Arkib Tag: Sardien

Krisis bekalan semikonduktor, ada pelanggan Mercedes tunggu lebih setahun

KRISIS bekalan semikonduktor makin memuncak dengan terbaharu syarikat pengeluar Mercedes menjadi ‘mangsa’.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Mercedes berkata, kekurangan bekalan semikonduktor menjejaskan proses pengeluaran kenderaan sekaligus menyebabkan tempoh menunggu lebih lama.

Jelas Ola Källenius lagi, apa yang lebih membimbangkan terdapat pelanggan terpaksa menunggu dalam tempoh lebih setahun untuk mendapatkan kenderaan ditempah.

“Mercedes-Benz mendapat permintaan tinggi dan kami sedang berdepan kekurangan bekalan semikonduktor yang sangat meruncing.

“Terdapat beberapa kes yang mana ada pelanggan terpaksa menunggu sehingga setahun,” katanya.

Terdapat pelanggan Mercedes terpaksa menunggu lebih setahun untuk memiliki kenderaan dibeli. – Foto ihsan Mercedes-Benz

Industri automotif global berdepan isu kekurangan bekalan semikonduktor sejak berlaku penularan pandemik Covid-19.

Ia menyebabkan kebanyakan kilang pengeluaran semikonduktor terpaksa menangguhkan operasi sekaligus memberi kesan kepada penawaran alat itu.

Setakat ini, terdapat jangkaan bahawa gangguan bekalan semikonduktor dijangka berlarutan sehingga 2023.

Sagree Sardien yakin Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dapat menangani krisis kekurangan bekalan semikonduktor. – Foto oleh MBM

Sementara itu, media tempatan melaporkan Mercedes-Benz Malaysia bagaimanapun tidak terkesan dengan masalah kekurangan semikonduktor.

Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia Sagree Sardien berkata, kenderaan model CKD tidak terjejas namun, berkemungkinan terdapat sedikit kelewatan untuk proses penyerahan kepada pelanggan.

Sardien presiden dan CEO baharu Mercedes-Benz Malaysia, tekad kerja keras

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengumumkan pelantikan Sagree Sardien sebagai presiden dan ketua pegawai operasi (CEO) baharu bermula 1 Jun lalu.

Pelantikan Sardien bagi menggantikan Claus Weidner yang memegang jawatan itu sejak 2015.

MBM dalam satu kenyataan turut mengumumkan pelantikan Sardien sebagai Ketua Seratau Mercedes-Benz Asia Tenggara II.

Sardien mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang automotif dan memulakan kerjaya sebagai Ketua Operasi Pengurusan Armada Daimler di Afrika Selatan.

Selain itu, Sardien turut pernah memegang pelbagai jawatan utama di dalam organisasi Daimler sebelum berpindah ke Stuttgart, Jerman.

Memetik kenyataan Sardien, dia berharap Mercedes-Benz terus kukuh di rantau ini selain menjadi jenama premium paling disegani.

Saya amat teruja untuk menyertai pasukan Mercedes-Benz Malaysia dan rantau SEA II.

“Mercedes-Benz berjaya tampil kukuh dalam segmen automotif premium di rantau ini.

“Saya tidak sabar untuk menyumbang kepada pelaksanaan cita-cita kami bagi membentuk masa depan mobiliti dan menyokong transformasi persekitaran automotif,” katanya.

Sementara itu, Edmin Naidoo turut dilantik Naib Presiden Khidmat Pelanggan MBC Malaysia & SEA II berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Naidoo menggantikan Jeffrey Simon dan mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri ini.