yang dibangunkan oleh SAIC-GM-Wuling dengan Huawei Qiankun.

Sistem PHEV pada SUV ini terdiri daripada:

  • enjin 1.5L turbo (141 hp)
  • motor elektrik
  • pilihan pek bateri LFP 31 kWh atau 41.9 kWh

Kuasa keseluruhan mencecah 518 hp dan daya kilas 620 Nm.

Bergantung kepada pilihan pek bateri, SUV ini boleh bergerak dalam mod sifar emisi sejauh 175 km mengikut data WLTC.

Dimensi & casis

Huajing S membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,235 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,800 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,105 mm.

Unit yang dipamerkan ini dipadankan dengan rim bersaiz 21 inci dengan balutan tayar Michelin 265/45R21.

Casis SUV ini ditampung oleh tetapan suspensi double wishbone di depan diikuti multi-link di belakang yang dibantu dengan peredam kawalan elektronik.

Kelengkapan

Di bahagian luar, Huajing S dilengkapi dengan unit lampu LED, lampu nyalaan siang grafik kilat serta struktur jeriji tertutup.

Rekaan lampu belakang juga membawakan grafik kilat yang serupa pada muka depan.

Untuk ruang kabin, terdapat ciri seperti:

  • skrin kluster digital 8.8 inci
  • skrin infohibur 15.6 inci
  • sistem operasi HarmonySpace 5
  • roda stereng kemasan dua tona
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • fungsi ventilasi, pemanas dan urut untuk dua baris pertama
  • tempat duduk kapten baris kedua
  • skrin baris kedua 15.6 inci boleh disimpan
  • peti sejuk

 

Ruang kargo pula mampu mencapai kapasiti sehingga 1,268 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

Ia juga turut hadir dengan kelengkapan teknologi pemanduan pintar Huawei Qiankun yang dibantu dengan sistem LiDAR.

Bakal masuk Malaysia?

Buat masa ini, pihak TQ Wuling tidak mengumumkan sebarang perancangan untuk membawa masuk SUV Huajing ini ke pasaran Malaysia.

Omoda | Jaecoo Malaysia raikan serahan kenderaan ke-20 ribu

Omoda | Jaecoo Malaysia meraikan pencapaian penting dengan penyerahan kenderaan yang ke-20,000 dalam tempoh 14 bulan selepas jenama itu diperkenalkan di sini.

Penyerahan kenderaan ke-20,000 itu diraikan dalam satu acara eksklusif bertema ‘20,000 and Beyond: A Celebration of Trust’ yang diadakan di Blossom Glass Mansion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lebih 100 tetamu hadir ke acara tersebut yang turut menyaksikan sebuah Jaecoo J7 PHEV diserahkan kepada pemilik baharunya, Khirdzir Ali.

Menurut Khirdzir, “Saya benar-benar berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada mercu jaya luar biasa dengan penyerahan 20,000 kenderaan Omoda | Jaecoo di Malaysia. Memang amat membanggakan untuk melihat betapa pantas jenama ini telah berkembang maju dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pemandu di Malaysia.”

Beliau juga tidak sabar untuk menikmati tahap keselesaan dan kecekapan J7 PHEV baharu ini dengan keluarganya.

Selain aktiviti mesra keluarga dan pameran model Jaecoo J5 yang akan dilancarkan tidak lama lagi, turut dipamerkan J7 AWD milik Irene Tee yang telah mencatatkan jarak perbatuan 70,000 km dalam masa tidak sampai setahun.

Menurut Pemangku Pengarah Jualan Omoda | Jaecoo Malaysia, Clement Yeo berkata, “Kejayaan mencapai 20,000 pendaftaran kenderaan dalam tempoh setahun lebih sesungguhnya satu detik membanggakan bagi kami dan membuktikan keyakinan yang diletakkan oleh pelanggan Malaysia terhadap Omoda | Jaecoo.

“Mercu jaya ini juga sebahagian daripada pencapaian Kumpulan Chery yang lebih luas, yang telah mencatatkan jualan 5 juta kenderaan di pasaran eksport, dengan lebih 600,000 unit daripada angka ini disumbangkan oleh kenderaan Omoda | Jaecoo.

“Menerusi rangkaian rakan pengedar, kami terus komited untuk menggembirakan pelanggan Malaysia dengan portfolio luar biasa yang menggabungkan teknologi canggih seperti Sistem Hibrid Super (Super Hybrid System) dengan keselesaan, keselamatan dan reka bentuk premium,” tambahnya.

