Arkib Tag: program OEM

Dunlop fokus kepada pasaran tayar gantian dan OEM di Malaysia

Dunlop terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia menerusi peluasan pesat rangkaian pengedar serta penyelesaian tayar yang lebih meluas.

Dalam masa yang sama, jenama itu komited melabur untuk produk yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang.

Rangkaian pengedar semakin berkembang

Dalam tempoh beberapa bulan, Dunlop telah mengembangkan rangkaian pengedarnya sebanyak lebih 30 peratus daripada kira-kira 150 kepada lebih 200 premis sejak Mei 2026.

Ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat di kalangan pengedar serta rakan perkhidmatan automotif terhadap jenama tersebut, sekali gus membina legasi kukuh Dunlop di sini.

Pada tahun 1963, Dunlop menjadi pengeluar tayar pertama yang menubuhkan kemudahan pengeluaran tempatan di negara ini.

Di bawah pengurusan baharu, Dunlop memberi tumpuan kepada usaha menjadikan teknologi tayar premium yang lebih mudah diakses.

Fokus pada pasaran tayar gantian

Pasaran tayar gantian di Malaysia terus berkembang sejajar dengan peningkatan permintaan merentasi segmen kereta penumpang, SUV dan EV.

Untuk itu, Dunlop akan terus memperluaskan portfolio produk merangkumi:

  • Blue Response TG untuk kenderaan penumpang harian
  • SP Sport Maxx 060+ untuk pemandu yang mengutamakan prestasi dan pengendalian
  • Grandtrek R/T01 untuk SUV & trak pikap

Dunlop juga sedang bersedia untuk memperkenalkan e.Sport Maxx yang direka khusus untuk kenderaan elektrik.

Marcus Lim, Pengarah Urusan Toyotsu Binter Malaysia Sdn Bhd menjelaskan pihaknya mahu Dunlop tersedia di mana sahaja untuk pelanggan membeli dan pendapatkan perkhidmatan tayar.

“Aspirasi kami adalah untuk meletakkan Dunlop sebagai jenama premium yang sedang meningkat dengan menjadikan prestasi premium lebih mudah diakses oleh lebih ramai pengguna di Malaysia,” katanya.

Komited sokong program OEM

Selain itu, Dunlop kekal komited menyokong rakan kongsi pengeluar peralatan asal (OEM) dengan membekalkan tayar model-model terpilih daripada jenama terkemuka.

Antaranya termasuklah Toyota, Lexus, Isuzu, Mazda dan juga Leapmotor.

Menyedari keperluan kritikal dalam program OEM, Toyotsu Binter Malaysia dan Sumitomo Rubber Industries komited mengekalkan standard tertinggi dari segi kualiti produk, kebolehpercayaan rantaian bekalan serta sokongan pelanggan yang responsif.

Dunlop juga kekal komited menawarkan produk yang selamat, selesa, tahan dan meyakinkan untuk menyokong pengguna bagi kenderaan berenjin (ICE), hibrid dan elektrik.

Inovasi nadi Dunlop

Takehiko Asai, Pengarah Urusan Sumitomo Rubber Asia (Tyre) Pte. Ltd., berkata masa depan Dunlop terus dipandu oleh semangat inovasi yang telah membentuk jenama itu selama lebih 130 tahun.

Untuk tayar generasi baharu, pihaknya akan melabur dalam teknologi yang mampu meningkatkan kecekapan tenaga, kadar cengkaman, serta pengurangan bunyi bising dalam kabin.

Selain itu, Dunlop juga akan terus meneroka teknologi tayar pintar yang dapat menyokong masa depan mobiliti berhubung dan elektrik.

“Inovasi ini mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan produk yang dapat memenuhi keperluan pemandu yang sentiasa berubah tanpa menjejaskan kualiti dan kebolehpercayaan yang menjadi identiti jenama Dunlop,” jelasnya lagi.