Arkib Tag: Royal Enfield Malaysia

Royal Enfield Himalayan Mana Black Edition 2026 tiba di Malaysia, harga RM32,700

Royal Enfield Malaysia mengumumkan ketibaan model adventure Himalayan Mana Black Edition untuk pasaran tempatan.

Jentera serba garang ini diinspirasikan daripada Mana Pass, iaitu laluan altitud tinggi (5,632 meter dari aras laut) paling ekstrem dan mencabar di dunia.

Himalayan Mana Black Edition dijual pada harga bermula dari RM32,700 dan sudah boleh ditempah di semua lapan pengedar sah di seluruh negara.

Ciri unik

Royal Enfield Himalayan Mana Black Edition ini didatangkan dengan warna Stealth Black dengan kemasan kusam.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan aksesori kilang yang lengkap seperti:

  • pelindung tangan Black Rally
  • pelana Black Rally
  • mud guard Rally
  • rim jejari tanpa tiub

Spesifikasi

Jentera Himalayan ini masih lagi dipacu enjin Sherpa 450 bersesaran 452 cc sejukan cecair menghasilkan 40 PS @ 8,000 rpm dan 40 Nm @ 5,500 rpm.

Casis keluli tersebut ditampung oleh tetapan suspensi fork jenis terbalik 43 mm di depan, dibantu dengan penyerap hentak tunggal di belakang.

Antara ciri lain yang tersedia termasuklah:

  • sistem brek cakera 320 mm depan/270 mm belakang
  • ABS dua-saluran
  • lampu LED keliling
  • skrin paparan TFT bulat 4-inci
  • sokongan Google Maps
  • tangki bahan api 17 liter
  • tinggi pelana 810 mm-840 mm

Royal Enfield Classic 350 2025 dikemas kini untuk pasaran Malaysia – harga RM23,700

Selain daripada pelancaran model baharu Guerilla 450, Royal Enfield Malaysia turut sama mengemas kini penawaran model Classic 350 untuk tahun 2025.

Untuk pasaran tempatan, Classic 350 boleh didapati dalam empat varian, iaitu:
• Heritage Premium (warna Medallion Bronze)
• Signal (warna Commando Sand)
• Dark (warna Gun Grey dan Stealth Black)
• Chrome (warna Emerald)

Selain itu, ia turut mendapat perubahan seperti lampu LED, penunjuk posisi gear pada meter kluster, serta kehadiran slot pengecasan jenis USB-C.

Varian tertinggi Emerald dan Dark akan ditawarkan dengan sistem navigasi Tripper secara standard, tuil brek dan klac boleh laras dan lampu membelok jenis LED.

Dari segi kuasa, Classic 350 dijana dengan enjin silinder tunggal sejukan udara-minyak bersesaran 349 cc, menghasilkan 20.2 hp @ 6,100 rpm dan daya kilas 27 Nm @ 4,000 rpm.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik 41 mm dengan jarak pergerakan roda 130 mm, diikuti penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban enam tahap dan jarak pergerakan roda 90 mm.

Classic 350 dibekalkan dengan brek cakera 300 mm dan angkup omboh berkembar jenis terapung pada roda depan, serta rotor 270 mm dan angkup omboh tunggal.

Ciri lain termasuklah sistem ABS dua saluran, tangki bahan api sebesar 13 liter, rim bersaiz 19 inci depan dan 18 inci belakang, serta tinggi pelana 805 mm.

Harga jualan Royal Enfield Classic 350 bermula dari RM23,700.

Royal Enfield Guerilla 450 2025 rasmi masuk pasaran Malaysia dengan harga RM28,700

Royal Enfield Malaysia secara rasmi melancarkan model roadster Guerilla 450 serba baharu.

Jentera ini dibangun menggunakan asas platform yang sama dengan model touring Himalayan 450, namun dengan tetapan yang berbeza.

Seperti contoh, ia mendapat suspensi fork teleskopik hadapan 43 mm (jarak pergerakan roda 140 mm) dan penyerap hentak tunggal belakang (jarak pergerakan roda 150 mm).

Tetapan ini menjadikan tinggi pelana Guerilla 450 menjadi lebih rendah, iaitu sekitar 780 mm sahaja berbanding Himalayan 450 (825 mm).

Selain itu, Guerilla 450 didatangkan dengan rekaan panel badan yang berbeza termasuklah struktur tangki bahan api sebesar 11 liter dan bar hendal, diikuti dengan rim 17 inci yang dibaluti getah bersaiz 120/70 depan dan 160/60 belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor tunggal 310 mm di depan dan angkup dua omboh, diikuti rotor tunggal 270 mm di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran.

Namun dari segi kuasa, Guerilla 450 mengekalkan tetapan enjin Sherpa 452 cc DOHC sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 40 PS @ 8,000 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 5,500 rpm.

Terdapat dua mod tunggangan disediakan, iaitu Eco dan Performance.

Ciri lain termasuklah skrin paparan TFT berbentuk bulat Tripper Dash yang boleh dihubungkan kepada peranti pintar, selain menyokong sistem navigasi pemetaan.

Untuk pasaran Malaysia, harga jualan Royal Enfield Guerilla 450 bermula dari RM28,700.