Arkib Tag: petroleum

Harga minyak mentah global meningkat, kerajaan jamin kepentingan rakyat

RAKYAT diminta tidak gusar dengan peningkatan harga minyak mentah pasaran global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Jelasnya, terdapat pelbagai tindakan proaktif diambil kerajaan termasuk meneliti saranan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bagi meningkatkan pengeluaran petroleum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail

“Mesyuarat OPEC memutuskan supaya kita meningkatkan pengeluaran petroleum kepada 400,000 tong sehari.

“Ia bagi menstabilkan harga minyak mentah di pasaran global dan akan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan.

“Pada 1 Okober lalu, harga minyak mentah di pasaran global mencecah AS$80. Seperti kita sedia maklum harga siling diesel RM2.15 dan petrol RON95 RM2.05 per liter.

“Kerajaan sentiasa mengkaji perkara ini dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengurangkan beban pengguna di Malaysia,” katanya.

Pada Isnin, harga minyak mentah di pasaran global meningkat kepada AS$80 atau bersamaan RM334.24 setong.

Perkara ini menjadi kebimbangan rakyat yang gusar sekiranya harga runcit bagi petrol RON97, RON95 dan diesel mengalami kenaikan.

Harga RON97 RM2.75 seliter sehingga 29 September

HARGA runcit petrol RON95 serta diesel kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan harga itu berkuatkuasa 22 sehingga 29 September ini.

Bagaimanapun harga runcit petrol RON97 naik dua sen seliter daripada RM2.73 kepada RM2.75.

Kesemua harga baharu ini adalah berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Ekonomi kian pulih, OPEC+ setuju tingkat pengeluaran minyak mentah

PERTUBUHAN Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersetuju meningkatkan sedikit pengeluaran minyak mentah.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Negara-Negara OPEC dan bukan OPEC Ke-20, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan dibuat memandangkan terdapat tanda pemulihan ekonomi global.

“Menteri-Menteri OPEC bersetuju untuk meningkatkan sedikit pengeluaran minyak mentah memandangkan ada tanda-tanda pemulihan ekonomi global,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail

Mesyuarat dihadiri oleh 13 negara OPEC dan 10 negara sekutu dipengerusikan oleh Pengerusi OPEC Putera Abdulaziz Salman Al-Saud.

Mustapa mengetuai delegasi Malaysia terdiri daripada wakil Unit Perancang Ekonomi, Petronas dan Jabatan Peguam Negara.

Petronas antara syarikat cari gali petroleum terkemuka dunia. – Foto ihsan Facebook/Petronas

Sejak Disember 2016, Malaysia telah menyertai mesyuarat OPEC+.

Memetik laporan Bernama, harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$71.36 (AS$1=RM4.19) setong ketika ini.