Arkib Tag: semikonduktor

Jualan suku pertama 2022 Perodua meningkat, fokus percepat serahan kereta pelanggan

PERODUA mencatatkan pertumbuhan positif untuk suku pertama 2022 dengan 61,624 kenderaan telah didaftarkan, peningkatan sebanyak 6.4 peratus daripada sejumlah 57,909 kenderaan untuk tempoh sama pada 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, “Kesan daripada Covid-19 dan isu bekalan komponen masih ada, namun kami telah bekerjasama dengan para pembekal dan pengedar kami untuk mengurangkan impak tersebut.”

“Fokus kami kini adalah untuk mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada para pelanggan kami sebelum berakhirnya tarikh pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022.

“Perodua turut bersama MAA (Persatuan Automotif Malaysia) dalam rayuan bagi  melanjutkan tarikh pengecualian cukai jualan kerana faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor global dan kes Covid-19 masih memberi kesan kepada industri,” katanya.

Dato’ Zainal berkata industri automotif, termasuk ekosistem tempatan amat berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif (pengecualian cukai jualan) tersebut kerana ia mampu meraih permintaan yang tinggi sekaligus memajukan industri di sepanjang pandemik terburuk ini berlaku.

“Pada masa ini, ekosistem automotif tempatan mulai pulih secara beransur-ansur dan lanjutan pengecualian cukai jualan adalah rangsangan yang diperlukan oleh industri demi pertumbuhan yang mampan terutamanya dalam tempoh pemulihan,” kata Dato’ Zainal.

Pada Mac 2022, Perodua telah mencatatkan 26,759 kenderaan, peningkatan sebanyak 9.5 peratus berbanding 24,433 unit yang dijual pada Mac tahun lalu . Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan Mac melonjak 53.2 peratus daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada Februari 2022.

Pencapaian jualan bulanan tertinggi Perodua dicatatkan pada Oktober 2021 dengan 27,858 unit didaftarkan.

“Kami menjangka suku kedua 2022 akan menjadi kemuncak bagi industri automotif dimana jenama-jenama lain juga akan menghantar seberapa banyak kenderaan yang mereka mampu dalam tempoh tiga bulan tersebut.”

“Walaupun bekalan cip semikonduktor dan Covid-19 masih mampu mempengaruhi pengeluaran, kami menjangkakan pengeluaran dan pendaftaran akan bertambahbaik. Kami tidak melihat faktor lain seperti konflik antara Rusia dan Ukraine akan memberi kesan yang besar kepada pengeluaran Perodua pada masa akan datang.”

“Berdasarkan faktor-faktor ini, kami akan mengekalkan sasaran jualan 247,000 kami untuk tahun ini,” kata Dato’ Zainal.

Krisis bekalan semikonduktor, ada pelanggan Mercedes tunggu lebih setahun

KRISIS bekalan semikonduktor makin memuncak dengan terbaharu syarikat pengeluar Mercedes menjadi ‘mangsa’.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Mercedes berkata, kekurangan bekalan semikonduktor menjejaskan proses pengeluaran kenderaan sekaligus menyebabkan tempoh menunggu lebih lama.

Jelas Ola Källenius lagi, apa yang lebih membimbangkan terdapat pelanggan terpaksa menunggu dalam tempoh lebih setahun untuk mendapatkan kenderaan ditempah.

“Mercedes-Benz mendapat permintaan tinggi dan kami sedang berdepan kekurangan bekalan semikonduktor yang sangat meruncing.

“Terdapat beberapa kes yang mana ada pelanggan terpaksa menunggu sehingga setahun,” katanya.

Terdapat pelanggan Mercedes terpaksa menunggu lebih setahun untuk memiliki kenderaan dibeli. – Foto ihsan Mercedes-Benz

Industri automotif global berdepan isu kekurangan bekalan semikonduktor sejak berlaku penularan pandemik Covid-19.

Ia menyebabkan kebanyakan kilang pengeluaran semikonduktor terpaksa menangguhkan operasi sekaligus memberi kesan kepada penawaran alat itu.

Setakat ini, terdapat jangkaan bahawa gangguan bekalan semikonduktor dijangka berlarutan sehingga 2023.

Sagree Sardien yakin Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dapat menangani krisis kekurangan bekalan semikonduktor. – Foto oleh MBM

Sementara itu, media tempatan melaporkan Mercedes-Benz Malaysia bagaimanapun tidak terkesan dengan masalah kekurangan semikonduktor.

Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia Sagree Sardien berkata, kenderaan model CKD tidak terjejas namun, berkemungkinan terdapat sedikit kelewatan untuk proses penyerahan kepada pelanggan.

Kekurangan peralatan mikro cip jejas industri automotif, apa kaitannya?

PANDEMIK Covid-19 menyaksikan pelbagai sektor ekonomi berdepan masalah termasuk industri automotif global.

Sejak suku pertama tahun ini, antara masalah utama dihadapi industri automatif adalah kekangan mendapatkan bekalan semikonduktor akibat penutupan kebanyakan syarikat pengeluaran peralatan itu.

Walaupun kini terdapat sebilangan negara telah memulakan pelan pemulihan ekonomi dan terdapat pengeluar semikonduktor mula beroperasi semula, namun industri automotif masih berdepan kekangan mendapatkan cip tersebut atas sebab permintaan tinggi.

Persoalannya, apakah kaitan peralatan semikonduktor dan industri automotif?

Bagaimana situasi ini terkait rapat dengan Malaysia?

Kebanyakan kenderaan dihasilkan kini memiliki sistem teknologi canggih dengan menggunakan peralatan semikonduktor.

Kepesatan teknologi perkomputeran turut memberi tempias kepada perkembangan industri automotif.

Perlu diingat, boleh dikatakan hampir setiap kenderaan baharu kini dilengkapi dengan teknologi semikonduktor atau mikro cip.

Maka, apabila peralatan mikro cip tidak mencukupi ia secara tidak langsung menjejaskan pengeluaran kenderaan sesebuah syarikat.

Antara syarikat pengeluar yang terkesan susulan senario ini termasuk Ford, General Motors, Honda, Mitsubishi, Nissan, Toyota, dan Volkswagon.

Ford Raptor merupakan antara model kenderaan pacuan empat roda (4x4) terlaris di Amerika Syarikat (AS).

Ford misalnya terpaksa menghentikan pengeluaran model paling laris di Amerika Syarikat (AS) iaitu Ford Raptor hanya kerana kekurangan bekalan semikonduktor.

Justeru, jika anda tertanya-tanya mengapa kenderaan yang ditempah mengalami kelewatan penghantaran maka diharap banyak bersabar.

Untuk lebih kepastian, dapatkan maklumat dari masa ke masa daripada ejen syarikat jualan kenderaan anda.

Hal ini kerana masalah kekurangan semikonduktor dijangka akan selesai sepenuhnya pasca suku keempat tahun ini.

Nasihat kami kepada anda, stay cool dan jangan stress!