Perodua menawarkan penurunan harga ke atas alat ganti komponen penyelenggaraan termasuk kos buruh sebanyak 10 peratus bermula 19 Jun.
Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu rakyat Malaysia berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sah untuk semua model Perodua
Kempen terbaharu ini ditawarkan kepada semua model kenderaan Perodua, termasuklah EV QV-E.
Ia merangkumi aspek pemeriksaan, gantian komponen serta kos buruh yang berkaitan dengan penyelenggaraan kenderaan.
Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “Kami percaya penurunan kos penyelenggaraan ini akan membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka.”
“Kami mengalu-alukan pelanggan untuk datang ke pusat servis bertauliah Perodua bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini, serta menggunakan alat ganti tulen agar kenderaan kekal cekap dan dipercayai sepanjang masa.”
“Berdasarkan data dalaman kami, terdapat lebih daripada 5 juta kenderaan Perodua di atas jalan dan kami percaya menerusi kempen ini kami boleh memberikan servis penyelenggaraan kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.
Sepanjang tahun 2025, sejumlah 3.7 juta kenderaan diselenggara di pusat servis Perodua di seluruh negara.
Kia Sales Malaysia mengumumkan ‘Kia Maintenance Plan’ untuk model terpilih Kia Sportage dan Kia Carnival pada harga serendah RM2,980.
Pelan ini direka untuk memberikan kemudahan lebih baik, kos servis lebih terancang dan ketenangan minda untuk jangka panjang.
Selain itu, ia juga membolehkan pelanggan memiliki kos servis tetap sepanjang tempoh perlindungan tanpa dipengaruhi kenaikan kos buruh, alat ganti dan minyak enjin.
Kia Maintenance Plan merangkumi perkara berikut:
minyak enjin sintetik penuh dan penapis minyak
penapis udara enjin
penapis udara kabin
cecair brek
palam pencucuh
pemeriksaan kenderaan pelbagai titik secara menyeluruh
Berikut merupakan pelan yang ditawarkan oleh Kia Sales Malaysia:
Kia Sportage 1.6T
RM2,980 untuk tempoh 5-tahun atau 50,000 km
berdasarkan sela servis satu tahun/10,000 km
Kia Sportage 2.0
RM3,680 untuk tempoh 5-tahun atau 75,000 km
berdasarkan sela servis satu tahun/15,000 km
Kia Carnival 2.2D (7,8 dan 11-tempat duduk)
RM3,580 untuk tempoh 5-tahun atau 50,000 km
berdasarkan sela servis satu tahun/10,000 km
Kia Ownership Experience @ Glenmarie
Bertempat di Pusat 3S Utama Kia Glenmarie, Kia Sales Malaysia turut menganjurkan program Kia Ownership Experience.
Inisiatif ini berlangsung selama seminggu bermula dari 7 hingga 11 Mei 2026.
Ia memberikan peluang kepada semua pihak untuk melihat usaha berterusan KSM dalam memperkukuh perkara berikut:
operasi selepas jualan
piawaian perkhidmatan
penjagaan pelanggan jangka panjang
Semua ini demi memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik kepada semua pelanggan di Malaysia.
Terdapat demonstrasi teknikal yang diketuai oleh Hyung Gyu Choi, Pengurus Kanan Teknikal bagi Operasi Pemilikan Kia.
Beliau menyertai Kia sejak 1993 dan memiliki pengalaman tahap global dalam perkhidmatan selepas jualan dan teknikal melebihi 34 tahun.
Choi bersama pasukan teknikal KSM akan memeriksa lebih 100 kenderaan Kia termasuklah:
Forte
Cerato
Optima
Picanto
Sorento
Grand Carnival
Sportage
Sephia
Ia bertujuan untuk membantu pemilik memahami keadaan kenderaan mereka dengan lebih baik di samping menangani isu penyelenggaraan dan pertanyaan teknikal tertentu.
Pelanggan yang mengambil bahagian akan menerima minyak enjin percuma, pengelap cermin hadapan serta cucian kereta selepas pemeriksaan dibuat.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada beberapa pihak seperti TotalEnergies, Goodyear, TRAPO dan EV Connection (EVC).
Sepanjang program berlangsung, pengunjung boleh menikmati promosi eksklusif, tawaran istimewa dan hadiah daripada rakan industri yang mengambil bahagian.
Pusat 3S Glenmarie dikendalikan Cycle & Carriage
Pusat 3S Kia Glenmarie kini dikendalikan oleh kumpulan pengedar baharu, Cycle & Carriage.
