Arkib Tag: Pulau Pangkor

Hantar ubat guna dron, Pharmaniaga Bhd akui jimat masa

TIDAK mustahil penghantaran ubat dapat dilakukan secara meluas di negara ini dengan menggunakan pesawat tanpa pemandu atau dron.

Perkara itu diakui syarikat Pharmaniaga Bhd yang bercadang menggunakan dron bagi penghantaran ubat gred farmaseutikal.

Menurut syarikat itu, penggunaan dron dapat meningkatkan keupayaan logistik dan menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses.

Pada masa sama, penggunaan dron juga mengurangkan masa dan kos penghantaran selain meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.

Setakat ini, percubaan telah dilakukan bagi penghantaran bekalan ubat dari jeti Manjung ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor, Perak.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Bhd Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, tiga kilogram ubatan dibawa menggunakan dron ke pulau itu.

“Penghantaran normal menggunakan feri dari jeti di Manjung ke klinik di Pulau Pangkor mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Hanya 3.5 minit apabila menggunakan dron seperti didemonstrasi oleh kami…dengan jarak penglihatan lemah akibat 100 peratus litupan awan,” katanya.

Penghantaran ubatan ke Pulau Pangkor itu dikenali sebagai Project Eagle.

Jarak penghantaran dari jeti Manjung ke Pulau Pangkor sekitar 4.2 kilometer dan diketuai juruterbang wanita.

Projek itu mendapat sokongan oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia.

Selain itu, Taman Teknologi Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Boustead Holdings Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd turut menyokong projek tersebut.

Terapung tiga hari di tengah laut kerana bot karam, TLDM selamat nelayan Indonesia

LIMA nelayan warga Indonesia berjaya diselamatkan nelayan tempatan dan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas bos yang dinaiki karam.

Memetik laporan Bernama, kesemua nelayan terbabit terapung hampir tiga hari di tengah laut kira-kira 35 batu nautika barat daya Pulau Pangkor, Perak.

Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan memaklumkan, nelayan berkenaan telah diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia untuk proses dokumentasi.

“Kelima-lima awak-awak nelayan tersebut dipercayai telah terapung di laut selama tiga hari sebelum diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.

“Mangsa yang dalam keadaan lemah seterusnya diberi bantuan makanan dan minuman sebelum dipindahkan ke Kapal Diraja (KD) Mahamiru,” menurut kenyataan itu.

Pulau Pangkor terletak di perairan Selat Melaka dan kedudukannya dekat dengan negara jiran Indonesia.

Masa perjalanan menaiki bot dari Pulau Pangkor ke Indonesia dianggarkan sekitar lima jam.