Arkib Tag: Putrajaya

Laluan MRT Putrajaya dibuka secara rasmi hari ini

LEMBAH Klang kini akan mempunyai laluan kedua MRT yang akan dilancarkan secara rasmi hari ini. MRT Putrajaya akan dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di depot MRT Serdang, dan akan dibuka kepada orang awam bermula jam 3 petang.

Dalam laporan pada Disember lepas, MRT Corp berkata pembinaan laluan dari stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah disiapkan.

Jajaran sepanjang 38.7km bagi Laluan Putrajaya Fasa Dua yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.

Fasa Satu Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km yang meliputi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah dibuka kepada orang ramai mulai 16 Jun 2022.

Apabila Fasa Dua siap sepenuhnya nanti, penumpang akan boleh bertukar ke laluan lain sedia ada di 10 stesen pertukaran berbeza.

Stesen-stesen pertukaran tersebut adalah Kwasa Damansara (dengan Laluan MRT Kajang), Sungai Buloh (dengan KTM), Sri Damansara Timur (dengan KTM), Kampung Batu (dengan KTM), Titiwangsa (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling, KL Monorel), Ampang Park (dengan Laluan LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (dengan Laluan MRT Kajang), Chan Sow Lin (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling), Sungai Besi (dengan Laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan Laluan ERL dan Transit KLIA).

Laluan Putrajaya akan dikendalikan menggunakan 49 set tren. Setiap set tren terdiri daripada empat buah gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang.

Operasi tren adalah secara automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu. Terdapat juga kemudahan parkir di 15 buah stesen dengan jumlah tempat letak kereta sebanyak 5,870 petak di sepanjang jajaran.

Teksi Putrajaya, Cyberjaya dihiasi Jalur Gemilang sempena bulan merdeka

JABATAN Penerangan (Japen) menyantuni pemandu teksi sekitar Putrajaya dan Cyberjaya dalam program Info On Wheels (IOW) Merdeka bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2021.

Menerusi acara itu, kenderaan teksi dihiasi dengan Jalur Gemilang sebagai tanda menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada pemandu teksi berlangsung di Anjung Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam skala kecil.

Ia bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid-19.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Japen Hashim Bedu berkata, program penyerahan Jalur Gemilang bertujuan menyemai semangat patriotism.

“NGO yang bekerjasama dengan Japen dilihat sebagai ejen yang memasarkan maklumat dasar kerajaan.

“Secara tidak langsung membantu menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita.

Japen akan  mengagihkan kira-kira 200 Jalur Gemilang kepada pemandu teksi di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

Hashim berkata sebanyak 2,432 program di 10,970 lokasi telah dilaksanakan setakat ini dengan agihan sebanyak 67,223 Jalur Gemilang.