Arkib Tag: ppn

UMW kerugian bersih RM47.9 juta suku ketiga 2021

UMW Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM47.9 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 daripada untung bersih RM83.87 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Hasil berkurangan kepada RM2.02 trilion daripada RM2.66 trilion berpunca jualan lebih rendah dalam segmen automotif, pembuatan dan kejuruteraan.

Hal ini berkaitan dengan operasi pengeluaran yang terhad ekoran kelonggaran sekatan pergerakan mulai 16 Ogos 2021 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Segmen automotif merekodkan hasil sebanyak RM1.59 trilion, 25.2 peratus lebih rendah daripada RM2.13 trilion yang dilaporkan pada suku yang sama.

“(Ia) ditambah pula dengan kekurangan cip semikonduktor yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, UMW yakin mampu menangani isu kekuragan cip semikonduktor dengan pelan strategik lebih baik di masa depan.

“Permintaan untuk produk automotif dijangka terus kukuh berikutan pelanjutan pengecualian cukai jualan.

“Walaupun kumpulan telah berjaya mengurangkan impak kekurangan cip semikonduktor bagi tahun ini, namun kumpulan akan terus bekerjasama rapat dengan prinsipal dan pembekal.

“Pengenalan model baharu, termasuk kenderaan elektrik hibrid, serta promosi jualan akhir tahun dijangka memacu jualan lebih kukuh,” katanya lagi.

UMW berkata, prospek bagi sub-segmen komponen dan pelincir kereta juga kian baik susulan gangguan rantaian bekalan yang semakin berkurangan.

Bagaimanapun, UMW tidak menolak persekitaran perniagaan kekal mencabar untuk baki tahun ini selain terus menguruskan kesan negatif Covid-19.

Sabah masih Fasa 2 PPN, belum boleh rentas daerah

NEGERI Sabah masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ia sekaligus menyaksikan penduduk negeri itu belum lagi dibenarkan melakukan pergerakan rentas daerah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, pergerakan rentas daerah hanya dibenarkan untuk tujuan kecemasan dan lain-lain urusan penting.

“Pergerakan rentas daerah masih tidak dibenarkan kecuali dengan tujuan antaranya kecemasan, pekerjaan dengan surat majikan, janji temu vaksin, perkhidmatan perlu, pasangan jarak jauh dan ibu bapa melawat anak bawah 18 tahun,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa pergerakan rentas daerah telah dibenarkan di Sabah.

Semakan mendapati, dakwaan itu adalah notis lama dikeluarkan pada tahun lepas.

Terdahulu, Idris menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih atau palsu.

Ini kerana jika didapati bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dengan denda maksimum RM50,000 serta penjara setahun.

Lembah Klang masuki fasa 2 PPN mulai esok, boleh rentas daerah

LEMBAH Klang akan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 10 September, esok (Jumaat).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan peralihan membabitkan kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

Beliau berkata, antara kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri yang memasuki fasa dua sebelum ini, seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, katanya, rentas daerah dibenarkan kepada individu yang lengkap dos vaksin, manakala pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin juga dibenarkan untuk merentas negeri.

“Ibu bapa yang mendapat perlindungan lengkap dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia bawah 18 tahun,” katanya.

“Dine-in atau makan di kedai dibenarkan di premis untuk pelanggan yang lengkap dos vaksin dan aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama membabitkan penginapan di hotel dan ‘homestay’ (inap desa) bagi individu yang lengkap dos vaksin.

“Jawatankuasa turut memutuskan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama. Maka, pergerakan antara negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya.

Memperincikan kelonggaran selanjutnya, jawatankuasa turut bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri yang berada di bawah Fasa Satu PPN.

“Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN dan kementerian berkaitan. Amalkan kawalan kendiri serta gaya hidup sihat,” katanya.