Arkib Tag: RON97

Harga runcit RON95 di Malaysia masih rendah, kata Menteri Kewangan

MENTERI Kewangan menjelaskan harga runcit RON95 yang terlalu rendah di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang kepada aktiviti penyeludupan petrol.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketika ini harga runcit RON95 amat rendah jika dibandingkan dengan negara jiran.

“Perbezaan besar antara harga runcit petrol dalam negara berbanding negara jiran akan membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan petrol,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022. – Foto ihsan Malay Mail

Terdahulu, Tengku Zafrul berkata harga RON95 di Malaysia juga masih rendah berbanding di kebanyakan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Katanya, harga runcit petrol di Arab Saudi adalah RM2.59 seliter, Indonesia (RM3.74 seliter), Thailand (RM5.63 seliter) dan Singapura (RM9.16 seliter).

Sementara itu, jumlah subsidi petrol oleh kerajaan dijangka bertambah kepada RM28 bilion tahun ini berbanding RM11 bilion pada 2021.

Senario itu mungkin berlaku sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi US$100 setong.

“Kenaikan kos subsidi perlu diimbangi dengan pertambahan hasil dan penjimatan perbelanjaan.

“Maka, wujud keperluan kerajaan menyusun semula subsidi supaya ia lebih bersasar kepada kelompok yang layak dan memerlukan,” katanya.

Harga minyak mentah menjadi penentu kepada kenaikan harga barang. – Foto ihsan Petronas

Minggu ini, terdapat kenaikan 30 sen seliter bagi harga runcit bagi RON97 menjadikan ia RM3.75 seliter.

Harga itu berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 16 Mac nanti.

Namun, harga runcit bagi RON95 masih kekal pada RM2.05 seliter.

Naik 30 sen, harga RON97 jadi RM3.75 sehingga 16 Mac

HARGA petrol RON97 naik 30 sen seliter bermula 10 sehingga 16 Mac ini.

Kenaikan itu menyaksikan bahan api RON97 itu menjadi RM3.75 seliter.

Bahan api RON95 bagaimanapun tidak mengalami sebarang perubahan dan kekal pada RM2.05 seliter.

Sejak setahun lalu, harga petrol RON95 tidak mengalami sebarang perubahan iaitu kekal berada pada paras siling.

Sementara itu, harga bagi diesel Euro B10/B20 juga masih dikekalkan pada RM2.35 seliter.

Kesemua harga tersebut akan mula dikuatkuasa bermula tengah malam sehingga Rabu depan.

RON97 turun tiga sen seliter, RON95 masih kekal harga siling

HARGA petrol RON97 turun 3 sen seliter bermula esok sehingga 15 Disember ini.

Perkara itu diumum Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, hari ini.

Bermula 12.01 minit pagi Khamis, harga RON97 adalah RM2.99 seliter berbanding RM3.02 sebelum ini.

Sementara itu, harga RON95 masih kekal pada RM2.05 seliter.

Turut tidak berubah adalah harga bagi diesel Euro B10/B20 iaitu RM2.15 seliter termasuk gred Euro 5 B7 (RM2.25 seliter).

RON97 naik 1 sen seliter, harga baharu RM2.76

HARGA runcit bagi bahan api petrol RON97 naik 1 sen seliter daripada RM2.75 kepada RM2.76.

Memetik kenyataan Kementerian Kewangan, harga baharu itu akan berkuatkuasa bermula 30 September sehingga 6 Oktober ini.

Bagaimanapun, petrol RON95 masih kekal pada harga siling iaitu RM2.05.

Sementara itu, harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter termasuk gred Euro 5 B7 (RM2.25 seliter).

Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia selain mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan terpelihara.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel.

“Meskipun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk meningkat melebihi paras harga siling ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Harga RON95, RON97 dan diesel kekal

HARGA jualan RON97, RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 19 sehingga 25 Ogos ini.

Ia bermakna RON97 masih lagi dijual pada harga RM2.74 seliter dan RM2.05 bagi RON95 seliter.

Harga bagi diesel pula adalah RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol.

“Sungguh pun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” memetik kenyataan itu.

Terdahulu, MOF menjamin kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

RON97 naik satu sen, harga baharu RM2.74 seliter

HARGA bahan api bagi RON97 naik 1 sen berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 4 Ogos depan.

Ia menjadikan harga bahan bakar itu kepada RM2.74 seliter berbanding RM2.73 sen sebelum ini.

Bagaimanapun, tiada kenaikan bagi bahan api RON95 sekaligus menjadikan ia kekal pada harga siling RM2.05 seliter.

Sementara itu, harga diesel Euro B10/B20 juga kekal pada RM2.15 seliter termasuk gred Euro 5 B7 (RM2.25 seliter).

RON97 naik dua sen, RON95 dan diesel kekal

HARGA petrol RON97 naik dua sen kepada RM2.54 sen seliter bagi tempoh 8 sehingga 14 April ini.

Bagaimanapun, harga bagi petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel walaupun harga runcit APM bagi RON95 dan diesel telah meningkat melebihi harga siling yang ditetapkan,” memetik kenyataan itu.

Terdahulu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian.

Langkah itu bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.