Arkib Tag: Porta EV

TQ Wuling Porta EV 2026 rasmi di Malaysia – harga anggaran dari RM99,800

TQ Wuling hari ini secara rasmi melancarkan van komersial berkuasa elektrik TQ Wuling Porta EV untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua varian ditawarkan dengan harga jualan seperti berikut:

  • 300 km – RM99,800 (anggaran)
  • 400 km – RM105,800

Pembeli terawal akan ditawarkan dengan pakej early-bird merangkumi:

  • pengecas dinding 7kW percuma (bernilai RM3,500)
  • pengecas EV 3-pin percuma
  • pakej penyelenggaraan percuma 3-tahun/60,000 km

Dimensi

Van panel ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,010 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,975 mm (1,960 mm untuk varian 300 km) dan jarak antara roda 3,050 mm.

Antara ciri-ciri utama Porta EV:

  • muatan maksimum sehingga 1,105 kg untuk varian 400 km
  • pintu gelangsar sisi selebar 777 mm
  • pintu belakang jenis barn door dengan bukaan sehingga 270 darjah
  • ketinggian pemuatan 595 mm
  • badan monocoque terdiri daripada 83% keluli berkekuatan ultra tinggi

Struktur bukaan pintu belakang yang lebar membolehkan muatan dimasukkan terus ke dalam menggunakan forklift.

Ruang kargo pula berukuran sepanjang 2,830 mm, lebar 1,680 mm dan tinggi 1,365 mm yang menawarkan kapasiti kargo sehingga 6,500 liter.

Disebabkan itu ia mampu memuatkan palet standard berukuran 1,100 x 1,100 mm.

Unit pacuan

Porta EV dipacu motor elektrik tunggal silikon karbida (SiC) berkuasa 101 hp dan 180 Nm.

Varian 300 km dilengkapi pek bateri berkapasiti 41.9 kWh sementara varian 400 km pula mendapat bateri 56.2 kWh.

Bateri Magic EV Wuling ini menyokong pengecasan AC 20-80% dalam tempoh 5.15 jam, serta pengecasan pantas DC 30-80% sepantas 20 minit.

Ruang kabin

Van ini menampilkan susun atur yang serba ringkas, menampilkan kelengkapan seperti:

  • panel meter analog
  • skrin paparan TFT 3.5 inci
  • sistem infohibur 8-inci
  • tempat duduk larasan manual 4-arah

Ciri keselamatan

Secara standard, Porta EV dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Kawalan Cengkaman (TCS) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

Selain itu, ia turut hadir dengan ciri amaran pejalan kaki pada kelajuan rendah.

Jaminan

Porta EV dilindungi pakej seperti berikut:

  • Jaminan kenderaan 5-tahun atau had perbatuan 120,000 km
  • Jaminan motor pacuan, bateri dan BMS 5-tahun/200,000 km
  • Jaminan sel bateri EV 6-tahun/300,000 km

Menurut TQ Wuling, Porta EV direka untuk menawarkan penjimatan hampir 65% kos penyelenggaraan berbanding van komersial berkuasa diesel.

Ini dilihat membantu perniagaan menguruskan perbelanjaan operasi armada jangka panjang dengan lebih berkesan.

KLIMS2026: TQ Wuling Porta EV debut, tawar jarak pandu sehingga 400 km

Reruai TQ Wuling tampil agak unik dengan kehadiran van panel kegunaan komersial yang digelar sebagai Porta EV.

Di pasaran China, van ini lebih dikenali sebagai Wuling Yangguang.

Model ini dibangunkan khusus untuk memenuhi permintaan terhadap mobiliti elektrik komersial yang semakin meningkat.

Ia sesuai untuk operasi logistik bandar, pengendali armada, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perkhidmatan penghantaran perbatuan terakhir.

Spesifikasi

Porta EV merupakan van kegunaan logistik berkuasa elektrik sepenuhnya yang menawarkan ruang kargo sehingga 6,500 liter.

Ia hadir dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang, kuasa dihasilkan boleh mencecah 101 hp dan 180 Nm.

Terdapat beberapa pilihan kapasiti pek bateri ditawarkan di pasaran China, dengan jarak pandu boleh mencapai 400 km untuk sekali cas penuh.

Unit yang dipamerkan di acara KLIMS 2026 mempunyai ciri berikut:

  • lampu LED
  • rim saiz 15 inci dengan penutup penuh
  • pintu gelangsar kiri dan kanan
  • kluster meter analog
  • brek tangan fizikal

Difahamkan, van panel Porta EV ini bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.