Arkib Tag: S70 Prime

Proton S70 2026 dapat 2 varian baharu, enjin 1.5L NA, harga dari RM56,800

Proton secara rasmi memperkenalkan dua varian baharu bagi sedan S70, iaitu S70 Lite dan S70 Prime.

Dua varian baharu ini diposisikan sebagai pengganti secara tidak langsung kepada model Persona yang bakal dihentikan penawarannya kelak.

Harga jualan (selepas rebat) adalah seperti berikut:

  • S70 Lite – RM56,800 (harga asal RM59,800)
  • S70 Prime – RM59,800 (harga asal RM62,800)

Rebat RM3,000 itu sah untuk pelanggan yang melengkapkan pendaftaran sebelum 31 Disember 2026.

Bersempena dengan pelancaran, Proton turut menawarkan pakej berikut:

  • jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan
  • pengecualian kos buruh sebanyak 6-kali
  • pembiayaan 9-tahun dengan kadar 2.35% PA
  • nilai tukar beli sehingga RM2,000

Unit pacuan

Berbeza dengan varian S70 sedia ada, dua varian baharu S70 ini mendapat enjin 1.5 liter i-GT.

Kuasa 120 PS dan 150 Nm itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT jenis torque converter.

Kelengkapan

Secara standard, S70 Lite didatangkan dengan ciri seperti unit lampu utama halogen, lampu DRL LED, rim aloi 16 inci, serta jeriji dengan kemasan hitam.

Masuk ke dalam ruang kabin, S70 Lite mendapat ciri seperti:

  • tempat duduk balutan fabrik
  • panel meter analog dengan skrin MID
  • skrin infohibur 8-inci
  • brek parkir elektrik (EPB)

S70 Prime pula mendapat naik taraf ciri seperti:

  • rim aloi 17-inci
  • lampu utama LED automatik
  • cermin sisi boleh lipat automatik
  • roda stereng balutan leatherette
  • tempat duduk leatherette
  • sistem pendingin hawa automatik

Kedua-dua varian turut mendapat sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Keselamatan

Ciri keselamatan standard terdiri daripada enam beg udara, penderia parkir belakang, serta kamera undur, manakala S70 Prime pula mendapat tambahan penderia parkir hadapan.

Selain itu, ia turut hadir dengan kelengkapan seperti:

  • sistem pemantauan titik buta (BSD)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • amaran pelanggaran belakang (RCW)
  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • bantuan penukaran lorong (LCA)

Warna

Terdapat lima warna tersedia iaitu Quartz Black, Marine Blue, Space Grey, Snow White dan Armour Silver.