Sebagai jenama SUV premium, Omoda | Jaecoo kini menawarkan empat model teras iaitu Jaecoo J7, Jaecoo J7 PHEV, Jaecoo J8 serta Omoda C9 yang disokong oleh lebih 50 rakan pengedar strategik, gudang alat ganti dan operasi pemasangan tempatan di Shah Alam.

Pencapaian tersebut juga mengukuhkan kedudukannya dikalangan lima jenama automotif teratas untuk tempoh separuh pertama 2025 (1H 2025).

Bersempena dengan pencapaian terbaharu ini, Omoda | Jaecoo menawarkan promosi khidmat servis percuma 7-tahun atau ganjaran bernilai RM5,000 untuk Jaecoo J7 PHEV sah sehingga 31 Disember 2025.

Terdapat juga pakej pembiayaan dan servis menarik disediakan untuk model Jaecoo J7 2WD, J7 AWD, C9 2WD dan C9 AWD yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025.

Tiga kelemahan yang wujud pada Jaecoo J7

Jaecoo J7 sudah dilancarkan kira-kira enam bulan yang lepas, dan kita masih lagi boleh melihat kelibat SUV ini di atas jalan raya, membuktikan popularitinya di kalangan rakyat Malaysia.

Bukan sekadar rupa paras yang dipertaruhkan, Jaecoo J7 turut menawarkan ciri dan fungsi yang praktikal dan sesuai untuk kegunaan seharian.

Di pasaran Malaysia, kita boleh mendapatkan J7 dengan varian pacuan dua roda (2WD) atau varian pacuan semua roda (AWD) dengan harga jualan bermula dari RM138,800.

Tidak banyak perbezaan ketara yang wujud antara kedua-dua model tersebut, malah varian 2WD dan AWD dilengkapi dengan ciri keselamatan yang hampir menyeluruh untuk menjamin pemanduan yang lebih selamat.

Nampak macam sebuah SUV yang sempurna, namun Jaecoo J7 ada kelemahan yang tersendiri.

 

1. Rupa ala Range Rover – bukan untuk semua orang

Seperti yang anda lihat, Jaecoo J7 menawarkan pakej rupa paras yang unik, dan nampak premium untuk sebuah SUV bawah julat RM150,000.

Namun begitu, rupa paras tersebut adalah satu perkara yang subjektif, di mana ada pihak yang mungkin tidak begitu menggemari rupanya seakan sebuah Range Rover itu.

Seperkara yang kami harapkan ialah struktur unit lampu belakang yang boleh dibesarkan supaya rekaan keseluruhan bahagian tersebut tidak nampak terlalu kosong.

 

2. Terlalu bergantung kepada skrin

Seperti mana-mana kereta moden, Jaecoo J7 juga tidak dapat lari daripada mengikuti trend menyumbat segala macam fungsi ke dalam skrin infohibur.

Ia bukanlah satu perkara yang negatif, sekiranya sesebuah pengeluar itu tahu untuk meletakkan fungsi yang sepatutnya untuk memudahkan urusan pemandu terutama ketika memandu seorang diri.

Ya, arahan berbentuk suara juga turut tersedia, namun tidak semua gemar melontarkan arahan berbentuk suara untuk fungsi yang selama ini boleh diubah sendiri – seperti menetapkan suhu dan kelajuan tiupan pendingin hawa.

Mujur juga terdapat butang khas AC di konsol tengah untuk memudahkan pemandu meneroka menu kawalan pendingin hawa yang tersorok di dalam skrin tengah itu.

 

3. Sistem keselamatan yang boleh ditambah baik

Secara keseluruhan, penulis amat berpuas hati dengan kecekapan sistem keselamatan yang wujud pada Jaecoo J7.

Cuma, mungkin lebih baik sekiranya sistem pengelakan keluar lorong (dan pembetulan stereng) itu ditala dengan lebih baik supaya pemandu tidak rasa ‘terputus hubungan’ dengan jalan.

Ia bukanlah satu perkara yang baik sekiranya pemandu tidak mendapat respons yang sepatutnya daripada jalan raya gara-gara sistem pembetulan stereng yang masuk campur selama beberapa saat sebelum menyerahkan semula kawalan kepada pemandu.

Ulasan penuh pandu uji Jaecoo J7 anda boleh baca pada pautan di bawah:

Cubaan seminggu bercinta dengan Jaecoo J7 – Pandu Uji