Dengan keluasan 39,240 kaki persegi, fasiliti ini mempunyai ruang pameran boleh memuatkan lapan kenderaan pada satu-satu masa.
Fasiliti selepas jualan mempunyai kemudahan seperti:
20 ruang servis
sistem diagnostik terkini
peralatan penyelenggaraan khusus
kelengkapan teknikal
Dengan kemudahan tersebut, Kia Sales Malaysia dapat memastikan piawaian kualiti servsi dan penjagaan pelanggan pada tahap tertinggi.
PERODUA Viva dilancarkan pada 2007 bagi menggantikan Kancil dan Kelisa. Fokusnya mudah: menjadi kereta kecil yang mesra pengguna, mudah dipandu dan paling penting, mesra poket.
Imej oleh: Mstar
Semasa pelancaran, ia ditawarkan dengan tiga pilihan kapasiti enjin – 649cc, 847cc dan 989cc – dan bergantung kepada enjin, anda boleh pilih kotak gear manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan.
Seiring dengan umurnya yang berusia lebih 10 tahun, Perodua Viva menjadi satu model popular dalam pasaran terpakai. Oleh itu, sebenarnya mahal ke tak nak jaga Perodua Viva ini? Mari kita lihatkan.
Minyak enjin
Perodua biasa menggunakan gred 5W-30 atau 10W-30, tetapi disebabkan kebanyakan sudah berusia, mungkin tahap kelegaan dalam komponen enjin sudah meningkat dan anda boleh pilih minyak enjin dengan kelikatan lebih tinggi seperti 10W-40.
Harga sekitar RM80 hingga RM120 termasuk penapis minyak dan upah.
Minyak gear
Bagi versi automatik, jenis ATF yang digunakan adalah jenis DIII dan kapasiti yang diperlukan sekitar 2.5-liter. Sekiranya penapis ditukar sekali, kapasiti ATF yang diperlukan adalah lebih tinggi. Kosnya dalam lingkungan RM280 hingga RM320.
Untuk versi manual, tidak perlu sekerap automatik, dan kosnya lebih rendah sekitar RM70 hingga RM90.
Air filter atau penapis udara
Komponen ini boleh ditukar sendiri kerana sangat mudah, tapi jika tidak tahu juga, boleh sahaja minta mekanik tukarkan semasa servis enjin. Harga murah sahaja, sekitar RM25.
Cabin filter atau penapis kabin
Ia berfungsi menapis udara dari luar sebelum masuk ke dalam kabin. Sekiranya sudah kotor, bau yang tak enak akan masuk ke dalam kabin dan sistem pendingin hawa juga mungkin tersumbat.
Harga sekitar RM15 hingga RM20 sahaja.
Spark plug atau palam pencucuh
Disebabkan kesemua varian Perodua Viva hanya mempunyai 3-silinder sahaja, maka hanya tiga unit palam pencucuh diperlukan. Petanda perlu ditukar adalah apabila kereta ada tersengguk atau rasa kehilangan kuasa.
Seeloknya tukar mengikut jadual sebelum ia menunjukkan simptom. Harga dalam lingkungan RM80 hingga RM90 termasuk upah.
Timing belt atau tali sawat
Perlu ditukar setiap 100,000km, harga sekitar RM400 hingga RM500 termasuk upah. Agak mahal, tapi bukan selalu. Mungkin dalam lima atau enam tahun, hanya sekali sahaja.
Engine mounting atau cagak enjin
Komponen ini perlu diperiksa terutamanya untuk kereta yang sudah melebihi usia 10 tahun. Malah, ada yang sekitar tujuh atau lapan tahun pun sudah menunjukkan tanda-tanda perlu ditukar.
Cagak enjin yang sudah rosak akan mengeras dan tidak dapat menyerap gegaran dari enjin. Maka, anda akan rasa lebih gegaran semasa memandu. Perlu ditukar agar tidak berlaku kerosakan melarat.
Terdapat tiga unit untuk satu set, dan lebih baik ditukar satu set. Harga sekitar RM400.
Klac
Khas untuk versi manual, dan klac memerlukan satu tempoh yang agak lama sebelum ia perlu ditukar. Kosnya dianggarkan sekitar RM600 hingga RM700, agak mahal kerana kerjanya agak rumit. Enjin perlu diturunkan sebelum kotak gear boleh dibuka.
Brake pad atau pelapik brek
Satu lagi komponen wear and tear, pelapik brek perlu ditukar setelah ia menipis. Terdapat banyak pilihan dalam pasaran, jenis ‘biasa’ berharga RM80 hingga RM100.
