Arkib Tag: SRT

Pakej ‘jailbreak’ tambah kuasa Dodge Charger dan Challenger SRT Hellcat

BILA sebut sahaja perkataan ‘jailbreak’, perkara pertama yang terlintas di fikiran anda pastinya telefon pintar yang telah digodam.

Namun bagi Dodge, Jailbreak adalah nama yang diberikan kepada pakej terbarunya yang dibangunkan khas untuk Charger dan Challenger SRT Hellcat Widebody.

Apa yang menarik tentang pakej ini, ia bukan sahaja meningkatkan kuasa dari 797hp kepada 807hp, malah memberikan pemilik kebebasan untuk memilih kombinasi warna yang tidak pernah ditawarkan oleh Dodge sebelum ini.

Pakej ini ditawarkan pada harga yang agak murah iaitu $995 (RM4,162).

Untuk Challenger, pakej Jailbreak menawarkan kombinasi warna yang merangkumi lebih 20 kategori, termasuk tujuh untuk tempat duduk, jalur dan rim, enam untuk angkup brek, lima untuk kemasan lencana luaran, empat untuk stereng, tali pinggang keledar dan karpet lantai, serta banyak lagi.

Begitu juga dengan Charger, yang mana jentera ini boleh dipersonalisasikan mengikut citarasa pemilik masing-masing dengan tujuh pilihan warna untuk rim, enam untuk jalur badan dan angkup brek, lima untuk tempat duduk dan lencana luaran, serta empat untuk stereng, tali pinggang keledar dan karpet.

Bukan itu sahaja, kedua-dua jentera muscle ini juga boleh ditempah dengan pelbagai kelengkapan eksklusif Jailbreak.

Antaranya adalah upholsteri kulit dan aksen karpet dalam warna Hammerhead Grey, balutan Alcantara dan kulit dengan logo SRT putih pada stereng, kemasan krom pada penutup tangki minyak, jalur vinyl, kemasan gentian karbon Copper Weave, dan rim berukuran 20-inci dalam Warp Speed Satin Carbon atau Low Glass Granite.

Bagi mereka yang sukar membuat pilihan, Dodge ada menawarkan pakej-pakej yang direka oleh mereka sendiri iaitu Old School, Brass Funky, Red Dawn, The Classic, Yin Yang dan pelbagai lagi.

Sebagai contoh, Old School menampilkan warna F8 Green, kemasan Warp Speed Satin Carbon untuk rim, angkup brek berwarna Gunmetal Grey, karpet dan tali pinggang keledar Hammerhead Grey serta stereng kulit lengkap dengan logo SRT.

Sementara itu, Brass Funky pula menggabungkan warna Hellraisin dengan upholsteri kulit Sepia Laguna, rim dan gril Brass Monkey, karpet Sepia, bezel gentian karbon, pelapik bumbung baldu dan balutan Alcantara pada stereng.

Aksi Moto3 GP Aragon, dua sebab Damok perlu tampil menyinar

PELUANG pelumba muda negara Syarifuddin Azman atau Damok beraksi dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3 boleh diumpamakan seperti pucuk dicipta ulam mendatang.

Mempunyai rekod cemerlang dalam saingan FIM CEV Moto3 Remaja, Damok perlu membuktikan dirinya antara pelumba terbaik negara ini.

Penulis percaya, di sebalik keterujaan dapat beraksi di saingan Moto3 pastinya wujud rasa gementar atau gugup dalam diri pelumba kelahiran Selangor itu.

Namun, sebagai pelumba profesional Damok perlu buang rasa gemuruh malah, menukarkan ia sebagai ‘senjata’ bagi mengatasi pihak lawan.

Menerusi pengamatan penulis, terdapat dua sebab utama Damok perlu memberikan segala kudrat yang ada pada saingan di GP Aragon nanti.

Pelumba muda negara, Damok berjaya membuktikan dirinya juga sehebat atlet lain dalam sukan permotoran. – Foto ihsan Facebook/Damok

Pertama, Damok perlu membuktikan kepada dunia bahawa dirinya memang layak untuk beraksi pada kejuaraan Moto3.

Sudah pasti, Damok juga tidak ingin dilabel hanya sebagai pelumba gantian ‘tangkap muat’ bagi menggantikan ketiadaan John McPhee.

