Arkib Tag: sunat ekor

Modifikasi ‘wajib’ Yamaha R15 jadi lebih ‘mantul’

KEHADIRAN Yamaha YZF-R15 atau R15 di jalan raya Malaysia bukan suatu yang baharu.

Tidak keterlaluan jika model ini boleh dikatakan ‘bersepah’ serata pelosok negara sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.

Walaupun mempunyai kapasiti enjin yang kecil (155cc) namun, reka bentuk sportbike ala superbike ini membuatkan ia diminati ramai.

Pelbagai modifikasi dilakukan sebilangan besar pemilik R15 sama ada melibatkan bahagian enjin atau komponen lain.

Berdasarkan research dilakukan EnGear, berikut antara modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15 ke atas jentera mereka.

Ekzos

Rata-rata pemilik R15 pasti menukar ekzos asal kepada aftermarket.

Terdapat pelbagai jenama ekzos aftermarket antaranya seperti Akrapovic, SC Project, AHM, Sakura, Kozi, R9, MHR dan banyak lagi.

Bagaimanapun, perlu diingat penukaran ekzos adalah suatu tindakan yang salah di sisi undang-undang.

Bak kata bidalan, “berani buat berani tanggung”.

Uma Racing antara syarikat menghasil dan mengedar ECU atau Engine Control Unit.

ECU

Pemilik R15 yang telah menukar ekzos asal kebanyakannya pasti akan menggunakan ECU aftermarket bagi jentera mereka.

Apakah itu ECU? ECU bermaksud Engine Control Unit.

Komponen ini merupakan peranti kawalan elektronik yang mengawal penggerak dalam enjin seperti kadar kemasukan udara, bahan api dan tekanan bahan api dalam sistem.

Monoshock

Salah satu komponen yang sering ditukar pemilik R15 adalah monoshock.

Monoshock ditukar kepada jenama aftermarket mengikut cita rasa masing-masing.

Bagi kebanyakan ‘kaki leper’, penukaran monoshock adalah suatu yang wajib.

Namun, ini tidak bermakna monoshock asal keluaran Yamaha tidak berkualiti ya!

Tayar

Penukaran tayar sering dilakukan juga bagi kebanyakan motor R15.

Menerusi pemerhatian EnGear di media sosial, terdapat sebilangan pemilik mendakwa tayara asal (keluaran kilang) tidak begitu sesuai untuk gaya tunggangan agresif.

Antara jenama tayar boleh didapati di pasaran adalah Timsun, Bridgestone, Pirelli, Metzeler dan banyak lagi.

Jentera R15 kelihatan lebih 'garang' tanpa mudguard belakang.

‘Sunat ekor’

‘Sunat ekor’ adalah tindakan mengeluarkan komponen mudguard terdapat di bahagian belakang motosikal.

Tindakan ini tidak memberi kesan kepada kelajuan motosikal tetapi tidak lain hanya untuk kelihatan lebih ‘garang’.

Oh ya! Jika mudguard dikeluarkan maka apabila waktu hujan faham-faham sahajalah.

Sebenarnya ada banyak modifikasi lain sering dilakukan pemilik R15 yang tidak dapat disenaraikan di sini.

Apa pun, apa yang EnGear senaraikan di atas adalah modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15.

Memang seronok untuk melakukan sebarang modifikasi terhadap jentera kesayangan tetapi perlu diingat jangan sampai langgar undang-undang okey!