Arkib Tag: susut nilai

Selepas setahun, Mercedes EQS alami susut nilai hampir 50 peratus – kajian iSeeCars

Selain daripada spesifikasi dan kebolehpercayaan, nilai jualan semula juga merupakan antara faktor yang perlu dipertimbangkan oleh kebanyakan golongan pembeli.

Jika kadar susut nilai terlalu tinggi, pengguna mungkin terpaksa menanggung kerugian yang besar, apatah lagi jika perkara tersebut dialami dalam tempoh setahun selepas pembelian dibuat.

 

 

Menurut kajian terbaharu daripada iSeeCars, sedan elektrik Mercedes-Benz EQS menggungguli carta sebagai kereta dengan susut nilai paling tertinggi, sekitar 47.8 peratus, dengan perbezaan nilai antara kereta terpakai dengan kereta baharu sebanyak $65,143 (RM309,380).

Empat lagi EV yang tersenarai dalam carta tersebut ialah Nissan LEAF dengan susut nilai 45.7 peratus, atau $15,786, Kia EV6 (susut nilai $18,081 atau 33.3%), Hyundai IONIQ 5 (susut nilai $16,805 atau 32.9%), serta Volkswagen ID.4 (susut nilai $15,609 atau 32.9%).

Laman iSeeCars turut menyertakan senarai kenderaan terpakai dengan harga jualan yang masih tidak jauh beza berbanding harga kenderaan baharu.

 

Tempat tertinggi disandang oleh Range Rover di mana harga jualan di pasaran terpakai didapati jauh lebih mahal berbanding harga runcit yang dicadangkan.

Ini adalah berikutan ketersediaan stok Range Rover baharu yang agak terhad, menjadikan kebanyakan golongan sasaran memilih untuk mendapatkan model tersebut dengan lebih cepat menerusi pasaran kenderaan terpakai, walaupun dengan harga jualan yang lebih mahal.

Daripada senarai tersebut, hanya Range Rover sahaja yang tidak mengalami susut nilai, manakala selebihnya mempunyai susut nilai antara 0.1 peratus hingga 8.8 peratus dengan nilai purata 12.8 peratus.

 

 

Laman iSeeCars turut menyarankan para pengguna supaya mendapatkan model-model seperti Kia Rio, Mercedes-Benz G-Class, Ford Maverick serta Toyota Corolla Hybrid secara terus daripada pengeluar disebabkan perbezaan harga yang amat kecil berbanding pasaran terpakai.

Berdasarkan semakan di laman jualan kenderaan terpakai tempatan, anda sebenarnya sudah boleh mendapatkan sebuah Mercedes-Benz EQS model tahun 2022 pada harga serendah RM388,000 sahaja.

Bagi kami, ia merupakan satu pembelian yang lebih berbaloi untuk mereka yang mencari sebuah sedan mewah elektrik dengan jarak gerak boleh mencecah sehingga 782 km untuk sekali cas penuh, jika dibandingkan dengan harga jualan asal mencecah hampir RM700k itu.

 

Hyundai kian dipercayai, susut nilai kereta setara dengan jenama Jepun

HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) memaklumkan nilai jualan semula kereta jenama itu kini hampir sama dengan kenderaan keluaran syarikat Jepun.

Menurut Pengarah Urusannya Low Yuan Lung, andaian kenderaan Hyundai mempunyai nilai jualan semula lebih rendah adalah tidak berasas.

Katanya, Hyundai kini mampu membuktikan bahawa produk dihasilkan kini lebih berkualiti selain mempunyai rekaan menarik.

“Perbezaan harga model kenderaan Hyundai berusia lima tahun berbanding model setara dari pengeluar Jepun tidak begitu ketara.

“Hal yang sama berlaku bagi nilai penyusutan bagi kedua-dua keluaran itu selepas lima tahun,” jelasnya.

Setakat ini, Hyundai berjaya menampilkan inovasi dan teknologi canggih yang mampu bersaing dengan jenama premium Eropah.

Untuk rekod, model Hyundai terpakai banyak terjual sebaik syarikat itu melancarkan program kereta terpakai, Hyundai Promise.

Antara kelebihan program ini termasuk pemeriksaan secara menyeluruh, servis dan penggunaan alat ganti tulen.

Hyundai Promise dimiliki dan dikenalikan oleh HSDM selain disokong oleh Sime Darby Auto Selection.