Brake rotor atau cakera brek
Tidak perlu ditukar sekerap pelapik brek, namun jika menujukkan tanda seperti tidak rata dan gegaran, ia perlu ditukar segera. Harga sekitar RM130 hingga RM150.
Brek belakang
Brek belakang adalah dari jenis dram, dan lebih sukar untuk diperiksa secara visual. Lebih baik anda bawa kereta ke bengkel, biar mereka yang pakar memeriksanya.
Sekiranya perlu ditukar, ia akan berharga sekitar RM160 termasuk upah.
Sistem pendingin hawa
Air-conditioning atau pendingin hawa juga memerlukan pemeriksaan dan penjagaan berkala. Belum tentu pendingin hawa sejuk, bermakna ia berfungsi dengan baik.
Flushing (menukar minyak baharu) perlu dilakukan mungkin beberapa tahun sekali untuk memastikan air-cond sentiasa berfungsi dengan baik. Ini juga akan menjaga komponen-komponen berkaitan seperti hos, compressor, condenser, dan evaporator.
Kos flushing adalah sekitar RM100 hingga RM150.
Penyerap hentak
Salah satu komponen dalam sistem gantungan, ia berfungsi memberikan keselesaan dan kawalan optima semasa memandu.
Tanda-tanda sudah rosak ialah suspensi terasa keras apabila melalui jalan tidak rata.
Terdapat beberapa pilihan OEM, dan harga sekitar RM550 hingga RM700 untuk satu set depan dan belakang termasuk upah. Jika keadaan penyerap hentak belakang masih baik, anda boleh tukar depan sahaja, lebih jimat. Yang penting tukar kiri dan kanan sekaligus.
Jadi ini lah sedikit sebanyak yang kami dapat kongsikan tentang kos penjagaan asas Perodua Viva.
Ketika baru dilancarkan pada tahun 2007, Perodua Viva berada dalam lingkungan harga RM28,400 sehingga RM44,200. Carian di atas talian juga mendapati bahawa Perodua Viva boleh didapati dengan harga serendah RM5,000 sehingga RM26,000. Cukup murah dan berpatutan.
Segala harga yang dinyatakan diatas adalah harga purata yang diambil dari pelbagai kawasan.
Sekiranya anda mahu membeli alat ganti dengan harga yang berpatutan, boleh layari link ini
https://shopee.com.my/ngrautoparts.os
Semoga perkongsian kali ini membantu anda dalam pemburuan mencari Perodua Viva.
KALI ini Cikgu Mas’od ingin kongsi kos selenggara dan sedikit panduan mengenai antara kereta popular di pasaran terpakai, iaitu Proton Saga BLM.
Model ini dikeluarkan pada 2008 sebagai generasi kedua Proton Saga, menggantikan generasi sebelumnya yang telah mula berada dalam pasaran sejak 1985.
Proton Saga BLM atau Base Line Model menerima pembaharuan secara total dari keseluruhan aspek. Tiada lagi pengaruh Proton Saga generasi pertama pada model ini.
Semasa dilancarkan, Proton memperkenalkan tiga varian iaitu N-Line, B-Line dan juga M-Line. Ketiga-tiga model ini menerima enjin 4-silinder S4PE CamPro IAFM bersesaran 1,322cc (1.3-liter).
Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 94hp pada 6,500rpm dan 120Nm tork pada 4,000rpm. Pilihan kotak gear adalah manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan.
Dengan harga sekitar RM31,500 hingga RM45,500, ia kekal antara ‘kereta rakyat’ pilihan utama, malah masih agak popular di pasaran terpakai. Carian di atas talian mendapati ia berada pada julat harga sekitar RM6,000 sehingga RM18,000. Harga yang mampu dimiliki oleh rakyat marhaen.
Maka sebab itulah, Cikgu Mas’od ingin kongsikan dengan anda hari ini sedikit bab penyelenggaraan Proton Saga BLM.
Antara aspek penyelenggaran utama dan penting bagi Proton Saga BLM adalah: Minyak enjin, minyak kotak gear, klac, pelapik brek, cakera brek, penapis udara, penapis kabin, palam pencucuh, tali sawat, intake manifold, dan cagak (mounting) enjin.
Selain itu, perkara yang perlu diperhatikan termasuklah sistem pendingin hawa, dan penyerap hentak.
Jemput tonton video di bawah untuk penerangan ringkas serta harga anggaran komponen utama.
Semoga perkongsian ini membantu anda dalam mencari Proton Saga BLM!