Arkib Tag: Seremban

Bikin kecoh guna kenderaan, lima individu dicekup polis di Seremban

ANGKARA membuat bising menggunakan motosikal dan kereta, lima individu ditahan polis menerusi Operasi Ambang Merdeka pada Isnin.

Penahanan dibuat selepas tular rakaman video menunjukkan sekumpulan remaja berkumpul di kawasan Bandar Seremban Selatan.

Memetik Bernama, individu terbabit ditahan pihak berkuasa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

“Lima lelaki berusia 19 hingga 28 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini,” kata Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim.

Aksi lima individu membuat bising pada Isnin lalu tular di media sosial. – Foto tangkap layar media sosial

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua lelaki tersebut negatif dadah.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sekiranya mereka terlibat dalam jenayah.

Motosikal dan kereta digunakan menerusi video tersebut telah disita di bawah Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kelima-lima suspek pula ditahan di bawah Seksyen 48 (1) APJ 1987 dan turut dikompaun atas kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Justeru, orang awam diingatkan sentiasa mematuhi SOP Covid-19 serta  peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.

PKPD: Operasi Puspakom Seremban ditutup

PARA pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan Puspakom Sdn Bhd cawangan Seremban diminta menangguhkan niat tersebut buat seketika.

Ini kerana Puspakom cawangan itu ditutup sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Memetik kenyataan Puspakom, cawangan itu akan ditutup sepanjang tempoh tersebut.

“Semua bayaran temujanji yang telah dibuat akan dikembalikan secara automatik,” memetik kenyataan Puspakom.

Daerah Seremban dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 22 Julai 2021.

Sebarang maklumat sila layari laman web www.puspakom.com.my.

Foto ihsan Facebook/Puspakom Seremban

Van kilang terbabas dalam parit, seorang wanita maut

KEMALANGAN membabitkan sebuah van kilang menyebabkan seorang wanita maut dengan enam yang lain cedera.

Insiden berlaku sekitar jam 7 pagi tadi di Kilometer 14 Jalan Labu Batu 8, dekat Seremban.

Memetik laporan Bernama, kejadian berlaku selepas van kilang dinaiki mangsa terbabas ke dalam parit.

Bomba mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.01 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba Seremban 2 dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Terdapat tujuh mangsa terdiri daripada lima wanita dan dua lelaki di dalam van berkenaan.

“Manakala mangsa tersepit disahkan sudah meninggal dunia,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan.

Terdahulu, mangsa S. Selvarani, 54, tersepit di tempat duduk belakang van berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara mangsa lain pula menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.