Arkib Tag: SKE

Syarikat konsesi tampil beri penjelasan kontroversi projek pembinaan SKE

Status projek Lebuhraya Sungai Klang (SKE) akhirnya terungkai dengan penjelasan terbaharu daripada syarikat konsesi Sungai Klang Expressway Sdn Bhd (SKESB).

Semalam, SKESB menjelaskan projek pembinaan SKE masih belum mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor.

Memetik kenyataan dikeluarkan, SKESB bagaimanapun mengakui telah menyerahkan cadangan pembinaan projek lebuh raya tersebut.

“SKESB telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan perhatian untuk Menteri Kerja Raya pada 19 November 2020.

“SKESB telah dijemput untuk membentangan cadangan tersebut ke Jawatankuasa Penswastaan Kementerian Kerja Raya pada 27 Mei dan sedang menunggu maklum balas,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor telah meluluskan projek SKE.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Negeri menafikan perkara tersebut.

Jelas Izham Hashim, kerajaan Selangor tidak pernah memberi kelulusan kepada pembinaan lebuh raya baharu tersebut.

Sementara itu, SKESB memberi jaminan akan sentiasa memberi penekanan terhadap pematuhan proses kelulusan yang sewajarnya.

Ini kerana sebarang projek pembinaan lebuh raya perlu dilakukan mengikut peraturan serta prosedur ditetapkan oleh pihak berwajib.

“SKESB komited untuk melibatkan semua agensi berkaitan dan badan kerajaan secara tepat pada masanya dan teratur setelah mendapat kelulusan kerajaan,” katanya lagi.