Arkib Tag: SHS-P

Auto China 2026: Omoda C7 bakal sertai keluarga OJ Malaysia tahun ini

Sebuah lagi model SUV dipamerkan di acara Beijing Auto Show 2026, iaitu Omoda O7.

SUV ini turut disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia menggunakan nama C7.

Ini bermakna, ia diposisikan ditengah-tengah antara model Omoda C4 dan Omoda C9 yang telah pun dijual sejak Disember 2024.

Unit rangkaian kuasa

Di Beijing Auto Show, Omoda C7 yang dipamerkan ini merupakan varian SHS-P yang merujuk kepada sistem plug-in hybrid (PHEV).

Di pasaran tertentu, SUV ini dikuasakan oleh nadi 1.5 TGDi hibrid dengan jarak sifar emisi 95 km dan jarak pandu keseluruhan 1,250 km.

Pada J7 PHEV, sistem SHS tersebut menampilkan:

  • enjin 1.5 liter TGDi 156 PS/220 Nm
  • motor elektrik 204 PS/310 Nm
  • bateri 18.3 kWh
  • jarak gerak sifar emisi 88 km

Masih ingat unit yang pernah dipamerkan di Malaysia?

Omoda C7 tersebut dilengkapi dengan enjin petrol 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa 197 PS dan 290 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Dimensi

Omoda C7 merupakan sebuah SUV saiz kompak/pertengahan, dengan ukuran sekitar 4,621 mm, lebar 1,872 mm dan tinggi 1,673 mm.

Jarak antara roda pula sekitar 2,700 mm.

Luaran

Daripada sudut depan, Omoda C7 menampilkan ciri seperti lampu utama yang tajam memanjang diikuti bukaan bampar yang dihiasi elemen sarang lebah.

Sama seperti Omoda C4, lampu belakang C7 turut membawakan elemen grafik kilat dalam perumah yang memanjang penuh.

Selain itu, SUV ini dilengkapi dengan rim dua tona 20 inci dan rekaan bumbung terapung.

Kabin

Masuk ke dalam, anda akan disambut dengan sepasang tempat duduk gaya kerusi gaming balutan kulit.

Roda stereng juga dikatakan mengambil inspirasi daripada kayu ria PlayStation 5.

Antara ciri lain termasuklah:

  • skrin kluster digital kecil
  • skrin tengah sebesar 15.6 inci yang boleh dialih kedudukannya
  • sistem audio Sony
  • kawalan fungsi berbentuk arahan suara dan gerak isyarat tangan

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pengenalan rasmi di pasaran Malaysia pada tahun ini.