Arkib Tag: Rantau Panjang

Polis: Kes kereta terbakar di stesen minyak disyaki terlibat penyeludupan

POLIS mengesyaki insiden kebakaran sebuah kereta di stesen minyak dekat Rantau Panjang, Kelantan mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan petrol.

Pemeriksaan mendapati terdapat tong plastik terbakar disyaki digunakan untuk mengisi minyak seludup ke negara jiran.

Saksi kejadian yang juga pekerja stesen minyak mendakwa ternampak api menyala daripada bahagian bawah kereta itu ketika pemandunya sedang mengisi minyak.

“Api dikatakan telah merebak ke bahagian belakang kereta sebelum lelaki tersebut terus melarikan diri.

“Saksi memaklumkan tiada unsur khianat yang menyebabkan kebakaran tersebut,” kata Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir.

Pada Isnin, sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar di stesen minyak di Rantau Panjang.

Polis kini sedang mengesan suspek berusia 36 tahun berasal dari Kampung Lubok Gong untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kebakaran tersebut turut menyebabkan sebuah pam minyak musnah.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, harga bahan api yang murah menyebabkan berlaku penyeludupan bahan api ke negara jiran.

Justeru, pihak berkuasa meningkatkan pemantauan bagi mengelak insiden curi petrol terus berleluasa terutama di sempadan negara.

Rangkuman berita: PM gusar belia ramai maut kemalangan jalan raya

STATISTIK kemalangan jalan raya menunjukkan golongan belia mencatatkan kematian tertinggi di negara ini.

Perkara itu didedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut bimbang dengan keadaan tersebut.

Jelasnya, secara purata lebih 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan golongan belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto fail ihsan Malay Mail

“Golongan belia mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu secara purata 7,077 kes mencecah hampir 50 peratus daripada kadar kematian akibat nahas jalan raya.

“Golongan muda terdedah kepada risiko lebih tinggi ketika berada di jalan raya… ini adalah cabaran utama untuk membendungnya,” katanya seperti dilaporkan portal Berita Harian.

Semalam, Ismail ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang.

Berdasarkan rekod kemalangan jalan raya, 14,308 kes kematian pada tahun 2019 hingga 2021 melibatkan belia.

Ia sudah pasti membimbangkan banyak pihak kerana jumlah itu adalah hampir separuh daripada kes kematian jalan raya sepanjang tiga tahun lalu.

Pelanggan, pekerja cemas kereta dan pam minyak terbakar di Rantau Panjang

Pelanggan serta pekerja sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan berdepan detik cemas apabila sebuah kereta terbakar sekitar jam 8.30 pagi tadi.

Kebakaran turut menyebabkan sebuah pam minyak musnah 100 peratus dan mencederakan seorang lelaki.

Memetik laporan Kosmo, para pelanggan di stesen tersebut bertindak menyelamatkan diri sambil ada di antara pekerja cuba memadamkan kebakaran.

Pasukan bomba yang tiba sejurus menerima panggilan kecemasan kemudian berjaya memadamkan kebakaran dengan mengambil masa kira-kira tiga minit.

Setakat ini, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.