Arkib Tag: Program Pembaharuan Teksi Madani

Proton S70 dipilih sebagai imej baharu teksi negara menerusi program Teksi Madani

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional bertempat di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Pelancaran tersebut menandakan permulaan insiatif nasional bagi memperbaharui dan memperkukuh industri teksi negara.

Ia merupakan susulan kepada pengumuman pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan kepada pemilik teksi serta kereta sewa persendirian bagi pembelian kereta baharu buatan nasional.

Kurangkan beban pemilik teksi

Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan beban kos pemilikan kenderaan baharu dan mempercepatkan proses pembaharuan armada teksi di seluruh negara.

Selain itu, program ini memberi peluang kepada pemandu teksi beralih kepada kenderaan yang lebih moden, selamat, selesa dan berkualiti.

Dalam masa yang sama, peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta turut diumumkan bagi program geran padanan bagi menggantikan kereta lama kepada kereta baharu.

Proton S70 wajah baru teksi negara

Proton S70 dipilih kerana ciri-cirinya yang mampu memenuhi keperluan operasi mobiliti awam, seperti ruang kabin yang luas, enjin cekap bahan api dan teknologi keterhubungan pintar.

Selain itu, pemilik tidak perlu risau kerana terdapat rangkaian pusat servis Proton yang meluas di seluruh negara.

Di bawah program ini, pengendali yang layak akan ditawarkan Proton S70 Premium warna ekslusif Ruby Red, dan tidak lagi menggunakan kemasan dua tona merah putih.

Sedan tersebut turut dilengkapi dengan perkakasan tambahan yang diperlukan seperti:

  • panel LED tulisan hijau Teksi/E-Hailing
  • paparan meter tambahan untuk urusan transaksi dan paparan iklan
  • nombor pendaftaran khas GET (tulisan merah berlatarbelakang putih)
  • kemasan decal unik pada tiang C

Selain itu, teksi S70 baharu itu tidak lagi menggunakan struktur penanda atas bumbung (taxi topper) dan pelekat label operator pada pintu seperti kebiasaan.