Arkib Tag: Sandakan

Kenderaan dijilat api ketika diisi minyak, pemandu cemas padam kebakaran

KES kenderaan terbakar ketika sedang diisi minyak acap kali berlaku di negara ini.

Terbaharu, tular di media sosial sebuah kenderaan terbakar ketika sedang diisi bahan bakar itu di sebuah stesen minyak.

Insiden dipercayai berlaku di Sandakan, Sabah.

Menerusi video dimuatnaik pengendali akaun media sosial MyWatch di Twitter, kelihatan seorang lelaki sedang mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba kenderaannya dijilat api.

Cemas dengan situasi itu, lelaki terbabit dilihat segera mendapatkan alat pemadam api sebelum dibantu seorang penunggang motosikal serta beberapa petugas stesen minyak berkenaan.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes kebakaran membabitkan kenderaan ketika sedang diisi minyak.

Antaranya termasuk sebuah insiden kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang terbakar ketika sedang diisi minyak di Bintulu, Sarawak pada tahun 2017.

Selain itu, seorang lelaki juga dilaporkan melecur anggota badan selepas disambar api ketika mengisi minyak di Seri Kembangan, Selangor pada Ogos tahun lalu.

Menerusi laporan berita tempatan, insiden bukan sahaja menyebabkan mangsa mengalami kecederaan malah, turut menyebabkan kenderaan miliknya musnah akibat dijilat api.