Arkib Tag: REEV

Bukan China, tetapi Thailand jadi pasaran pertama Geely Starray EM-R 2026

Geely telah melancarkan Starray EM-R di pasaran Thailand, yang menjadi negara pertama model REEV itu dipasarkan.

Apa beza Starray EM-R dengan e.Mas 7 PHEV?

Apakah itu EM-R? Secara asasnya, Starray EM-R merupakan versi Range Extended Electric Vehicle (REEV) bagi Starray EM-i, model yang menjadi asas kepada Proton e.Mas 7 PHEV yang dijual di Malaysia.

Di bawah bonet, terdapat enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan 99 PS dan 125 Nm. Namun, berbeza dengan e.Mas 7 PHEV, enjin ini tidak digunakan untuk menggerakkan roda secara terus.

Sebaliknya, ia bertindak sebagai penjana untuk membekalkan tenaga elektrik kepada bateri LFP 18.4 kWj. Tenaga tersebut kemudiannya akan digunakan menguasakan motor elektrik yang terletak pada gandar hadapan.

Motor elektrik 218 PS, jarak EV 104.8 km

Dengan kuasa mencecah 218 PS dan 262 Nm daripada motor elektrik berkenaan, Starray EM-R mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.0 saat, manakala kelajuan maksimum pula mencecah 170 km/j.

Bateri tersebut menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan DC sehingga 30 kW. Geely mendakwa pengecasan DC daripada 30% hingga 80% hanya mengambil masa sekitar 20 minit.

Menariknya, selain jarak elektrik sejauh kira-kira 104.8 km (NEDC), Starray EM-R turut dilaporkan mencatat penggunaan bahan api sehingga 22.2 km/l. Bagaimanapun, angka jarak keseluruhan bagi satu tangki minyak dan bateri penuh belum didedahkan secara rasmi.

Dua varian ditawarkan, harga dari RM86,200

Di Thailand, Starray EM-R ditawarkan dalam varian Pro dan Max. Beza antara kedua-dua varian ini terletak pada kelengkapan, dengan Max mendapat ciri-ciri tambahan seperti rim 19 inci, pelarasan elektrik pada kerusi hadapan, paparan head-up (HUD), kamera 360 darjah dan pintu but berkuasa elektrik.

Harga bermula dari 729,900 baht (RM89,900) untuk varian Pro dan 799,900 baht untuk Max (RM98,500). Walau bagaimanapun, bersempena pelancaran ini, Pro boleh didapati pada harga promosi 699,900 baht (RM86,200) bagi 300 unit pertama.

XPeng X9 PowerX diperkenalkan – versi REEV dengan jarak melebihi 1,600 km

XPeng secara rasmi memperkenalkan X9 versi ‘range extender’ (REEV) yang dikenali sebagai X9 PowerX. Ini menjadikannya model pertama XPeng dengan enjin pembakaran dalaman sejak penubuhan syarikat itu lebih 10 tahun lalu.

Dijangka dilancarkan di pasaran China menjelang akhir tahun ini, X9 PowerX dilengkapi enjin 1.5-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 150 PS. Sebagai model REEV, enjin ini tidak memacu roda tetapi ditugaskan untuk menjana kuasa untuk bateri LFP 63.3 kWj.

Menurut laporan Autohome, X9 PowerX menawarkan jarak pemanduan elektrik sejauh 452 km berdasarkan kitaran CLTC. Sebagai perbandingan, X9 EV versi Standard Range dengan bateri 84.5 kWj mampu mencapai jarak sehingga 500 km (WLTP).

Walau bagaimanapun, apabila digabungkan dengan tangki minyak sebesar 60 liter, model REEV ini dikatakan mampu mencecah jarak keseluruhan 1,602 km.

Menariknya, terdapat dua angka penggunaan bahan api dilaporkan iaitu 0.15L/100 km dan 6.4L/100 km, di mana angka kedua dijangka merujuk kepada penggunaan apabila bateri kehabisan tenaga.

Dari segi reka bentuk, X9 PowerX mengekalkan gaya “mecha” futuristik versi EV tetapi kini hadir dengan gril aktif dan liang udara baharu pada bampar hadapan. Bampar belakang turut direka semula, dan warna baharu Aurora Teal kini ditawarkan untuk varian ini.

Ruang dalaman hampir sama dengan versi EV, namun varian ini didatangkan dengan stereng baharu dengan butang mod pemanduan. Ciri lain seperti skrin infohibur bersaiz 17.3 inci, skrin bumbung 21.4 inci, dan peti sejuk mini dikekalkan.

Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai harga jualan. Untuk rujukan, X9 EV telah dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu dengan tiga varian iaitu Standard Range 2WD Pro (RM269,888), Long Range 2WD Pro (RM287,888) dan Long Range 2WD Pro Plus (RM299,888).

Leapmotor umum C10 varian REEV, enjin 1.5L, jarak pandu cecah 950 km

Leapmotor mengumumkan varian baharu bagi SUV elektrik C10 yang bakal muncul di Brussels Motor Show 2025 yang akan berlangsung pada Januari hadapan.

Leapmotor C10 varian REEV (Range Extender Electric Vehicle) itu menjanjikan manfaat daripada kedua-dua kenderaan elektrik dan enjin pembakaran dalaman dengan menawarkan jarak pemanduan yang lebih jauh dan kadar penjimatan bahan api yang baik.

C10 REEV ini menggandingkan motor elektrik berkuasa 215 PS dengan pek bateri sebesar 28.4 kWh yang hanya menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 145 km sahaja.

Dengan bantuan enjin 1.5 liter yang bertindak sebagai unit penambah jarak, C10 REEV ini boleh dipandu sejauh lebih 950 km untuk satu tangki bahan api penuh, dengan kadar penggunaan bahan api 0.4 liter untuk setiap 100 km.

Menurut Leapmotor, C10 REEV ini secara asasnya beroperasi sebagai sebuah EV untuk permulaan, namun apabila tenaga bateri semakin berkurangan, enjin tersebut akan dihidupkan untuk menjana kuasa elektrik dan mengecas bateri.

Pemilik juga boleh memilih untuk menggunakan pengecasan pantas DC 65 kW yang dapat menambah jarak sejauh 72.5 km dalam tempoh 18 minit sahaja.

Lebih banyak informasi berkenaan Leapmotor C10 REEV bakal diketahui menjelang acara Brussels Motor Show 2025 pada 10 hingga 19 Januari 2025.

Berminat dengan Leapmotor C10? Anda boleh baca ulasan pandu uji ringkas kami pada pautan INI.