Arkib Tag: rentas daerah

Sabah masih Fasa 2 PPN, belum boleh rentas daerah

NEGERI Sabah masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ia sekaligus menyaksikan penduduk negeri itu belum lagi dibenarkan melakukan pergerakan rentas daerah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, pergerakan rentas daerah hanya dibenarkan untuk tujuan kecemasan dan lain-lain urusan penting.

“Pergerakan rentas daerah masih tidak dibenarkan kecuali dengan tujuan antaranya kecemasan, pekerjaan dengan surat majikan, janji temu vaksin, perkhidmatan perlu, pasangan jarak jauh dan ibu bapa melawat anak bawah 18 tahun,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa pergerakan rentas daerah telah dibenarkan di Sabah.

Semakan mendapati, dakwaan itu adalah notis lama dikeluarkan pada tahun lepas.

Terdahulu, Idris menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih atau palsu.

Ini kerana jika didapati bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dengan denda maksimum RM50,000 serta penjara setahun.

Polis tambah 50 SJR di Johor elak cubaan rentas daerah, negeri

MENJELANG beberapa jam seluruh umat Islam negara ini meraikan Hari Raya Aidilfitri, polis Johor terus memperketat kawalan sekatan jalan raya (SJR).

Terkini, terdapat lebih 50 SJR diadakan seluruh Johor berbanding hanya 35 sebelum ini.

Memetik kenyataan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, terdapat banyak laluan tikus di negeri itu terutama di lokasi sempadan daerah.

Jelasnya, antara laluan tikus banyak dikesan membabitkan kawasan ladang kelapa sawit di daerah Segamat.

“Laluan tikus banyak bertumpu di Segamat iaitu laluan yang digunakan di ladang-ladang kelapa sawit.

“Jadi kita harus meningkatkan lagi kawalan di lokasi berkenaan. Selain itu, kita juga kesan laluan tikus di kawasan laut di bawah Op Benteng.

“Oleh kerana itu, jumlah SJR daripada 35 sebelum ini ditingkatkan lagi sehingga 50 untuk memastikan tiada yang lolos,” katanya kepada media, hari ini.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat melibatkan SJR di laluan tikus.

Untuk rekod, polis Johor menerima lebih 25,222 permohonan rentas negeri sejak 5 hingga 11 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 24,693 diluluskan manakala 529 yang lain ditolak.

Covid-19: Tips ziarah 1 Syawal, jangan sampai langgar SOP

HARI Raya Aidilfitri kali ini merupakan tahun kedua diraikan dalam suasana berjaga-jaga ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pelbagai prosedur standard operasi (SOP) perlu dipatuhi selain terus mengamalkan norma baharu.

Selain itu, kerajaan turut menetapkan larangan rentas negeri seluruh negara serta daerah bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, terdapat kelonggaran pada 1 Syawal yang mana aktiviti ziarah dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 15 individu berada dalam sebuah kediaman pada satu masa.

Justeru, di sini EnGear kongsikan beberapa peringatan atau tips pemanduan bagi aktiviti kunjung-mengunjung pada 1 Syawal nanti.

Lima tips ziarah Aidilfitri

1. Bilangan penumpang tidak melebihi kapasiti kenderaan

Aktiviti ziarah tidak dinafikan memang seronok dilakukan secara beramai-ramai atau berkumpulan.

Namun, anda dinasihati tidak menaiki kenderaan dengan bilangan penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

Selain melanggar SOP ditetapkan ia juga berbahaya kerana berisiko mengundang kecelakaan jalan raya.

2. Ketahui had sempadan daerah atau negeri

Anda perlu tahu had sempadan daerah atau negeri.

Ini penting bagi mengelak secara tidak sengaja masuk ke daerah lain sekaligus berdepan tindakan undang-undang.

Nasihat kami gunakan aplikasi seperti Waze atau Google Maps untuk ketahui had sempadan daerah atau negeri.

3. Servis kenderaan anda

Walaupun tidak dapat berjalan jauh namun, pastikan kereta anda diselenggara dengan baik.

Anda pasti tidak mahu ‘tersangkut’ di tepi jalan raya sekaligus menyusahkan pemandu lain akibat kesesakan lalu lintas.

Perlu diingat kos membaiki kenderaan juga berkemungkinan lebih tinggi berbanding di luar musim perayaan.

4. Rancang perjalanan

Setiap perjalanan bagi aktiviti ziarah perlu dirancang sebaik mungkin bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Hal ini kerana kerajaan hanya membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dan ia pasti mengundang kesesakan.

Tambahan pula, orang ramai tidak dapat merentas negeri atau daerah dan pasti itu akan menyebabkan berlaku peningkatan jumlah kenderaan atas jalan raya.

5. Kongsi kenderaan ketika ziarah

Sanak saudara yang ingin melakukan aktiviti ziarah 1 Syawal nanti mungkin boleh berkongsi kenderaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Tapi perlu diingat jangan sampai lebih kapasiti kenderaan pula. Tak pasal-pasal kena saman dengan encik polis pula nanti.

Kongsi kenderaan juga pada masa sama menjimatkan tenaga dan petrol. Maklumlah, harga petrol sekarang pun boleh ‘tahan’ harganya.

Demikian antara lima tips ziarah yang EnGear dapat kongsikan kepada anda.

Apa yang penting terus patuh SOP dan amalkan norma baharu kerana kita belum menang dalam memerangi Covid-19.

Anda yang tidak dapat beraya di kampung halaman pula jangan terlalu bersedih.

Gunakan handphone canggih anda untuk berhubung dengan keluarga tersayang ya!

#SelamatHariRayaAidilfitri

PKP di Selangor, pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan

PERGERAKAN rentas daerah tidak dibenarkan di seluruh negeri Selangor bermula 6 hingga 17 Mei ini.

Arahan dikeluarkan kerajaan selepas mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah negeri itu.

Antara daerah terlibat termasuk Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Bagaimanapun, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dengan jumlah tetamu tidak melebihi 15 individu pada satu masa.

Sementara itu, aktiviti ziarah dibenarkan selama tiga hari bermula 1 Syawal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Aktiviti ziara pusara tidak dibenarkan sama sekali bagi semua kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kerajaan juga melarang penganjuran rumah terbuka Aidilfitri seluruh negara tahun ini.