Arkib Tag: sedan hibrid

Toyota Vios HEV GR Sport: seronok berganda-ganda – pandu uji

Yang ditunggu-tunggu telah pun tiba di pasaran Malaysia, iaitu sedan hibrid Toyota Vios HEV GR Sport.

Ia dilancarkan secara rasmi oleh pihak UMW Toyota Motor awal tahun yang lalu, dengan tanda harga RM109,900 untuk versi hibrid GR Sport.

Beza cuma RM6,000 berbanding model 1.5 HEV standard, atau RM13,000 lebih mahal berbanding Vios versi petrol.

Tidak seperti penawaran Vios GR Sport yang terdahulu, ia kini hadir dengan satu resepi yang cukup penting – nadi hibrid.

Hibrid biasanya berkait rapat dengan penjimatan bahan api, jadi apa pula manfaatnya pada Vios HEV GR Sport?

Beza Vios HEV dengan versi standard

Vios standard dilengkapi dengan enjin 1.5L 2NR-VE yang mampu menjana kuasa 106 PS @ 6,000 rpm dan 138 Nm @ 4,200 rpm.

Vios hibrid pula mendapat tetapan sistem hibrid generasi keempat, terdiri daripada:

  • enjin 1.5L 2NR-VEX kitaran Atkinson, 91 PS @ 5,500 rpm, 121 Nm @ 4,000 rpm
  • motor elektrik 80 PS/141 Nm
  • pek bateri lithium-ion 4.3 Ahr
  • transmisi e-CVT

Kuasa keseluruhan pula sekitar 111 PS yang hanya memacu roda depan.

Cukup?

Atas kertas, peningkatan kuasa itu tidaklah begitu ketara.

Namun dengan bantuan motor elektrik, pecutan permulaan sedan ini dirasakan lebih bertenaga berbanding versi petrol.

Manfaatnya? Daripada susur keluar lebuh raya anda boleh memecut lebih pantas untuk menyelit masuk ke dalam aliran trafik utama.

Tidak dinafikan, masih wujud deruman enjin saat pedal ditekan rapat ke lantai, namun kabin mulai beransur-ansur senyap apabila kelajuan yang diinginkan dicapai.

Aspek pemanduan lebih seronok

Bukan sekadar peningkatan kuasa yang membuatkan sedan ini terasa lebih mengujakan.

Ia juga hadir dengan pakej talaan sistem stereng EPS yang lebih responsif, dan sedikit berat berbanding model standard.

Ini menjadikan kawalan rasa lebih stabil terutama ketika memandu lebih laju.

Sistem brek turut ditala supaya titik brek masuk lebih awal – bermakna anda tidak perlu untuk menekan brek sambil berdiri dan berdoa supaya kereta ini berhenti dengan sempurna.

Yang paling dihargai ialah talaan suspensi GR Sport.

Berbanding Vios sedia ada yang memang cukup enak dipandu, resepi sistem gantungan yang lebih sporti membuatkan dua ibu jari naik ke atas secara automatik.

Sama seperti mana-mana model GR Sport yang telah diuji penulis sebelum ini, tetapan suspensi pada Vios ini sememangnya seimbang dari segi pemanduan sporti dan keselesaan yang tersendiri.

Tidak cukup dengan itu, Vios HEV GR Sport turut hadir dengan balutan getah Continental PremiumContact C yang lebih mencengkam.

Ibarat hidangan tengah hari yang sudah sedia enak diserikan dengan kehadiran sambal tempoyak dan ulam-ulaman yang mampu menaikkan lagi selera makan.

Hasil keharmonian sistem tersebut bekerja, kita dapat menikmati pakej pemanduan yang lebih seronok tanpa perlu berbelanja besar.

Tidak semua keseronokan itu perlu didorong oleh kuasa kuda semata-mata.

Ada kalanya, tetapan yang ringkas dan harmoni sebegini yang mampu buatkan kita tersenyum.