Kedua, prestasi Damok akan dinilai oleh pasukan lain yang mungkin sedang ‘memburu’ bakat baharu.

Pada penulis, kini sudah tiba masa pelumba Malaysia pula menjadi rebutan pasukan bertaraf dunia lain.

Maka, impian untuk kita miliki pelumba hebat seperti Valentino Rossi, Fabio Quartararo, Marc Marquez dan ramai lagi bukan lagi suatu yang mustahil.

Tidak dinafikan ramai kalangan peminat sukan perlumbaan teruja untuk melihat aksi Damok di Moto3 nanti. – Foto ihsan Facebook/Damok

Semalam, pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) mengumumkan Damok bakal menggantikan McPhee yang akan berlumba bagi saingan Moto2.

Menurut kenyataan SRT, peluang itu bagi memberikan pengalaman ‘berharga’ kepada Damok.

Damok sebelum ini berjaya memenangi perlumbaan Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol di Catalunya pada Jun lalu.

Ia merupakan kejayaan pertama Damok menaiki podium di kedudukan pertama perlumbaan.

Tiada lagi Petronas dan SIC dalam pasukan SRT, bakal bergerak solo tahun depan?

SELEPAS Petronas menamatkan kerjasama sebagai penaja Sepang Racing Team (SRT), disahkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga akan mengikut jejak langkah syarikat petroleum negara itu.

Perkembangan itu diumumkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam satu sidang media.

Menurut Shafriman, SRT atau Sepang Racing Team akan bergerak secara bersendirian bermula musim 2022 dan perkara berkenaan sudah diputuskan menerusi perbincangan dengan Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali.

“Pada tahun depan, pasukan yang ada sekarang bawah Datuk Razlan akan bergerak secara persendirian dan SIC tidak akan menyokong lagi pasukan berkenaan selepas ini,” kata Shafriman.

“Ini bermakna pasukan SRT akan bergerak asing daripada SIC. Jadi SIC tidak ada pasukan di MotoGP pada tahun depan. Mungkin akan ada proses penjenamaan semula tetapi ia masih dalam perbincangan,” tambahnya.

Petronas mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak selaku penaja utama SRT selepas mula bekerjasama pada 2018 dalam saingan Moto2 dan Moto3.

Ia kemudian disusuli dengan penubuhan pasukan yang beraksi di kelas elit, MotoGP sebagai pasukan satelit Yamaha iaitu Petronas Yamaha SRT pada 2019. Mereka menggunakan khidmat pelumba Fabio Quartararo serta juara dunia Moto2 2017, Franco Morbidelli.

Tiada lagi tajaan Petronas, SRT ‘dihujani’ pelbagai spekulasi

PETRONAS dilaporkan tidak lagi menaja pasukan Sepang Racing Team (SRT).

Memetik laporan portal Auto Sport, penamatan kerjasama itu berkuatkuasa musim depan.

Susulan itu, tiada lagi sponsorship Petronas bagi pasukan kendalian SRT meliputi MotoGP, Moto2 dan Moto3.

Dewasa ini, timbul beberapa cerita mengenai pasukan SRT bukan sahaja melibatkan tajaan malah, membabitkan pelumbanya.

Valentino Rossi bakal menamatkan karier bersama pasukan Yamaha Sepang Racing Team selepas membuat keputusan untuk bersara bagi musim depan. – Foto ihsan Malay Mail

Antara berita menghiasi sukan permotoran termasuk persaraan legenda sepanjang zaman Valentino Rossi yang hanya mewakili SRT untuk satu musim sahaja.

Selain itu, SRT juga dikhabarkan bakal kehilangan pelumba Franco Morbidelli yang akan menyertai pasukan Yamaha Factory Team pada musim depan.

Kemasukan Morbidelli dalam pasukan Yamaha Factory Team menjadi perbualan hangat peminat MotoGP susulan penamatan kontrak pelumba sedia ada, Maverick Vinales.

Pelumba MotoGP Franco Morbidelli dikatakan akan meninggalkan pasukan Yamaha Sepang Racing Team (SRT). – Foto ihsan Facebook/Franco Morbidelli

Untuk rekod, SRT turut dikatakan akan memansuhkan pasukan Moto2 dan Moto3 pada musim depan.

Justeru, pelumba Moto3 Darryn Binder antara yang bakal dibawa ke saingan MotoGP musim 2022.