Infiniti baru-baru ini memperkenalkan crossover dua baris gaya coupe terbaharunya, iaitu QX65 2027. Selain reka bentuk yang sporty, satu perkara yang terus mencuri perhatian ialah warna badan unik dipanggil Sunfire Red dan ya, ia memang bukan cat biasa.
Cat dengan kandungan emas sebenar
Apa yang membezakan Sunfire Red ialah penggunaan emas sebenar dalam campuran cat. Infiniti menggunakan serpihan kaca mikroskopik yang disalut dengan emas, membolehkan partikel tersebut tersebar secara sekata pada permukaan badan kereta. Hasilnya ialah efek kilauan yang lebih “dalam” dan berkilau, terutama di bawah cahaya.
Menurut Yasuhito Oba, pereka warna Infiniti, warna ini diinspirasikan oleh matahari terbit. “Sebab itulah ia memberi tenaga hangat dan bersinar,” katanya.
Proses cat tiga lapisan
Untuk menghasilkan kemasan ini, Infiniti menggunakan proses tiga peringkat. Ia bermula dengan lapisan asas merah, diikuti lapisan tengah lutsinar yang mengandungi serpihan kaca bersalut emas tadi, dan akhirnya lapisan clear coat untuk perlindungan.
Setiap unit QX65 memerlukan kira-kira dua gelen cat. Disebabkan penggunaan emas sebenar, proses pengeluaran turut melibatkan langkah keselamatan tambahan. Malah, pembekal cat dikatakan menggunakan trak berperisai untuk mengangkut bahan emas tersebut.