Sukar untuk penulis gambarkan dengan lebih lanjut keseronokan berganda-ganda yang ditawarkan pada Vios HEV GR Sport menerusi perkataan kali ini, anda perlu rasa dan mendalaminya sendiri.

Hibrid tapi perangai macam EV

Satu kelebihan yang nyata wujud pada model ini ialah keupayaannya untuk memandu dalam mod sifar emisi.

Biarpun tanpa kehadiran pek bateri bersaiz lebih besar, sistem hibrid generasi keempat Toyota ini boleh membenarkan ia dipandu tanpa setitik petrol bergantung kepada keadaan.

Fungsi ini amat berguna terutama ketika memandu di kawasan urban, atau sedang mencari ruang parkir yang kosong di pusat membeli belah.

Yang amat penulis suka ialah bacaan peratusan nisbah pemanduan sifar emisi yang akan dipaparkan setiap kali sistem kenderaan dimatikan.

Dengan cara ini, ia akan membuatkan pemandu lebih bersemangat untuk memandu dengan lebih cermat.

Gegaran enjin juga dirasakan sangat minimum terutama ketika peralihan antara mod kuasa dan juga mod EV.

Kelengkapan kabin

Untuk ruang kabin, Vios HEV GR Sport hadir dengan kelengkapan seperti:

  • tempat duduk balutan kulit/fabrik
  • skrin Display Audio 10.1 inci yang lebih besar
  • butang EV Mode
  • sistem pencahayaan ambien 64 warna yang diperbaharui
  • paparan spesifik hibrid untuk skrin kluster digital

Berdasarkan pengalaman, penulis mendapati skrin paparan serba baharu ini menawarkan fungsi yang stabil, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Cuma, saiznya yang agak besar (dan tinggi) itu boleh mengganggu medan penglihatan pemandu yang mahukan posisi duduk yang lebih rendah.

Kereta sporti, takkanlah nak duduk macam dalam SUV pula, kan?

Kerusi balutan fabrik/kulit itu memang selesa untuk digunakan terutama untuk perjalanan jauh dan boleh memegang erat pemandu sewaktu pemanduan berprestasi dibuat.

Gugusan butang fungsi yang wujud pada roda stereng dan konsol tengah amat mudah untuk digunakan.

Cuma, sistem kamera 360 darjah itu dirasakan agak ketinggalan zaman disebabkan resolusinya yang tidak HD untuk tahun 2026.

Praktikaliti

Disebabkan oleh bateri 12V yang telah dialihkan ke belakang, ia menyebabkan ruang kargo Vios HEV GR Sport menjadi sebesar 460 liter sahaja.

Cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan harian, itu pun jika tiada keperluan untuk memunggah barangan yang lebih panjang dimensinya.

Ini kerana tempat duduk baris kedua masih lagi tidak boleh dilipat macam model sedan lain.

Berita baik, Vios HEV GR Sport kini sudah didatangkan dengan tayar simpanan saiz penuh di bahagian belakang.

Satu ciri yang amat-amat dihargai oleh kebanyakan pemandu di Malaysia.

Ciri keselamatan

Secara standard, Vios HEV GR Sport hadir dengan ciri seperti enam beg udara, serta kelengkapan Toyota Safety Sense:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKC)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Amaran Pergerakan Hadapan (FDA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)

Kesimpulan

Toyota Vios HEV GR Sport bukanlah sekadar sebuah Vios yang ditampal dengan logo emblem GR semata-mata.

Berbanding model pesaing, ia menawarkan pemanduan yang lebih meyakinkan, sistem hibrid yang terbukti kecekapannya, serta keseimbangan antara pemanduan sporti dan keselesaan.

Sesuai untuk mereka yang mahukan sedan harian yang disuntik dengan sedikit karakter tambahan untuk membuatkan hidup lebih teruja.

Hidup ini terlalu singkat untuk menikmati perkara (baca: kereta) yang membosankan, jadi sedan ‘terpaling sporti’ ini memang sesuai untuk dipertimbangkan.