Arkib Tag: Porsche 911 GT3

Porsche 911 GT3 Ocelot dari Sonderwunsch, bergaya dengan inspirasi Amazon

Porsche melancarkan projek Sonderwunsch baharu yang diberi nama Icons of Latin America untuk meraikan warisan dan kecemerlangan automotif rantau tersebut.

Projek sulung ini dimulakan dengan sebuah 911 GT3 Touring 2025 unik yang dipanggil The Ocelot.

 

Inspirasi dan Ulang Tahun

Rekaan kereta ini diinspirasikan secara langsung oleh kepelbagaian biologi hutan hujan Amazon di Colombia dan haiwan eksotiknya, harimau oselot (ocelot).

Projek ini dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 Porsche Latin America dan ulang tahun ke-30 bagi Autoelite, pengimport rasmi Porsche di Colombia.

 

Luaran: Forest Green Metallic dan Centenaire Silver

911 GT3 Touring tampil menarik dalam warna eksklusif Forest Green Metallic (Paint to Sample), yang dipilih untuk membangkitkan lapisan dedaun, bayangan dan cahaya hutan hujan Amazon.

Warna hijau pekat tersebut dikontraskan dengan riasan Centenaire Silver pada beberapa bahagian luaran seperti pemegang pintu dan logo.

Penggunaan warna perak adalah penghormatan kepada kemasan krom pada model Porsche 911 terawal dari tahun 1960an, menghubungkan versi moden dengan warisan jenama.

 

Dalaman: Kulit Cohiba Brown dan Fabrik Pepita

Bahagian dalaman menterjemahkan identiti ocelot, yang dikenali dengan kecantikan dan corak bertompok.

Majoriti bahagian dalaman menggunakan kulit Cohiba Brown dengan warna yang menyerupai bulu harimau oselot bersama jahitan silang Crema dan Truffle Brown.

Kerusi sport menampilkan panel tengah fabrik Pepita dalam pelbagai tona, ala corak bertompok harimau oselot dan penghargaan kepada warisan klasik Porsche.

Corak harimau oselot terpampang pada sandaran kepala, diinspirasikan daripada papan tanda lintasan hidupan liar Colombia.

 

Sonderwunsch dengan Identiti Amerika Latin

Penyesuaian pada 911 GT3 Touring disempurnakan dengan perincian eksklusif Sonderwunsch yang menyerlahkan kesungguhan untuk meraikan identiti Amerika Latin.

Perincian ini termasuk lencana Iconos de Latinoamérica dalam Centenaire Silver pada tiang B.

Pelindung ambang pintu bercahaya memaparkan inskripsi untuk memperingati kedua-dua ulang tahun utama, 30 Años de Autoelite dan 25 Años de Porsche Latin America.

Selain itu, penggunaan kulit Cohiba Brown pada stereng, papan pemuka dan juga ruang bagasi hadapan, menyerlahkan sentuhan mewah dan eksklusif projek ini.

Porsche 911 GT3, 911 GT3 dengan Pakej Touring kini di Malaysia, harga dari RM2.29 juta

Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance hari ini mengumumkan ketibaan model 911 GT3 serta 911 GT3 dengan pakej Touring untuk pasaran Malaysia.

Majlis pelancaran model tersebut turut dihadiri oleh Jörg Bergmeister selaku Duta Jenama Porsche.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Porche 911 GT3:

 

1. Enjin

Porsche 911 GT3 dikuasakan oleh nadi flat-six 4.0 liter aspirasi semula jadi yang berkeupayaan menjana 510 PS dan daya kilas 450 Nm.

Enjin tersebut telah ditala semula dan dilengkapi dengan dua penapis zarah dan empat penukar bermangkin supaya dapat memenuhi piawaian pelepasan emisi yang lebih ketat.

