Arkib Tag: Rimac Nevera R

472 km/j! BYD Yangwang U9 Track Edition rampas rekod EV terpantas daripada Rimac Nevera R

Hanya beberapa minggu selepas ia muncul dalam dokumen Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, YangWang U9 Track Edition mencipta sejarah dengan rekod kelajuan baharu.

BYD mengumumkan bahawa supercar elektrik itu berjaya mencapai kelajuan 472.41 km/j dalam satu ujian di Jerman, sekali gus menjadikannya kereta elektrik terpantas di dunia.

Ujian ini berlangsung pada 8 Ogos di litar ATP Automotive Testing Papenburg, dipandu oleh pemandu profesional Marc Basseng.

Pencapaian ini sekaligus memecahkan rekod terdahulu iaitu 431.45 km/j yang dicatat oleh Rimac Nevera R pada Julai 2025. Sebagai perbandingan, U9 standard pernah mencatat 391.94 km/j pada November 2024, menjadikan pencapaian Track Edition ini satu lonjakan besar.

U9 Track Edition ini dipacu oleh empat motor elektrik, setiap satu menghasilkan 755 PS (555 kW). Gabungan keseluruhannya memberikan kuasa luar biasa sekitar 3,000 PS (2,207 kW), dengan nisbah kuasa kepada berat mencecah 1,217 PS setiap tan.

Sebagai perbandingan, Rimac Nevera R mempunyai 2,017 PS (1,571 kW) dengan nisbah 992 PS setiap tan.

Bagi mengawal kuasa yang begitu tinggi, model ini dilengkapi dengan teknologi pemvektoran tork, bersama sistem DiSus-X Intelligent Body Control, yang sentiasa melaras suspensi untuk cengkaman maksimum.

Menurut BYD, ia juga merupakan EV pertama yang menggunakan platform voltan tinggi 1200V, dipadankan dengan sistem pengurusan haba yang dioptimumkan untuk prestasi ekstrem.

Walau bagaimanapun, kereta yang memecah rekod ini bukan versi standard. Gambar menunjukkan ruang panel ditutup dengan pita pelekat bagi memperbaiki aerodinamik.

Ia juga dilengkapi splitter gentian karbon (pilihan tambahan) dan tidak menggunakan sayap belakang swan-neck seperti pada model terdahulu.

Untuk tayar, ia menggunakan tayar semi-slick khas yang dibangunkan bersama Giti Tire. Tayar itu menggunakan campuran kompaun yang dioptimumkan, serta pelincir berkelikatan tinggi dan proses ‘knurling’ antara tayar dan rim bagi mengurangkan gelinciran pada kelajuan ekstrem.

Marc Basseng, yang turut memandu U9 standard ketika mencatat rekod lama, meluahkan rasa terkejutnya:

“Tahun lepas saya fikir itulah kemuncaknya. Tak sangka saya akan pecahkan rekod sendiri secepat ini — tetapi inilah kita, di trek yang sama, dengan teknologi baharu yang menjadikannya nyata.”

Rimac Nevera R padamkan rekod Koenigsegg (sekali lagi)

Rimac baru-baru ini berjaya memadamkan rekod dunia yang dicatatkan oleh pesaingnya Koenigsegg menerusi hypercar Revera R.

Bukan satu, bukan dua, tapi 24 rekod dunia yang telah dipecahkan oleh Rimac Nevera R, termasuklah 23 rekod terdahulu yang dipegang oleh Nevera spesifikasi standard.

Berikut merupakan antara senarai rekod kelajuan yang dipecahkan oleh Rimac Nevera R:

1. 0-60 batu sejam : 1.66 saat
2. 0-100 km/j : 1.72 saat
3. 0-100 batu sejam : 2.96 saat
4. 0-200 km/j : 3.95 saat
5. 0-300 km/j : 7.89 saat
6. 0-200 batu sejam : 9.25 saat
7. 0-400 km/j : 17.35 saat
8. 100-200 km/j : 2.22 saat
9. 200-250 km/j : 1.65 saat
10. 200-300 km/j : 3.89 saat
11. 0-100-0 km/j : 3.32 saat
12. 0-200-0 km/j : 8.58 saat
13. 0-300-0 km/j : 14.49 saat
14. 0-400-0 km/j : 25.79 saat
15. 0-250-0 batu sejam : 25.79 saat
16. Pecutan suku batu: 7.90 saat
17. Pecutan satu batu: 19.71 saat
18. Kelajuan tertinggi: 431.5 km/j

 

Berbanding Nevera standard, Rimac Nevera R mampu menjana kuasa setinggi 2,107 hp daripada tetapan empat motor elektrik.

Selain itu, ia turut mendapat pakej aerodinamik baharu yang terdiri daripada sayap belakang kekal dan diffuser yang lebih besar, menjana 15 peratus lebih daya mendap dan meningkatkan kecekapan aerodinamik sebanyak 10 peratus.

Setiap satu unit Rimac Nevera R berharga €2.3 juta (RM11.44 juta) dan hanya 40 unit sahaja yang akan diproduksikan.