Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan varian baharu trak pikap Triton Single Cab bertransmisi automatik untuk pasaran tempatan.
Hadir dalam warna eksklusif Solid White, Triton Single Cab AT dijual pada harga RM107,980.
Setiap pembelian hadir dengan jaminan 5-tahun atau had perbatuan 200,000 km.
Untuk tempoh masa terhad, pembeli Triton Single Cab AT bakal menikmati bantuan diesel bernilai RM4,000 bagi membantu mengurangkan kos operasi dan dalam masa yang sama memastikan perniagaan terus maju.
Spesifikasi
Triton Single Cab ini dipacu enjin diesel 2.4 liter turbo menghasilkan 184 PS dan daya kilas 430 Nm.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik.
Dengan dimensi bed kargo 2,340 mm x 1,580 mm x 515 mm, Triton Single Cab menawarkan kapasiti muatan sehingga 1,145 kg yang terbaik dalam kelasnya.
Ia juga turut hadir dengan tayar lebar All-Terrain, kekunci pembeza belakang, serta penderia undur secara standard.
Debut di MAHA 2026
Trak pikap ini akan membuat kemunculan umum di acara Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition (MAHA) 2026 pada 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS Serdang.
Rakyat Malaysia dijemput untuk berkunjung ke reruai MMM untuk melihat dengan lebih dekat varian baharu trak pikap ini.