Perubahan lain termasuklah:

  • kepala silinder dan aci sesondol yang disemak semula
  • aliran pada injap pendikit individu yang lebih berkesan
  • unit penyejuk enjin yang turut dioptimasikan

 

2. Transmisi

Enjin itu dipadankan dengan pilihan transmis PDK tujuh-kelajuan serta transmisi manual GT enam-kelajuan, dengan nisbah pacuan akhir lapan peratus lebih pendek berbanding model terdahulu.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.9 saat, atau 3.4 saat untuk versi PDK sebelum mencapai kelajuan tertinggi 313 km/j (PDK dihadkan kepada 311 km/j)

 

3. Rupa luaran

Terdapat beberapa perubahan dibuat pada luaran 911 GT3 seperti:

  • spoiler lip dan diffuser hadapan yang disemak semula
  • sirip bawah badan untuk aliran udara yang lebih berkesan dan daya mendap dipertingkatkan
  • lampu utama LED Matriks yang direka semula

Selain daripada itu, sayap belakang 911 GT3 kini mempunyai plet sisi bersudut.

Penampilan yang lebih segak turut disumbangkan oleh sistem suspensi yang turut disemak semula mirip kepada perubahan yang dibawakan pada model 011 GT3 RS terdahulu.

Akhir sekali, 911 GT3 didatangkan dengan rim saiz 20 inci depan dengan balutan tayar 255/35 ZR20, dan 21 inci belakang dengan getah 315/30 ZR 21.

 

4. Pakej khas untuk pembeli

Buat pertama kalinya, Porsche Malaysia menawarkan Pakej Touring yang terdiri daripada sayap belakang jenis retractable, logo 911 GT3 Touring pada jeriji belakang, rim aluminium (1.5 kg lebih ringan) serta Gurney flap.

Sementara ruang kabin pula dihiasi dengan upholsteri kulit berkualiti tinggi, tempat duduk baris kedua (opsyen) serta suasana sporti klasik.

Penggunaan bateri lithium-ion 40Ah juga mengurangkan lagi berat badan sebanyak 4 kg.

Dalam tetapan yang paling ringan, Porsche 911 GT3 cumalah seberat 1,420 kg sahaja.

Terdapat juga beberapa pakej lain seperti berikut:

  • Weissach Package – penambahan bar anti-oleng, rod penyambung, dan panel ricih untuk gandar belakang yang diperbuat daripada CFRP. Selain itu, ia turut menerima beberapa komponen seperti panel bumbung, plet sisi sayap belakang, perumah luaran cermin sisi, dan sirip udara, sementara ruang kabin pula dihiasi kemasan upholsteri Race-Tex dan pemegang pintu CFRP. Terdapat opsyen rim magnesium dan sangkar oleng CFRP.
  • Lightweight Package – ditawarkan untuk 911 GT3 dengan Pakej Touring. Ia mendapat komponen seperti pengimbang, rod penyambung dan panel ricih gandar belakang yang diperbuat daripada CFRP.

Rim magnesium dan panel pintu ringan juga menjadi sebahagian daripada pakej. Akhir sekali, plet Leichtbau yang boleh didapati pada bahagian depan tuil gear.

Untuk 911 GT3 dengan sayap belakang, pakej Clubsport untuk kegunaan litar ditawarkan tanpa kos tambahan, merangkumi:

  • sangkar oleng keluli belakang
  • sistem abah-abah enam-poin
  • unit pemadam kebakaran mudah alih
  • tempat duduk bucket sport serba ringan


5. Jam eksklusif

Porsche Malaysia turut menawarkan jam tangan eksklusif rekaan Porsche Design untuk pemilik 911 GT3 dan 911 GT3 Touring.

Jam tangan chronograph ini menampilkan ciri berikut:

  • pergerakan Porsche Design WERK 01.200 yang diiktiraf COSC
  • fungsi flyback
  • casis titanium dengan salutan titanium karbida hitam
  • rekaan dial GT3
  • komponen winding rotor mengikut rekaan rim GT3

Tali jam pula dihasilkan menggunakan bahan kulit asli Porsche, sementara warna boleh dipilih menerusi program Paint to Sample.

 

6. Harga

Untuk pasaran Malaysia, Porsche 911 GT3 serta 911 dengan Pakej Touring dijual pada harga bermula dari RM2,290.000.